Sunday, July 5, 2009

Karangan Peranan Memiliki HOBI?


Karangan 29

Setiap orang mempunyai hobinya yang tersendiri. Ada banyak pendapat yang mengatakan bahawa mempunyai hobi membawa banyak kesan baik.

Pada pandangan anda, apakah fungsi-fungsi hobi.


Setiap individu mempunyai hobinya yang tersendiri. Ada yang suka memancing, ada yang suka bersukan, ada yang minat berlumba, ada yang gemar mendaki gunung dan berbagai-bagai hobi. Semua orang mempunyai alasan tersendiri yang menyebabkan mereka melakukan semua hobi itu. Jadi, apakah fungsi-fungsi hobi dalam kehidupan kita dan usaha-usaha untuk menggalakkannya terutama dalam kalangan remaja? Elok kita semua renungkan.

Sesungguhnya hobi memastikan masa senggang seseorang itu dipenuhi dengan baik. Masa memang emas dan harus digunakan sebaik mungkin. Hobi memudahkan kita menghabiskan masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah. Aktiviti riadah ini memang nampak mudah dan tidak menarik tetapi mempunyai kesan yang mendalam kerana memastikan masa seseorang itu digunakan sebagaik mungkin. Ada masa untuk bekerja, ada masa untuk keluarga, ada masa untuk berhibur dan masa untuk riadah.

Selain itu, aktiviti hobi mampu menajamkan pemikiran seseorang itu. Sesuatu hobi itu hanya mampu dilakukan melalui perancangan dan kebolehan yang tertentu. Masa, teman yang akan dijemput dan kekerapan melakukan hobi harus ditentukan dahulu. Jadi, kekerapan melakukan sesuatu aktiviti itu menjadikan seseorang itu kritikal fikirannya terutama untuk memastikan hobinya lebih baik dan berkesan untuk jangka panjang. Minda sihat dan fizikal turut menjadi lebih kuat untuk mengharungi kehidupan moden yang penuh cabaran ini.

Pemilikan hobi juga mampu mengeratkan hubungan baik keluarga atau rakan rapat seseorang itu. Aktiviti hobi boleh dilaksanakan bersama-sama dengan anak atau kawan lalu menyebabkan interaksi semakin kerap berlaku. Tindakan ini memberikan satu pemahaman yang baik tentang sikap seseorang. Jelaslah, hobi berupaya menjadikan hubungan sosial manusia semakin positif.

Jadi, hobi memang harus dimiliki oleh semua orang tanpa mengira usia, pangkat dan asal-usul. Aktiviti positif ini akan memberi banyak kesan baik kepada individu dalam aspek kesihatan mental dan fizikal seseorang itu. Kehidupan kita juga menjadi lebih bermakna dan menarik untuk diteruskan dari hari ke hari. Sudahkah anda semua melakukan hobi anda hari ini?

2 comments: