Monday, February 18, 2008

Langkah-langkah menggalakkan penggunaan batik di Malaysia


Batik warisan negara yang sudah dipinggirkan oleh masyarakat kita terutama generasi muda.

Berikan langkah-langkah untuk mengatasi masalah ini.

Sememangnya batik merupakan warisan budaya negara yang menarik. Sayangnya arus kemodenan dunia telah menelan budaya lama ini sehingga sudah kurang sipemakainya terutama golongan muda. Batik seolah-olah sudah hilang tempatnya dalam masyarakat kita kini. Apakah masa depan batik begitu gelap?

Sebenarnya masa depan batik masih ada sinar terutama jika semua pihak terutama pihak berkuasa memulakan usaha mewajibkan penggunaan batik sebagai pakaian tradisional kepada semua rakyat negara ini. Tindakan ini boleh diwajibkan kepada kaki tangan kerajaan dan pelajar sekolah atau menara gading. Langkah ini juga mampu menarik minat pelancong selain memastikan kesegakan dan keselesaan sipemakainya.

Langkah kedua ialah memberi bantuan kewangan kepada penggiat batik terutama pengusaha batik yang memerlukan modal untuk meluaskan perniagaan mereka. Pemberian pinjaman ini hendaklah mudah tanpa memberi tekanan kepada penggiat batik ketika memohon atau untuk membayar balik pinjaman itu. Ringkasnya, masalah birokrasi hendaklah dihapuskan.

Selain itu, kempen memperkenalkan batik kepada masyarakat negara ini mahupun luar negara hendaklah digiatkan. Kempen ini boleh diseiringkan dengan pertunjukkan fesyen yang menggunakan batik sepenuhnya dalam rekaan pakaian mereka. Kempen ini turut memberi ruang kepada pencipta muda untuk menonjolkan bakat dan kreativiti mereka.

Dalam usaha untuk memastikan batik terus hidup, kerajaan perlu mewujudkan sati institut untuk membuat kajian batik secara menyeluruh. Institut ini berperanan sebagai pusat pengajian tinggi dalam melahirkan pereka batik yang lebih kreatif dan inovatif serta memastikan budaya ini terus hidup. Institut ini juga boleh menjadi pusat kajian kepada pengkaji dalam dan luar negara yang berminat untuk mengkaji batik secara lebih mendalam.

Natijahnya, batik yang menjadi warisan budaya negara ini memerlukan kerjasama semua pihak untuk memastikan budaya ini terus hidup. Kewujudan batik membuktikan kewujudan bangsa kita sendiri. Jadi, batik wajib diselamatkan dan diangkat ke martabat yang lebih tinggi dalam kehidupan kita.

No comments: