Sunday, November 30, 2008

Anda yakin dengan diri anda?

Percaya diri amat penting untuk berjaya buat pelajar

Ada pelbagai teori yang dipaparkan mengenai kejayaan seseorang. Ada yang mengaitkan keluarga, agama, pendidikan dan tidak kurang juga yang mengaitkannya dengan tuah seseorang. Buat saya kejayaan seseorang itu banyak bergantung kepada dirinya sendiri terutama pada peringkat awal kejayaan itu hendak diperoleh. Maksud saya untuk berjaya seseorang itu perlu memiliki rasa percaya akan kebolehan diri sendiri dalam setiap bidang yang diceburi.

Lihat sahaja ahli sukan seperti Datuk Nicol David, Datuk Tony Fernandes seorang ahli perniagaan atau Datuk Seri Abdullah Badawi Perdana menteri kita yang berjaya. Saya yakin dalam diri mereka itu ada tersirat satu perasaan percaya akan kebolehan mereka untuk bersukan, membuat perniagaan yang menguntungkan dan memimpin negara dengan adil. Bagaimana saya berpendapat mereka semua ini percaya akan diri sendiri? Menewaskan jaguh sukan yang lain bukannya satu kerja yang mudah, begitu juga menjadi jutawan dalam sekelip mata bukannya senang atau memastikan setiap rakyat di negara ini hidup makmur sudah pasti sukar untuk dilaksanakan tetapi mereka semua berjaya.

Kalau saya renung secara mendalam, ramai pelajar yang menemui saya sering mengatakan bahawa mereka akan gagal walaupun peperiksaan masih jauh. Ada seorang pelajar yang pernah berjumpa dengan saya pada awal tahun dengan muka yang sedih lalu membuat pengakuan bahawa beliau sudah pasti gagal dalam kertas BM. Saya melihat diri pelajar itu lalu mendapati bahawa banyak pelajar saya yang serupa dengannya. Semua tidak percaya bahawa mereka mampu untuk berjaya dalam peperiksaan. Rasa merendahkan kebolehan sendiri umpama parasit yang mematahkan semanga juang seseorang.

Percaya terhadap kebolehan sendiri memberi satu semangat awal untuk mencapai apa-apa yang dihajati di dunia ini terutama dalam aspek pendidikan. Keyakinan dengan kemampuan diri memberi pelajar satu pemangkin bahawa mereka boleh berjaya kerana mereka insan yang sanggup mengharungi dugaan peperiksaan. Sikap percaya diri ini harus ditanam dalam diri setiap pelajar sebelum anda memulakan alam persekolahan nanti.

Dengan tertanamnya sikap percaya akan diri, pelajar akan sedar bahawa hidup mereka akan menghadapi pebagai rintangan tetapi mereka akan tabah menerimanya. Ketabahan ini mampu diteruskan kerana pelajar percaya diri sememangnya tabah. Mereka akan berasa yakin lalu persediaan peperiksaan berjalan dengan lancar.

Ingat lagi pelajar saya yang datang menemui saya di bilik guru? Saya memberitahunya dengan satu nada, kalau anda sendiri tidak yakin akan kemampuan anda untuk berjaya, bagaimana pula pandangan saya sebagai orang luar terhadap anda? Adakah saya patut mendidik anda? Mukanya berubah dan keluar dari bilik guru tanpa menoleh ke belakang.

Mungkin kadangkala kita terlalu melihat faktor luaran seperti pergi ke kelas tuisyen, membuat latihan yang banyak, meminum minuman tonik, beriadah dan sebagainya lalu kita lupa bahawa sebagai manusia kita diberi satu minda yang kuat. Minda yang mampu memberi semangat dan membawa diri kita untuk menerima semua dugaan peperiksaan demi kejayaan kerana kita semua percaya akan diri sendiri. Jadi, percayah diri anda sendiri sebelum orang lain mempercayai kemampuan anda yang sejati itu.

Teruskan belajar pelajar-pelajarku.

Ibu bapa tentukan kejayaan anak?

Ibu bapa tidak memahami keperluan anak?

Saya menyokong benar pandangan seorang pembaca dalam akhbar The Star yang menganggap bahawa pendidikan zaman sekarang harus menekankan aspek mendidik dan bukannya menghasilkan pelajar kategori A yang menghafal sahaja. Huraian beliau tentang pengalamannya menunggu keputusan UPSR anak perempuannya begitu menarik dan melucukan dalam satu segi lain. Dalam hati saya ucapkan tahniah buat si ayah itu kerana saya percaya beliau memahami erti pendidikan sebenar.

