Pakej Karangan PT3

Pakej Karangan PT3

Tuesday, July 28, 2009

Karangan SPM Tentang Faedah Menyertai Kokurikulum Sekolah?


Karangan 32

Kerajaan telah memberi penekanan terhadap aspek kokurikulum sekolah. Pelajar sudah mula diwajibkan untuk terlibat dalam aktiviti ini. Malah kemasukan ke universiti mula menekankan aspek kokurikulum juga.

Huraikan.


Kegiatan kokurikulum telah dianggap satu aktiviti yang penting tetapi pembabitan pelajar agak mengecewakan. Ada pelbagai faktor yang menyebabkan pelajar tidak mahu melibatkan diri mereka dalam aktiviti ini. Sikap tidak acuh pelajar ini telah menyebabkan kerajaan mewajibkan kegiatan ini dan menjadi syarat unntuk pemilihan ke universiti. Sebenarnya, kokurikulum mempunyai banyak kebaikan yang tersirat.

Pelajar yang terlibat dengan kokurikulum dapat menyihatkan badan mereka. Peluh yang keluar dapat menghilangkan toksik badan. Pelajar yang menghadapi era persekolahan zaman ini memang penuh masalah, jadi pembabitan dalam kokurikulum mampu mengurangkan tekanan ini. Kegiatan yang dijalankan itu mampu mengalih fikiran pelajar sejenak daripada persiapan peperiksaan mereka yang penuh dengan penghafalan dan membuat latihan. Jelaslah, minda mereka dapat berehat sebentar apabila melakukan aktiviti yang berbeza iaitu kegiatan kokurikulum.

Dalam masa yang sama pembabitan pelajar memastikan mereka tidak terbabit dengan aktiviti yang tidak sihat. Kegiatan kokurikulum dilakukan pada masa-masa yang telah ditetapkan. Penetapan masa ini menyebabkan pelajar terpaksa menguruskan masa mereka dengan bijak. Pelajar yang terbabit dalam aktiviti ini akan mengutamakan aktiviti kokurikulum dan pembelajaran mereka. Ringkasnya, mereka kekurangan masa untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang tidak sihat seperti melepak.

Selain itu, pelajar turut dapat menambah keyakinan diri mereka melalui aktiviti kokurikulum ini. Kokurikulum menyediakan satu “medan” yang sesuai kepada pelajar untuk memimpin atau mengetuai sesuatu pertubuhan. Situasi ini memberikan mereka satu keyakinan terhadap kemampuan mereka dalam aspek-aspek tertentu. Mereka mula menyedari bakat yang ada dan berupaya untuk mengembangkannya serta mengasahnya menjadi sesuatu yang lebih cemerlang lagi seperti memimpin pertubuhan belia, syarikat dan mungkin juga negara.

Malahan, aktiviti kokurikulum membuka minda dan mata pelajar tentang erti persahabatan dan pergaulan. Mereka akan bertemu dengan pelbagai orang dalam menjalankan aktiviti kokurikulum itu. Mereka mengenal jenis manusia sebenar terutama apabilamenghadapi masalah untuk menganjurkan sesuatu aktiviti. Mereka juga mengenali erti persahabatan yang sejati. Pengalaman ini semua akan mengajar pelajar erti kehidupan yang tidak boleh mereka peroleh di luar.

Kesimpulannya, aktiviti kokurikulum haruslah disertai oleh semua pelajar tanpa sebarang prasangka buruk. Mereka tidak harus menganggap aktiviti ini akan menghalang kemajuan mereka dalam peperiksaan. Mereka tidak harus menyalahkan kokurikulum kalau mereka tidak memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Mereka seharusnya melihat aktiviti ini sebagai satu proses pembelajaran yang harus dialami oleh semua orang sebagai sebahagian daripada proses kehidupan kita sebagai manusia.

