Thursday, March 13, 2008

Karangan Bencana Alam....Punca-punca dan usaha-usaha mengatasinya


Bencana alam turut berlaku di negara ini. Banjir, ribut, kemarau dan kebakaran hutan merupakan antara bencana alam tersebut.

Nyatakan punca-punca dan usaha-usaha menangani masalah ini.

Bencana alam merujuk kejadian alam yang mampu memusnahkan negara dan penduduknya. Negara kita memang sering dilanda banjir, ribut, kemarau dan kebakaran hutan kerana pelbagai faktor yang mendorong keadaan ini mudah berlaku terutama ketiak bumi dikatakan sedang mengalami perubahan cuaca yang drastik dalam tempoh yang terdekat ini. Sesungguhnya, ada banyak faktor yang mendorong keadaan ini dan ada banyak langkah yang boleh diambil untuk membendungnya daripada terus berlaku.

Kejadian bencana alam sering dikaitkan dengan kemusnahan alam sekitar terutama kemusnahan hutan belantara negara. Keadaan ini wujud kerana hutan dianggap menjadi pelindung atau penahan berlakunya kejadian banjir dan kemarau kerana keupayaannya untuk menakung air dan menyalirkan air dengan baik. Kemusnahan hutan menyebabkan muka bumi menjadi kosong dan mendorong mudahnya berlaku semua bencana alam ini. Oleh itu, kemusnahan hutan perlulah dipantau dengan lebih teliti oleh pihak kerajaan.

Malahan, keghairahan negara untuk membangun dengan pesat turut mendorong berlakunya bencana alam ini. Pembukaan kawasan bandar baru, industri dan kawasan perumahan telah menyebabkan sistem ekologi yang asal tidak mampu untuk menghalang sebarang kejadian bencana alam daripada tidak berlaku. Manusia menganggap kemodenan mampu menghalang bencana alam berlaku lantas terus menerus menjalankan projek pembangunan tanpa mempunyai rasa takut atau bimbang berlakunya bencana alam di kawasan projek mereka. Justeru, pembangunan yang pesat memang penting tetapi perlulah dikawal atau dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak menjejaskan sistem ekologi secara drastik.

Tambahan pula, sikap kita dalam menguruskan sumber asli terutama penyelenggaran sungai dan pembalakan hutan yang tidak praktikal. Naluri manusia yang sering mengutamakan keuntungan kewangan daripada berfikir secara rasional perkara yang bakal berlaku pada masa depan telah mengundang padah. Semua sumber alam negara akan terus dieksploitasi kerana manusia memang menganggap diri mereka lebih baik dan bijak daripada alam. Jadi, bencana alam akan terus berlaku kerana kegagalan manusia untuk menguruskan sumber alamnya dengan baik.

Sudah pasti langkah yang paling penting dilakukan ialah kerajaan mengetatkan peraturan berkaitan dengan alam sekitar dengan lebih baik. Hukuman yang berat harus dikenakan kepada pesalah-pesalah alam sekitar supaya perkara ini menjadi pengajaran kepada orang lain. Kerajaan harus menjalankan satu usaha pemeriksaan yang holistik tanpa mengecualikan sesiapa jua dalam pemeriksaan ini. Jika kerajaan tegas dalam hal ini, sudah pasti masalah ini mampu diselesaikan dengan mudah.

Malahan, kempen kesedaran terutama kepada generasi muda harus dilaksanakan. Kempen yang dijalankan itu haruslah sesuai dengan minat dan diri remaja kerana merekalah yang bakal menghuni negara ini serta mampu menyelesaikan masalah ini. Kempen yang dijalankan secara terancang mampu menghasilkan satu generasi masyarakat yang menghargai alamnya lebih baik daripada generasi terdahulu. Jelaslah, kempen yang berkesan mampu menangani isu ini dengan lebih baik.

Kesimpulannya, bencana alam akan terus berlaku di negara kita. Sikap masyarakat yang sambil lewa kerana menganggap alam bukan tanggungjawab mereka telah menyebabkan masalah ini menjadi semakin rumit untuk diselesaikan. Mungkin kita semua lupa bahawa setiap kali bencana alam melanda negara ini setiap kali itulah ada nyawa manusia yang melayang. Agaknya kita menilai nyawa manusia sama seperti alam?



Monday, March 3, 2008

Karangan Remaja Lari Dari Rumah...Punca-punca


Masalah remaja lari dari rumah mendapat liputan meluas media massa.
Huraikan punca-punca remaja lari dari rumah.

Kemelut remaja lari dari rumah telah menjadi satu isu yang sering diperkatakan. Keadaan inii jelas terpapar menerusi siaran media massa yang menjadi isu ini berita utama mereka. Pelbagai pihak memberikan teori atau pandangan mereka mengenai kemunculan kemelut ini dalam masyarakat kita.