Sebagai seorang guru, saya mengaku saya pernah didatangi oleh beberapa ibu bapa yang seolah-olah 'memberi kata dua' kepada saya seperti 'Cikgu azman, saya tak mahu C,B tapi A untuk anak saya”, “Saya mahu cikgu beri latihan banyak-banyak sampai anak saya berjaya” dan sebagainya. Malah, ada ibu bapa yang pelik juga dalam memastikan anak mereka berjaya ini dengan pelbagai permintaan yang saya rasa tidak sesuai ditonjolkan di ruangan ini.

Perlu difahami di sini bahawa saya bukannya menentang pelajar rajin belajar tetapi saya berpendapat setiap pelajar ada kelebihan dan kekurangannya. Ada yang bagus dalam pelajaran dan tidak kurang yang mahir dalam bidang lain terutama kesenian dan kemahiran teknologi. Perkara yang ingin saya tekankan ialah pendidikan di sekolah, kolej, dan univerisiti bukan kilang menghasikan manusia yang hanya tahu A bererti kejayaan dalam semua aspek kehidupan. Itu kepercayaan saya.

Jadi, berbalik kepada ibu bapa tadi, saya berpendapat ibu bapa mempunyai beberapa kriteria yang menjadikan mereka ini suka memaksa anak mereka menjadi anak kategori A. Pertama, ibu bapa ini jenis yang tidak memahami keperluan emosi atau peribadi anak mereka sendiri. Bayangkan ada ibu bapa yang bersama-sama anak mereka 24 jam sejak dilahirkan masih tidak tahu perkara yang dihajati oleh anak merea untuk hadiah hari jadi? Ya, saya pernah didatangi oleh seorang ayah yang bertanyakan saya tentang hadiah yang patut diberikan kepada anaknya. Saya hanya mengerutkan dahi kepala saya. Keliru.

Kedua, kategori ibu bapa yang ingin menebus kegagalan atau ketidakupayaan mereka dahulu ketika bersekolah. Ibu bapa jenis ini sering menekankan betapa mereka dahulu kurangan wanglah, peluang dan sebagainya untuk belajar. Kini, anak mereka menjadi mangsa untuk meneruskan atau menyambung semula impian mereka itu. Jadi, kalau anak ingin menjadi pelukis, pasti akan diherdik bukan-bukan tetapi kalau si anak mahu menjadi akauntan bertauliah diberi semua keperluan peperiksaan. Menarik.

Kategori ketiga ialah ibu bapa yang suka bersaing dengan jiran mereka. Inilah kategori yang paling saya benci kerana kategori ini sering berlumba-lumba dan memaksa anak mereka dengan begitu ketara. Kejayaan anak jiran pasti menjadi berita hangat dalam setiap tajuk perbualan keluarga kategori ini. Si anak hanya tunduk mendengar sahaja tetapi saya percaya dalam hati mereka penuh dengan rasa meluat dan bosan.Sedihkan.

Jadi, apa jalan menyelesaikannya. Pertama, ibu bapa harus menerangkan kepentingan pendidikan dalam hidup. Ya, ibu bapa boleh gunakan kesengsaraan atau kegagalan mereka dahulu sebagai satu contoh tetapi hanya sebagai contoh sahaja. Penerangan sebegini menjadikan si anak lebih rela mendengar dan cuba memahami sebab si ayah atau si ibu sering memaksa mereka belajar dengan tekun.

Kedua, ibu bapa harus memahami kelebihan dan kekurangan anak mereka. Selalu lihat tindakan-tindakan tersirat yang muncul seperti sikap si anak yang suka bercerita tentang sesuatu subjek itu atau kemalasan anak untuk melakukan sesuatu kerja sekolah. Apabila sudah diketahui bawa berbincang dengan si anak untuk memahami masalah itu dengan lebih lanjut lagi. Keadaan ini memudahkan ibu bapa dan si anak memahami keperluan satu sama lain dan mencari jalan penyelesaiannya.

Ketiga, ibu bapa harus menerima anak dengan sepenuhnya. Kalau si anak berjaya, tahniah harus diberikan dan jika si anak gagal, pelukan harus dihulurkan kerana apa-apa yang berlaku itu merupakan anak kita. Zuriat yang diberi tanggung jawab untuk kita mendidik dengan sebaik mungkin bukannya meminggirkan mereka.