Thursday, July 23, 2009

Ulasan E-Buku Senarai Perkataan Boombastik 2009


ULASAN E-BUKU SENARAI PERKATAAN BOOMBASTIK KARANGAN 2009

Kali pertama saya ternampak iklan ini di dalam blog ini, saya tertanya-tanya sejauh mana berkesannya e-buku ini. Namun setelah saya mencubanya maksud saya memilikinya barulah saya sedar e-buku karya cikgu azman banyak membantu saya terutama e-buku ini yakni E-Buku Seranai Perkataan Boombastik Karangan 2009.

Sebaik sahaja membaca e-buku ini, hasil karangan saya mula disedari oleh guru sekolah saya terutama kemahiran saya menggunakan bahasa yang canggih dalam menyampaikan setiap isi karangan saya itu. Bagaimana saya menguasai perkataan ini semua? Mudah sahaja. Saya membaca e-buku ini.

Setiap halaman e-buku ini memaparkan perkataan canggih yang boleh digunakan dalam karangan. Penulis yakni cikgu azman telah memberikan makna setiap perkataan canggih itu kemudian memberikan contoh ayat yang membolehkan pelajar lebih memahami cara penggunaan perkataan itu. Jadi, pelajar boleh mengaitkan penggunaan perkataan canggih itu dengan mudah. Saya difahamkan oleh guru di sekolah saya bahawa markah karangan boleh menjadi lebih baik jika pengguna tahu menggunakan kosa kata yang memaparkan kematangan mereka. Jadi, saya yakin kemahiran menguasai perkataan boombastik ini membolehkan penulisan saya nampak lebih matang sedikit.

Contoh perkataan canggih yang ada dalam e-buku ini ialah:

MEMANIFESTASIKAN FIKIRAN
Maksudnya : menggunakan atau melahirkan idea dengan sebaik mungkin.

Kejayaan penulis ditentukan menerusi keupayaannya memanifestasikan fikirannya ke dalam jalan cerita novel.

Menukilkan Kata-Kata
Maksudnya: Menulis atau bercakap sesuatu

Saya menukilkan kata-kata semangat di atas kertas itu untuk memberi semangat kepada adik yang bakal menghadapi peperiksaan.

MEMBERIKAN IMPAK
Maksudnya: Mengakibatkan atau menyebabkan sesuatu

Peristiwa kemalangan itu memberikan impak yang besar dalam kehidupan pemuda tersebut.

RENTETAN SENARIO ITU
Maksudnya: Selepas fenomena itu

Rentetan senario itu, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai peraturan di kawasan sekolah.


Saya yakin rakan-rakan semua sudah faham maksud saya tentang keberkesanan e-buku ini.

Mohammad Syahid Shah

Tuesday, July 21, 2009

Karangan PMR 2009 Ialah Karangan Minat Membaca?

Karangan 31

Bangsa membaca bangsa berilmu sering menjadi cogan kata sesuatu majlis ilmu tetapi rakyat negara ini masih terbelakang dalam aspek pembacaan. Kita dikatakan hanya membaca satu buku sahaja setahun.

Terangkan langkah-langkah untuk meningkatkan minat membaca


Masyarakat kita memang tidak suka membaca kerana menganggap aktiviti ini sebagai membosankan. Kajian menunjukkan bahawa rakyat negara ini hanya membaca sebuah buku setahun berbanding negara-negara lain yang boleh mencecah 8 buku setahun. Keadaan ini sudah pasti amat memalukan kita semua kerana ketika kita mahu dianggap sebuah negara maju, kadar pembacaan kita terlalu rendah. Agaknya elok kita menilai keutamaan kita dalam menjalani kehidupan seharian sebelum pantas mengkritik kelemahan negara lain.

