Monday, November 30, 2009

Karangan 1...Punca-punca Kemalangan Jalan Raya


Karangan 1

Kadar kemalangan jalan raya begitu meningkat setiap tahun.

Huraikan punca-puncanya.


Kemalangan jalan raya ialah peristiwa ngeri yang biasanya melibatkan perlanggaran dua kenderaan atau lebih di jalan raya atau pun lebuh raya. Kemalangan sebegini biasanya boleh membawa kecederaan dan juga kematian. Negara kita merupakan antara negara yang mempunyai angka kematian akibat kemalangan yang tinggi. Oleh itu ada banyak punca yang harus kita kaji untuk memahami masalah ini.

Punca pertama ialah kemalangan disebabkan oleh kecuaian pemandu itu sendiri ketika menggunakan jalan raya. Ramai pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk dan mengantuk atau tidak sedarkan diri. Ada juga yang tidak suka menjaga kenderaan mereka lalu kemalangan boleh berlaku kerana masalah brek, tayar dan sebagainya. Mereka tidak menghiraukan keselamatan orang lain ketika memandu kerana menganggap mereka cekap mengawal stering kenderaan. Jadi, kemalangan mudah berlaku akibat kecuaian mereka ini.

Selain itu kemalangan juga disebabkan oleh keadaan jalan raya yang tidak baik. Biasanya jalan raya menjadi lebih bahaya ketika waktu hujan turun kerana air hujan menyebabkan jalanraya menjadi lebih licin lalu sukar untuk dikawal jika pemandunya tidak berhati-hati. Begitu juga dengan keadaan jalan raya yang tidak lurus dan turun naik yang menyukarkan pemandu untuk memberi tumpuan lalu mudah berlakunya peristiwa ngeri ini. Maka, keadaan jalan raya harus diubah supaya menjadi lebih selamat buat pengguna jalan raya.

Malah, ada pihak yang menyalahkan pemandu baru yang menyebabkan kemalangan terus menerus berlaku di negara ini. Mereka dikatakan tidak mahir untuk mengawal kenderaan terutama ketika dalam keadaan kecemasan yang menyebabkan banyak yang panik. Golongan muda juga diselar kerana mereka biasanya suka memandu dengan bahaya dan laju. Sesungguhnya, satu alat mekanisme baru harus dicari untuk memastikan tahap pemanduan pemandu baru mencapai piawaian yang baik.

Jumlah kemalangan bertambah juga berkaitan dengan jumlah kenderaan yang bertambah setiap tahun. Pertambahan bilangan kenderaan menjadikan lalu lintas begitu sibuk dan penuh dengan kenderaan. Sudah pasti keadaan ini meningkatkan peratusan untuk sesuatu kemalangan itu berlaku di jalan raya. Jelaslah, semakin banyak kenderaan di jalan raya risiko untuk kemalangan berlaku amat tinggi.

Kesimpulannya, kadar kemalangan jalan raya di negara ini begitu menakutkan kita semua. Satu usaha yang berani harus dilaksanakan oleh pihak berkuasa untuk menghalang masalah ini menular lagi. Kita harus sedar bahawa nilai nyawa manusia begitu berharga. Pandu cermat jika selamat.

Thursday, November 19, 2009

PAKEJ PENDIDIKAN PMR BERMULA DISEMBER INI


Hi pelajar,

Pakej pendidikan BM saya akan bermula disember ini.

Ada pelbagai pakej pendidikan dan e-buku yang sesuai buat pelajar semua telah saya rangka dengan rapi.

Semua bahan pengajaran dan pembelajaran juga sudah dikemaskinikan untuk memberikan pendidikan alaf baru yang berkualiti tetapi dengan harga yang berpatutan.

Manakala e-buku terbaru saya tentang karangan PMR juga akan muncul pada Disember ini. Jadi, e-buku ini mampu memberikan pelajar sedikit kelebihan dalam persiapan peperiksaan mereka.

Emel saya jika anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang e-buku dan pakej pendidikan yang saya tawarkan itu.

Terima kasih.

Cikgu Azman

Monday, October 12, 2009

Bahan akhir?


Peperiksaan PMR baru sahaja selesai. Lantaran itu tamatlah tugas saya buat sesi ini. Bahan blog ini akan mula diisi mulai bulan November 2009.

Semoga pelajar menghabiskan masa cuti mereka dengan sebaik mungkin kerana SPM akan menjelang dalam masa dua tahun lagi.

Kepada pembaca blog ini terima kasih dan semoga anda semua akan terus membaca bahan yang akan dihidangkan pada masa depan juga.

Untuk makluman anda, bahan blog ini akan diuploadkan mulai Disember 2009.

ceria

Azman

Wednesday, September 30, 2009

E-Buku Penting Dimiliki Saat-Saat Akhir


E-buku Karangan PMR ini berupaya untuk membantu pelajar dalam menjawab soalan-soalan peperiksaan PMR yang bakal muncul itu.

Sesuai untuk menjadi bahan rujukan saat-saat akhir terutama sebelum memasuki dewan peperiksaan.

Cara susunan yang mudah menjadikan e-buku ini penting dalam beg pelajar.