Pasti ada ibu bapa yang tidak memahami perkara yang saya luahkan ini. Jadi, elok saya mudahkan sahaja dengan mengucapkan perkataan iaitu “Jangan paksa anak kita, biarkan keinginan itu timbul sendiri” kerana saya percaya tidak ada manusia di dunia ini yang suka dirinya dipaksa melakukan perkara apa-apa pun termasuklah belajar dengan rajin. Anda suka dipaksa belajar?

Belajar perlukan minat yang tinggi

Semuanya bermula dengan minat seseorang

Dalam hidup kita mesti ada ada pilihan kerana itu merupakan satu lumrah dalam hidup seseorang. Minat bermaksud kita melakukan sesuatu tindakan atau perkara itu dengan penuh kerelaan tanpa rasa menyesal jika gagal mencapai pun perkara itu. Manakala terpaksa pula berunsur negatif iaitu melakukan sesuatu dengan perasaan yang berat atau lebih tepat tidak suka melakukan perkara itu.

Dalam hidup pelajar, minat merupakan satu aspek yang amat penting sebelum peroleh kejayaan dalam peperiksaan. Pelajar yang berminat untuk belajar akan mendapati bahawa proses pembelajaran begitu menarik dan mudah walaupun mereka sedang mempelajari bahagian yang paling sukar dalam pelajaran itu. Minat memberikan satu kesungguhan untuk memahami perkara yang sedang diterangkan oleh guru dalam subjek tertentu itu.

Pernahkah anda semua terfikir mengapakah anda mudah memahami satu subjek itu tetapi mengambil masa yang panjang untuk memahami subjek yang lain pula? Sudah pasti ada pelajar yang mengalaminya dan sekarang anda semua sudah sedar bahawa perbezaan itu wujud kerana subjek yang anda berjaya itu ialah subjek yang anda minat.

Jadi bagaimana hendak menimbulkan minat terutama terhadap subjek yang memang kita benci? Mungkin untuk mendapat kefahaman yang jitu tentang minat ini pelajar harus sering bertanya kepada diri sendiri beberapa persoalan:

(1)subjek ini amat penting dalam peperiksaan?
(2)subjek ini mampu memberi pengetahuan yang berguna pada masa depan?
(3)apakah keunikan subjek ini yang boleh menarik minat saya?

Semua pertanyaan itu bertujuan untuk mencipta minat dalam diri pelajar kerana ada sesetengah orang memang sudah mempunyai minat sejak awal lagi tetapi ramai yang perlu dibangkitkan minat mereka terhadap sesuatu perkara itu.

Kalau pelajar sudah mempunyai minat maka, pelajar sudah memasuki satu alam yang menyediakan mereka untuk belajar dengan baik.

Ingat minat cetuskan kejayaan anda semua.



Cuti untuk berehat

Cuti digunakan sebaik mungkin

Sebenarnya ramai pelajar yang bertanya apa perkara yang patut mereka lakukan ketika cuti sekolah ini? Jawapan saya mudah sahaja iaitu bercuti dengan secukupnya. Mungkin ada yang terkejut kerana bukankah masa cuti masa yang paling baik untuk menelaah atau melihat buku apabila mendengar nasihat saya ini. Ya, memang benar cuti patut dihabiskan begitu tetapi kali ini cuti sebelum semua pelajar memasuki satu alam baru. Ada yang akan mengambil SPM, STPM atau PMR. Ada juga yang akan memasuki kelas baru maksud saya tingkatan yang baru.

Jadi, cuti ini harus dihabiskan dengan berehat. Maksud saya rehat ialah menghabiskan masa dengan ibu bapa, kawan dan mungkin melakukan aktiviti yang anda semua minat. Sukan, melukis, bermain permainan video atau hanya mendengar muzik sahaja. Semua ini mampu memberi satu perasaan nikmat kepada pelajar jika mereka menghayati cuti mereka dengan sebaiknya. Cuti ialah masa untuk berehat bukannya masa membuat kerja sekolah.

Masa cuti juga menjadi peluang untuk anda menjaga diri. Lakukan perkara yang anda minati merupakan satu tindakan yang mampu menyihatkan badan anda kerana anda akan berasa gembira. Ceria melakukan sesuatu tanda kita menjaga diri dengan baik. Diri yang sihat amat penting untuk menghadapi tahun depan yang pasti banyak dugaannya. Bukan sahaja menjaga pemakanan penting tetapi menjaga diri anda juga penting melalui aktiviti yang member keceriaan kepada anda.

Jadi, kalau anda masih lagi membaca buku, saya cadangkan agar anda keluar sekarang. Telefon rakan lama anda, berbual dengan mereka atau paling mudah ajak sahaja ibu bapa anda berjalan-jalan ke tempat yang anda hajati selama ini. Inilah masanya. Inilah peluang untuk anda. Ini masanya untuk meluahkan perasaan anda itu.

