Pakej Karangan PT3

Pakej Karangan PT3

Sunday, December 23, 2007

Kemunculan hospital swasta sedikit sebanyak dapat menampung bilangan pesakit yang semakin bertambah setiap hari. Huraikan kebaikan dan keburukan hospi



Kemunculan hospital swasta kian pesat di negara ini umpama cendawan tumbuh selepas hujan. Kemunculan hospital swasta secara mendadak ini memang mampu menampung peningkatan pesakit penyakit terutama yang kronik. Cuma, ada beberapa impak baik dan buruk yang timbul daripadanya.

Sudah pasti kebaikan yang ketara ialah kewujudan hospital ini memastikan peningkatan kemudahan serba moden. Semua hospistal swasta memiliki teknologi merawat penyakit yang terkini. Kecanggihan peralatan ini dikaitkan pula dengan kewujudan tenaga doktor yang mahir atau pakar. Keadaan ini memberi pesakit satu rawatan yang terbaik untuk memastikan penyakit mereka sembuh.

Selain itu, pesakit tidak perlu menunggu terlalu lama untuk mendapatkan rawatan. Hospital swasta seolah-olah menjadi pembantu kepada hospital kerajaan kerana hospital kerajaan memang sudah terlalu sesak dengan pesakit. Bilik rawatan yang lebih banyak memastikan semua pesakit dapat dirawat dalam masa yang singkat. Suasana ini menjadikan penyakit itu mudah dikawal pada peringkat awal.

Hospital swasta memberi layanan yang lebih baik daripada hospital kerajaan kerana mereka memerlukan pesakit untuk terus memberikan perkhidmatan. Jika layanan mereka tidak baik, sudah pasti ramai pesakit tidak akan datang dan imej hospital mereka akan terjejas. Layanan yang mesra ini menyebabkan lebih ramai pesakit lebih suka mendapatkan rawatan di hospital swasta.

Keburukan yang jelas ialah bil rawatan hospital swasta agak tinggi. Keadaan ini bersesuaian dengan kepakaran doktor mereka bersama-sama perkhidmatan mesra yang diberikan. Situasi ini menyebabkan hanya golongan kaya atau berada yang mampu mendapatkan rawatan di hospital sebegini. Bagaimana dengan golongan miskin?

Lantaran itu wujudnya kes-kes penyalahgunaan kuasa turut boleh berlaku. Doktor sanggup melakukan apa-apa sahaja termasuklah menasihati supaya melakukan pembedahan yang tidak perlu untuk mengaut keuntungan. Mungkin juga wujud kesalahan etika seperti membenarkan pengguguran kandungan bayi dan mengambil organ manusia secara tidak sah.

Kesimpulannya, penubuhan hospital swasta ini memang baik terutama ketika rakyat negara ini mengutamakan tahap kesihatan mereka. Namun, dalam keghairahan kita melihat pertumbuhan hospital ini, kita harus ingat hospital ini didirikan atas dasar perniagaan iaitu keuntungan. Satu sistem pemeriksaan harus diwujudkan supaya hospital swasta tidak menmgambil kesempatan atas pesakit mereka.

Saturday, December 15, 2007

Buah-buah import semakin banyak di negara ini. Jelaskan langkah-langkah yang mampu dilaksanakan untuk mengawal keadaan ini.


Buah import merujuk buah yang ditanam atau dibawa masuk dari luar negara seperti epal dan anggur. Manakala buah tempatan ialah buah yang ditanam di Malaysia seperti rambutan dan durian. Sememangnya ada banyak langkah yang mampu direalisasikan oleh pelbagai pihak untuk mengawal fenomena mengutamakan buah-buahan import ini.

Langkah pertama yang boleh diambil oleh kerajaan ialah negara mengenakan kadar cukai yang tinggi terhadap buah import. Tindakan mengenakan cukai ini akan menyebabkan harga buah import akan meningkat secara mendadak. Keadaan ini menyebabkan pengguna tidak mampu untuk membelinya dengan kerap. Jadi, langkah ini pasti memberi kesan dalam aspek pembelian pengguna.

Kerajaan juga boleh menjalankan kempen kesedaran mengutamakan buah-buahan tempatan. Kempen ini menjelaskan kebaikan-kebaikan membeli buah-buahan tempatan menerusi penggunaan media massa. Iklan dan ceramah mengenai buah-buah tempatan dijalanakan secara giat terutama di kawasan urban. Sesungguhnya, kempen ini menimbulkan kesedaran kepada pengguna untuk memilih buah-buahan tempatan daripada import.

Selain itu, peladang buah-buah tempatan seharusnya meningkatkan kualiti buah mereka. Penanaman buah-buah tempatan seharusnya menggunakan teknik moden untuk menghasilkan buah yang lebih baik, menarik, dan sesuai dengan cita rasa pengguna. Keunikan buah-buahan tempatan akan menarik lebih banyak pengguna untuk membelinya. Jelaslah, peladang harus mencari benih dan buah yang terbaik.

Malahan, pengguna juga harus berubah paradigma mereka apabila membeli buah-buahan tempatan. Kita seharusnta membuang sikap menganggap buah import lebih baik daripada tempatan. Persepsi yang negatif ini harus dikikis dengan segera melalui pembelian buah tempatan. Maka, pengguna harus bijak dengan membeli buah-buahan tempatan sahaja.

Kesimpulannya, buah tempatan sememangnya sama taraf dengan import. Semua pihak terutama pengguna harus memberi peluang kepada buah-buahan tempatan kerana tanpa pengguna industri buah-buahan tempatan akan musnah. Hargailah produk tempatan dan bukannya keluaran negara asing.

Tema dan Persoalan dalam novel


Tema dan Persoalan

Tema ialah idea utama atau persoalan terpenting yang diungkapkan pengarang dalam menghasilkan sesuatu karya.

Contohnya, perjuangan menentang penjajah (Pahlawan Pasir Salak), pengorbanan ibu bapa (Panas Salju), isu semasa, nilai kemasyarakatan, ketabahan remaja (Meniti Kaca) dan perpaduan kaum.

Dalam usaha mengumpulkan, memilih dan menyusun bahan-bahan sesuatu karya, temalah yang menjadi panduan kepada penulis.

Persoalan ialah perkara-perkara kecil dalam sesuatu karya yang ada hubungannya dengan tema. Biasanya ada banyak persoalan dalam sesebuah novel.

Monday, December 10, 2007

Watak Utama Dalam Panas Salju?


Watak utama dalam Panas Salju ialah Zulkuifli. Jalan cerita novel ini berfokus kepada watak beliau. Zulkifli dianggap watak utama kerana semua peristiwa mempunyai kaitan dengan dirinya.

Perwatakan beliau yang ketara ialah berfikiran positif. Walaupun pelbagai masalah menimpa keluarganya terutamanya penyakit yang dihadapi oleh anak perempuannya, beliau tetap menerima dengan baik.

Beliau juga dianggap bersimpati kerana sanggup menolong seseorang tanpa mengira warna kulit. Kemalangan yang melibatkan keluarga SIKH telah membuktikan perwatakan murni beliau ini.

Beliau juga mempunyai perwatakan rajin kerana sanggup bekerja, menjaga anak yang sakit dan meneruskan pengajiannya. Keadaan ini memerlukan kerajinan yang tinggi untuk menghadapi semua cabaran itu.