Antara langkah yang boleh diambil untuk menangani kemelut ini ialah kerajaan menurunkan harga buku terutama buku ilmiah. Penurunan harga ini membolehkan lebih ramai membeli dan dapat membaca. Harga buku yang rendah turut menyebabkan seseorang dapat membuat rujukan lebih banyak buku terhadap sesuatu perkara. Ketika ini, harga buku yang terlalu mahal menyebabkan masyarakat menganggap membeli buku sebagai satu kerja membazir dan berbau golongan atasan.

Tambahan itu, kerajaan harus memberikan banyak insentif kepada penerbit atau syarikat buku untuk menghasilkan lebih banyak buku. Insentif dalam bentuk pengecualian cukai, keuntungan dan pemberian permit penerbitan harus diberikan tanpa sebarang gangguan birokrasi. Pemberian ini akan menyebabkan lebih banyak penerbit baru muncul kerana mereka yakin perniagaan mereka akan mengaut keuntungan.

Selain itu, pembukaan lebih banyak pembukaan perpustakaan akan memberi galakan kepada masyarakat untuk membaca. Kewujudan perpustakaan menyebabkan seseorang senang untuk mendapatkan ruang untuk membaca. Tiada lagi alasan untuk tidak membaca kerana ketiadaan perpustakaan terutama di kawasan pedalaman. Perpustakaan bergerak juga harus ditambah dengan drastik kerana perpustakaan ini mampu menjalankan peranannya dengan berkesan terutama di kawasan yang padat penduduk dan terlalu jauh.

Kesimpulannya, pembacaan seharusnya menjadi sebahagian daripada kehidupan kita yang tidak harus dibiarkan begitu sahaja. Membaca juga perlu dijadikan aktiviti sihat bersama-sama keluarga. Ibubapa harus memberi teladan yang jelas dalam aspek ini kerana biasanya anak-anak akan mengikut jejak langkah orang tua mereka. Mungkin selepas ini kita semua akan membaca?

Tuesday, July 14, 2009

Karangan PMR 2009...Masalah Obesiti Penduduk Negara Ini


Karangan 30

Kadar obesiti dalam kalangan rakyat di negara ini dikatakan semakin meningkat. Keadaan ini berkaitan dengan tahap kesihatan rakyat yang semakin diabaikan.

Jadi, apakah cara-cara yang mampu dilakukan oleh kita sebagai rakyat biasa untuk menjaga kesihatan.


Kesihatan dianggap perkara yang paling penting dalam kehidupan seseorang. Tahap kesihatan menentukan keadaan kehidupan yang dijalani oleh seseoorang itu. Semakin baik kesihatan seseorang itu semakin mudahlah mereka mengharungi kehidupan mereka. Malah, ada kajian yang mengaitkan kesihatan yang baik memastikan produktiviti seseorang itu meningkat. Ada banyak kaedah yang boleh digunakan untuk memastikan kesihatan seseorang itu bertambah baik.

Kesihatan ditentukan oleh pemakanan seseorang. Itulah antara kata-kata hikmah yang sering kita dengar mengenai penjagaan kesihatan. Pengambilan makanan atau diet yang seimbag memastikan badan menerima khasiat yang diperlukannya. Diet yang betul sepanjang kehidupan seseorang itu menyebabkan kesihatannya terjamin. Cuma, kita agak sukar untuk mengamalkan perkara yang baik ini untuk jangka masa panjang kerana tahap kesihatan itu sukar diperoleh dalam masa yang pantas dan agak berbeza mengikut pandangan seseorang.

Bukan sahaja diet penting tetapi penjagaan kebersihan turut berperanan besar untuk menghalang penularan penyakit. Diri seseorang haruslah bersih dan kawasan tempat tinggal juga dipantau tahap kebersihannya. Malah, kawasan sekeliling turut diberi perhatian untuk memastikan semuanya dalam keadaan bersih daripada penyakit berjangkit. Semua tindakan ini akan memastikan seseorang itu tidak diserang penyakit berjangkit seperti taun.