Kenapa? Sebaik sahaja alam sekolah bermula, anda akan menghadapi tekanan yang sangat berat. Kerja rumah yang melambak, suara guru yang anda benci, rakan yang sering membuli anda atau peperiksaan yang pasti membuatkan minda anda meletup akan berlaku dan berlaku dan berlaku berulang kali. Bukankah lebih baik anda bergembira sekarang daripada bermasam muka sepanjang musim cuti ini?

Teruskan bercuti semua pelajar.

Kebaikan melaksanakan perindustrian di negara ini

Karangan 1

Negara kita telah mengutamakan perindustrian untuk mencapai era negara moden. Kerajaan telah menjalankan pelbagai dasar untuk meningkatkan tahap industri negara.

Terangkan kebaikan-kebaikan yang terjelma melalui langkah kerajaan ini.


Sememangnya negara kita telah memberi penekanan yang ketara terhadap aspek perindustrian terutama sejak awal tahun 80-an yakni era pentadbiran bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohammed. Penekanan ini sejajar dengan dasar kerajaan kita untuk mencapai tahap negara maju menjelang tahun 2020. Namun, perindustrian memang membawa pelbagai kebaikan kepada negara dan rakyat tanpa sebarang pertikaian lagi.

Kebaikan yang dibawa oleh perindustrian terhadap negara ialah dasar ini menyebabkan negara kita mampu mengurangkan import terutama barangan tertentu. Pengurangan import ini berupaya dilakukan kerana sektor industri negara telah berjaya menghasilkan produk tersebut pada harga yang lebih murah. Situasi ini turut memberi kesan terhadap sumber kewangan negara kerana kurang wang diperlukan untuk membayar harga barangan yang diimport. Lantas, wang tersebut mampu digunakan untuk pembangunan sektor lain.

Jadi, sumber kewangan negara yang berlebihan itu digunakan untuk meninggikan taraf hidup rakyat. Peningkatan taraf hidup ini dikaitkan dengan terhasilnya kemudahan-kemudahan seperti pendidikan, kesihatan, dan pengangkutan yang bertaraf tinggi kepada rakyat. Semua kemudahan ini dinikmati oleh rakyat negara kita tanpa perlu membayar kos yang lebih mahal. Kemudahan ini turut memudahkan rakyat untuk menjalani kehidupan seharian mereka.

Selain itu, penubuhan kilang menjadi antara intipati perindustrian. Kilang terpaksa dibina untuk menghasilkan pelbagai produk mengikut permintaan masyarakat antarabangsa. Justeru, permintaan terhadap bahan mentah negara akan meningkat. Hasil bahan mentah negara seperti bijih timah, getah, dan kayu akan meningkat selaras dengan perkembangan industri produk tersebut. Harga komoditi negara itu sudah pasti akan turut meningkat dengan mendadak yang menguntungkan rakyat negara ini.

Malah, penubuhan kilang ini sudah pasti memerlukan bilangan sumber manusia yang banyak. Rakyat negara ini akan mempunyai pekerjaan yang banyak atau boleh membuat pilihan. Kewujudan peluang pekerjaan ini sudah pasti menyaksikan negara ini mempunyai satu dimensi rakyat yang tidak bimbang tentang masa depan mereka kerana yakin kemampuan sektor perindustrian untuk terus berkembang dalam tempoh yang panjang.

Lantaran itu, semua perkara yang dinyatakan di atas telah menyebabkan imej negara turut meningkat. Masyarakat antarabangsa melihat negara kita sebagai sebuah negara yang mempunyai aktiviti ekonomi yang kukuh dan stabil. Pada mata mereka, negara kita telah berjaya menghasilkan satu bentuk kehidupan yang lebih baik daripada negara-negara jiran atau negara di benua lain yang masih berada di tahap yang menyedihkan. Imej yang baik di persada dunia ini sudah pasti memberi kesan psikologi terhadap rakyat negara kita yang berasa bangga tinggal di Malaysia.

Kesimpulannya, sektor perindustrian mampu membawa pelbagai impak positif kepada rakyat negara ini. Cuma dalam keghairahan kita menempa kejayaan dalam bidang ini, semua pihak harus menyedari impak negatif yang turut mampu terhasil akibat sektor ini. Mungkin kita harus merenung secara mendalam penekanan kita dalam bidang ini sebelum impak yang buruk menjadi ketara menjelang alaf mendatang.