Punca yang paling ketara ialah tekanan ibu bapa. Remaja yang lari dari rumah sering menggunakan alasan tekanan ibu bapa sebagai penyebab utama mereka melakukan perbuatan terkutuk ini. Tekanan ib bapa ini dikaitkan dengan kegagalan ibu bapa untuk memahami keperluan peribadi remaja yang begitu mendesak kini. Ibu bapa sering menyalahkan anak atau tidak memberikan kasih sayang yang sewajarnya kepada remaja. Jadi, kegagalan ibu bapa memainkan peranan mereka menjadi pendorong utama remaja melarikan diri.

Selain itu, remaja lari dari rumah dikatakan berkait rapat dengan pengaruh rakan sebaya. Nasihat yang diberikan oeh rakan sebaya tidak matang dan rasional apabila remaja meluahkan masalah mereka. Keadaan ini berlaku kerana rakan sebaya itu sendiri belum cukup matang dan berpengalaman dalam menangani arus kehidupan yang penuh cabaran ini. Sesungguhnya, rakan sebaya yang memberikan nasihat yang tidak baik akan membawa remaja itu mengambil tindakan untuk melarikan diri.

Remaja lari dari rumah juga dianggap akibat unsur barat yang dipaparkan menerusi media massa terutama media elektronik. Remaja yang suka meniru akan melakukan perkara yang mereka tonton di televisyen tanpa sebarang keraguan lagi. Remaja tidak mampu membezakan lakonan dan realiti kehidupan yang jauh berbeza. Oleh itu, media massa menjadi faktor yang berupaya menimbulkan keinginan remaja untuk lari dari rumah mereka.

Kemelut ini turut dikaitkan dengan sahsiah remaja itu sendiri. Ramai remaja yang tidak mempunyai sikap yang tabah dan positif apabila menghadapi sesuatu kemelut yang melanda diri mereka. Remaja begitu mudah terasa atau berasa sensitif apabila ditegur oleh ibu bapa sehingga sanggup melarikan diri. Jelaslah, keadaan ini membuktikan bahawa masalah ini turut ditentukan oleh sikap remaja zaman ini yang harus lebih kukuh dan tabah.

Kesimpulannya, gejala remaj lari dari rumah ini memang harus ditangani dengan segera demi masa depan remaja kita yang semakin malap ditelan arus kemodenan dunia. Semua pihak terutama masyarakat harus memainan peranan tersendiri dalam menangani kemelut ini. Mungkin kita semua harus menyalahkan diri masing-masing sebelum kita menyalahkan remaja dalam hal ini.


Sunday, March 2, 2008

Karangan Penjagaan Kesihatan Manusia




Kesihatan sangat penting untuk menjamin kehidupan yang ceria.
Huraikan langah-langkah yang perlu dilakukan untuk menjaga dan meningkatkan tahap kesihatan kita.

Kesihatan amat penting dalam menjamin keceriaan hidup setiap individu. Kesihatan merujuk satu keadaan tubuh badan yang tidak mengalami sebarang masalah seperti ada penyakit kencing manis dan mudah diserang penyakit berjangkit lain. ada pelbagai langkah yang boeh diamalkan oleh seseorang untuk memiliki tahap kesihatan yang baik.

Aspek pemakanan amat penting dalam menjamin kesihatan yang baik. Seseorang harus mengamalkan pemakanan yang seimbang dan berkhasiat dalam kehidupannya. Diet yang seimbang memastikan tubuh badan seseorang memilikii semua zat-zat yang diperlukan oleh seseorang itu. Jadi, pemakanan yang sebegini memberikan tahap kesihatan yang baik.

Selain tu, seeseorang harus mengamalkan aktiviti senaman yang tetap. Tindakan melakukan senaman dua atau tiga kali seminggu menyebabkan tubuh badan seseorang berfungsi dengan baik kerana semua toksik telah dikeuarkan menerusi peluh. Rasa tekanan atau stres turut berupaya dihilangkan menerus senaman yang dilakuan itu. Oleh itu, untuk memperoleh kesihatan yang baik kita harus melakukan senaman yang konsisten.

Seseorang itu harus memiliki waktu tidur yang cukup terutama apabila umur mereka semakin meningkat. Tidur yang cukup ini memastikan badan seseorang menerima rehat yang secukupnya selepas penat bekerja terutama di pejabat. Keadaan ini turut memberikan seseorang itu tenaga untuk meneruskan aktivitinya pada esok hari. Maka, waktu tidur yang secukupnya memberi ruang kepada seseorang itu untuk terus memiliki kesihatan yang baik.

Malahan, pemeriksaan kesihatan yang dibuat sepanjang tahun boleh memberi satu perspektif yang baik tentang tahap kesihatan seseorang itu. Pemeriksaan yang kerap ini menyebabkan seseorang itu mengetahui keadaan kesihatan badan mereka dan melakukan beberapa perubahan untuk memastikan mereka dalam keadaan yang seimbang. Sesungguhnya, pemeriksaan kesihatan yang kerap akan memastikan kesihatan seseorang itu dalam keadaan baik.

Kesimpulannya, kesihatan amat penting dalam kehidupan seseorang terutama mereka yang sudah berumur. Penjagaan kesihatan yang berkala ini menjamin kebahagiaan kehidupan seseorang. Walaupun seseorang itu berharta tetapi tida memiliki keshatan yang baik, kehidupannya sudah pasti akan sengsara.