Berminat emel saya: azmanukm@gmail.com

Tuesday, September 29, 2009

Skop Pertanian


Skop pertanian juga semakin kerap ditanya oleh pelajar saya menerusi emel. Jadi, ada beberapa aspek yang perlu diberi penekanan oleh pelajar. Antaranya:

Cara-cara memajukan pertanian
 Memberikan penekanan penggunaan jentera
 Memberikan latihan yang praktikal kepada petani
 Memberikan lebih banyak insentif terutama pemberian tanah dan pinjaman yang mudah
 Mengadakan lebih banyak kempen untuk memberi kesedaran kepada masyarakat atau mengubah persepsi mereka tentang pertanian

Monday, September 28, 2009

Karangan PMR 2009?


Tajuk mengenai sukan memang penting. Banyak juga sekolah yang mengambil skop ini dalam peperiksaan percubaan mereka. Antara soalan itu ialah:

Faedah-faedah menjadi tuan rumah sukan antarabangsa
a) Memberikan peluang kerja
b) Memberikan peluang kepada ahli sukan untuk bersaing dengan ahli sukan dunia
c) Memberikan peluang masyarakat kita melihat satu acara bertaraf dunia
d) Menjadikan imej negara lebih baik pada mata masyarakat dunia

Wednesday, September 16, 2009

Karangan Spot 2009...Langkah-langkah Lahirkan Penulis Muda Negara


Karangan

Dunia penulisan sastera kita mula dipinggirkan.

Jelaskan cara-cara untuk melahirkan penulis muda yang berkaliber di negara ini.


Sememangnya dunia sastera di negara ini tidak mendapat perhatian meluas terutama dalam jiwa remaja kita. Lihat sahaja suasana atau majlis pelancaran buku sastera sudah pasti muka-muka lama atau tokoh veteran sahaja yang menghadirinya tanpa ada wajah-wajah baru yang lebih berpotensi untuk menggantikan tempat penulis lama. Negara kita memang ketandusan penulis muda yang berkaliber terutama dalam penulisan sastera. Lantaran itu, pelbagai tindakan positif boleh dilaksanakan untuk melahirkan penulis-penulis muda ini.

Langkah awal ialah kerajaan mewujudkan satu institusi pendidikan formal dalam penulisan. Penubuhan institusi ini boleh dikategorikan sebagai sebuah kolej atau universiti yang ditubuhkan khas untuk melahirkan penulis muda sahaja dalam pelbagai kategori penulisan. Remaja yang berbakat atau berpotensi dari seluruh negara akan dipilih dan menjalani pelbagai latihan formal dalam bidang penulisan sebagai persiapan awal mengasah bakar terpendam mereka itu. Maka, semakin cepat kerajaan menubuhkan institusi sebegini semakin pantaslah negara berupaya melahirkan penulis muda.

Selain itu, satu skim ganjaran yang lebih praktikal harus diwujudkan untuk menarik lebih ramai generasi muda menyertai dunia penulisan. Setakat ini anugerah sasterawan negara tidak banyak membawa faedah kewangan kepada pemenangnya berbanding populariti dan status yang menyebabkan remaja tidak menganggap penulisan satu kerjaya berprospek tinggi. Bayaran hadiah yang lumayan bersama-sama ganjaran kewangan yang berpanjangan sudah pasti memudahkan penulis untuk terus berkarya selain mampu membuka minda remaja untuk melihat penulisan sebagai kerjaya era moden pula. Jelaslah, ganjaran kewangan yang tinggi berupaya untuk membentuk satu kelompok penulis muda yang besar di negara ini.

Begitu juga dengan aktiviti kempen kesedaran tentang dunia penulisan harus dilaksanakan dengan meluas dan berpanjangan. Kempen ini cuba menyedarkan masyarakat betapa dunia penulisan penting kepada negara dan masyarakat negara lalu menghakis persepsi bahawa penulisan hanya untuk golongan dewasa atau tua sahaja. Usaha melakukan kempen ini juga boleh memberi status atau imej yang lebih baik kepada dunia penulisan kerana kempen yang berterusan mencetuskan betapa kerjaya ini sesuatu yang diidamkan oleh masyarakat negara ini. Sesungguhnya, kempen yang begitu mudah tetapi efektif ini mampu membuka mata remaja tentang dunia sebenar penulisan yang penuh dengan glamor dan ketinggian intelektualannya.

Malah, kerajaan perlu mewujudkan satu suasana yang sesuai untuk penulis muda ini berkarya terutama aspek penerbitan buku mereka. Pelbagai insentif seperti pengecualian cukai kepada bayaran royalti buku mereka atau mengurangkan cukai terhadap bahan-bahan pencetakan buku sudah pasti akan menimbulkan minat yang mendalam dalam diri penulis dan penerbit buku untuk menerbitkan karya mereka secara meluas. Penulis memerlukan suasana yang mampu melahirkan pelbagai idea buat mereka untuk berkarya dan ini merupakan salah satu daripadanya. Oleh itu, suasana yang baik amat penting buat penulis muda di negara ini untuk terus bernafas dan melahirkan karya agung mereka itu.

Kesimpulannya, usaha melahirkan penulis muda di negara ini sesuatu yang harus dilaksanakan segera oleh semua pihak. Semakin lama kita melengahkan masa semakin sukarlah usaha untuk menambahkan jumlah penulis di negara ini. Sikap lepas tangan dan bertindak dengan perlahan sering menjadi masalah besar kepada sebarang usaha perubahan yang hendak dicapai di negara ini. Peribahasa ‘hendak seribu daya tak hendak seribu dalih’ menjadi peringatan betapa pentingnya usaha ini disegerakan.