Saturday, August 23, 2008

Karangan Isu Lumba Haram


Penglibatan remaja dalam perlumbaan motosikal secara haram membimbangkan banyak pihak. anda berhasrat untuk menulis satu artikel tentang cara-cara mengatasi gejala tersebut untuk tersiar dalam sebuah akhbar tempatan.
Tulis rencana itu selengkapnya.

Remaja dan lumba motosikal: Satu Penyelesaian Mutlak?
oleh: Azman bin Noor

Perlumbaan motosikal memang sering dikaitkan dengan remaja kerana aktiviti ini dikatakan mampu memberi semangat kepada remaja yang sedang mengalami satu proses kedewasaan yang kritikal. Remaja melihat lumba motosikal ini satu jalan mudah untuk menyelesaikan masalah kerana terutama masalah keluarga dan sekolah serta masa depan mereka. Kejadian demi kejadian lumba motosikal ini turut disiarkan oleh media massa menerusi pelbagai program mereka. Sememangnya, ada pelbagai tindakan yang boleh diambil oleh semua pihak dalam menangani isu yang semakin menular ini.

Sebenarnya tindakan yang paling penting dalam menyelesaikan kemelut sosial ini ialah ibu bapa memainkan peranan mereka dengan lebih efektif. Dalam mendidik anak, ibu bapa harus bijak dan berupaya untuk mengawasi tingkah laku anak mereka dengan berkesan terutama anak yang sudah mencapai umur remaja. Ibu bapa perlu mengenakan satu tahap disiplin dan dalam masa yang sama menyayangi anak mereka dengan sepenuh hatinya untuk memberi satu perasaan disayangi dalam diri anak mereka. Justeru, ibu bapa menjadi benteng pertama dalam usaha untuk menyelesaikan masalah yang melanda remaja kita ini.

Langkah susulan ialah pihak kerajaan membuat lebih banyak sekatan jalan raya di kawasan-kawasan berisiko tinggi untu berlakunya perlumbaan motosikal ini. Tindakan pihak polis yang lebih proaktif menyebabkan remaja berfikir dua kali sebelum terlibat dalam tindakan negatif ini kerana menyedari tindakan mereka sudah dihidu oleh pihak berkuasa awal-awal lagi. Pihak polis juga perlu membuat pengumuman awal tentang hasrat mereka mengadakan sekatan jalan raya untuk memberi amaran awal kepada remaja supaya tidak melakukan tindakan bodoh dengan membuat perlumbaan motosikal di situ. Maka, tindakan pantas dan bijak pihak kerajaan terutama pihak polis menyebabkan remaja tidak berani melakukan aktiviti sumbang ini.

Selain itu, tindakan menaikkan had umur untuk memiliki lesen motosikal boleh menghalang kejadian lumba motosikal ini dengan lebih berkesan. Had umur yang lebih tinggi ini menyebabkan semua remaja yang menunggang motosikal tidak perlu diperiksa kerana sudah pasti mereka tidak memiliki lesen motosikal. Keadaan ini menyebabkan pihak polis mudah untuk memantau isu perlumbaan motosikal ini dengan lebih menyeluruh. Jelaslah, kemelut yang melanda negara ini mampu diatasi dengan berkesan jika umur yang dibenarkan untuk menunggang motosikal ini ditingkatkan.

Kempen kesedaran turut perlu dilaksanakan dalam menangani kemelut yang melanda kalangan remaja kita ini. Penjelasan mengenai impak buruk lumba haram diperincikan dalam kempen itu untuk memberi kesedaran yang jitu kepada remaja. Dalam masa yang sama kempen ini turut menjelaskan tindakan undang-undang yang boleh dihadapi oleh remaja yang didapati bersalah terbabit dalam kegiatan lumba haram. Jelaslah, kempen yang begitu mudah tetapi efektif berupaya menghalang gejala sosial ini daripada menular dalam jiwa remaja kita jika dilaksanakan dengan baik.

Kesimpulannya, semua langkah di atas harus dijalankan secara bersistematik jika mahu melihat kejayaan membasmi gejala luma haram ini. Tindakan tegas pihak berkuasa terutama polis dalam penguatkuasaan undang-undang dilihat sebagai jalan yang paling penting. Kegagalan menangani isu ini boleh menyebabkan remaja kita terjebak dalam pelbagai masalah sosial yang lain terutamana penyalahgunaan dadah dan hubungan sosial yang bebas. Tindakan kita hendaklah berterusan dan bersungguh-sungguh seperti peribahasa “menyeluk pekasam biarlah sampai ke pangkal lengan” jika masalah ini hendak diatasi.

3 comments:

elyas aka sayle said...

macam mana ingin membuat karangan tingkatan 1 tentang kegiatan-kegiatan lumba haram

EdBod said...

boleh tak berikan kesan2 lumba haram sekali?

Cod4 said...

Karangan yang cantik sekali!