Selain itu, aktiviti luar harus dilakukan. Senaman ringan dua atau tiga kali seminggu sudah mampu memberikan tahap kesihatan yang baik. Imunisasi seseorang turut meningkat melalui aktiviti senaman ini. Peluh yang keluar membuang sisa toksik yang tidak diperlukan oleh badan. Dalam masa yang sama senaman ini turut mengurangkan tekanan atau stres yang dialami oleh seseorang itu. Stres sering dikaitkan dengan kadar kematian yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat moden terutama di negara ini.

Kesimpulannya, menjaga kesihatan merupakan satu tindakan yang sepatutnya dilakukan oleh semua orang. Penjagaan kesihatan zaman ini juga dianggap menelan belanja yang banyak kerana kesihatan telah dijadikan sebagai satu kegiatan ekonomi. Seseorang itu perlulah bijak dalam menangani isu ini supaya tidak tertipu kerana tidak ada harta yang mampu membeli kesihatan yang baik. Harta yang penting dalam diri manusia ialah kesihatannya bukannya wang ringgit kerana kita boleh hidup tanpa wang tetapi tanpa kesihatan, nyawa kita akan melayang.

Sunday, July 5, 2009

Karangan Peranan Memiliki HOBI?


Karangan 29

Setiap orang mempunyai hobinya yang tersendiri. Ada banyak pendapat yang mengatakan bahawa mempunyai hobi membawa banyak kesan baik.

Pada pandangan anda, apakah fungsi-fungsi hobi.


Setiap individu mempunyai hobinya yang tersendiri. Ada yang suka memancing, ada yang suka bersukan, ada yang minat berlumba, ada yang gemar mendaki gunung dan berbagai-bagai hobi. Semua orang mempunyai alasan tersendiri yang menyebabkan mereka melakukan semua hobi itu. Jadi, apakah fungsi-fungsi hobi dalam kehidupan kita dan usaha-usaha untuk menggalakkannya terutama dalam kalangan remaja? Elok kita semua renungkan.

Sesungguhnya hobi memastikan masa senggang seseorang itu dipenuhi dengan baik. Masa memang emas dan harus digunakan sebaik mungkin. Hobi memudahkan kita menghabiskan masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah. Aktiviti riadah ini memang nampak mudah dan tidak menarik tetapi mempunyai kesan yang mendalam kerana memastikan masa seseorang itu digunakan sebagaik mungkin. Ada masa untuk bekerja, ada masa untuk keluarga, ada masa untuk berhibur dan masa untuk riadah.

Selain itu, aktiviti hobi mampu menajamkan pemikiran seseorang itu. Sesuatu hobi itu hanya mampu dilakukan melalui perancangan dan kebolehan yang tertentu. Masa, teman yang akan dijemput dan kekerapan melakukan hobi harus ditentukan dahulu. Jadi, kekerapan melakukan sesuatu aktiviti itu menjadikan seseorang itu kritikal fikirannya terutama untuk memastikan hobinya lebih baik dan berkesan untuk jangka panjang. Minda sihat dan fizikal turut menjadi lebih kuat untuk mengharungi kehidupan moden yang penuh cabaran ini.

Pemilikan hobi juga mampu mengeratkan hubungan baik keluarga atau rakan rapat seseorang itu. Aktiviti hobi boleh dilaksanakan bersama-sama dengan anak atau kawan lalu menyebabkan interaksi semakin kerap berlaku. Tindakan ini memberikan satu pemahaman yang baik tentang sikap seseorang. Jelaslah, hobi berupaya menjadikan hubungan sosial manusia semakin positif.

Jadi, hobi memang harus dimiliki oleh semua orang tanpa mengira usia, pangkat dan asal-usul. Aktiviti positif ini akan memberi banyak kesan baik kepada individu dalam aspek kesihatan mental dan fizikal seseorang itu. Kehidupan kita juga menjadi lebih bermakna dan menarik untuk diteruskan dari hari ke hari. Sudahkah anda semua melakukan hobi anda hari ini?