Pakej Karangan PT3

Pakej Karangan PT3

Thursday, August 27, 2009

E-Buku Karangan PMR Terbaik 2009


Masih tidak pasti dengan persiapan PMR anda? Keliru dengan isi-isi karangan yang harus diingati? Aspek karangan masih menghantui fikiran anda semua? Mungkin e-buku ini berupaya menjawab semua masalah anda itu.

E-Buku Karangan disediakan oleh guru-guru yang berpengalaman luas dalam bidang pendidikan terutama penulisan karangan. Lantaran itu, semua karangan yang wujud dalam buku ini mampu memberikan satu pandangan baru kepada pelajar untuk menjawab dalam soalan peperiksaan mereka.

Dengan hanya RM10 sahaja, pelajar mampu menjadikan aspek pembelajaran mereka lebih mudah dan sistematik. Berminat sila emel saya: azmanukm@gmail.com dengan segera.

Buku yang harus pelajar semua miliki.

Monday, August 24, 2009

Karangan Langkah-langkah Meningkatkan Semangat Kejiranan Negara


Karangan 34

Semangat kejiranan sudah longgar dalam masyarakat kita kalau kita lihat sejak akhi-akhir ini. Keadaan ini menimbulkan pelbagai spekulasi kepentingan semangat ini diamalkan.

Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah untuk meningkatkan semangat ini dan kepentingannya.


Semangat kejiranan merujuk semangat membantu masyarakat setempat terutama jiran bersebelahan dalam kehidupan seharian mereka. Sememangnya semangat kejiranan ini semakin hilang dalam masyarakat kita sehingga menimbulkan pelbagai isu semasa pula. Jadi, ada banyak kaedah yang boleh dilaksanakan untuk memastikan semangat ini berterusan kerana memang ada kepentingannya.

Langkah awal ialah masyarakat menghidupkan semua konsep rukun tetangga di kawasan perumahan mereka. Rukun tetangga berfungsi untuk mengawal keselamatan kawasan perumahan terutama pada malam hari. Aktiviti ini memerlukan pembabitan semua pihak tanpa mengira kaum yang mampu menanam semangat kejiranan ketika melakukan rondaan bersama-sama. Oleh itu, hubungan rapat yang terjalin melalui rukun tetangga ini mengeratkan lagi perhubungan antara jiran.

Selain itu, semangat ini mampu dipupuk dengan mengadakan pelbagai majlis yang bercorak setempat. Majlis perkahwinan, rumah terbuka dan hari keluarga mampu menghidupkan semula semangat yang murni ini. Semua jiran akan beramah mesra dan mengenali satu sama lain melalui majlis seperti ini. Sesungguhnya, semangat kejiranan berupaya tumbuh dengan subur berdasarkan majlis sebegini.

Kerajaan turut mampu memainkan peranan dengan mengadakan kempen kesedaran semangat kejiranan ini. Penggunaan media massa seluas mungkin dengan iklan yang menarik sudah pasti berupaya menarik perhatian masyarakat terhadap isu ini. Masyarakat akan mula mempersoal tahap semangat kejiranan mereka dan berusaha ke arah mengekalkan serta meningkatkan semangat itu di kawasan mereka. Sememangnya kerajaan berperanan penting dalam memulakan usaha memupuk semangat mulia ini.

Dalam masa yang sama sikap dan persepsi masyarakat perlu berubah. Masyarakat hendaklah memandang semangat kejiranan ini sebagai satu perkara penting dalam kehidupan bermasyarakat. Semangat ini perlulah diutamakan dalam sebarang tindakan yang ingin dilaksanakan oleh masyarakat. Jelaslah, paradigma yang baru ini memastikan semangat kejiranan akan terus mekar dalam masyarakat kita.

Kesimpulannya, semangat kejiranan memang boleh dicapai melalui beberapa kaedah yang dijelaskan tadi. Semua pihak perlulah berusaha untuk memastikan semangat ini terus diamalkan oleh masyarakat di negara ini. Mungkin kita semua harus bertanya diri sendiri "siapakah jiran kita?

Monday, August 17, 2009

Karangan PMR 2009 Kebaikan Pelajar Bekerja Sambilan?


Dewasa ini, banyak pelajar bekerja sambilan semasa cuti persekolahan.

Pada pendapat anda, wajarkah pelajar bekerja secara sambilan.



Apakah kerja sambilan? Sebenarnya kerja sambilan ini merujuk kerja sementara yang biasanya dilakukan oleh golongan remaja terutama ketika musim cuti sekolah. Kerja ini turut dilakukan oleh golongan tua dan wanita atas dasar untuk menambah pendapatan atau membantu suami menyara keluarga. Sememangnya kerja sambilan wajar dilakukan oleh remaja kerana sudah menjadi satu gaya hidup moden tetapi gaya ini turut mencetuskan pelbagai impak terhadap remaja.

Kerja sambilan ini memberi satu pengajaran berguna kepada remaja dalam kehidupan. Jangka masa yang pendek bersama-sama rakan sekerja dan majikan pasti meninggalkan pelbagai kesan yang menarik. Remaja menyedari betapa kehidupan social memerlukan kemahiran tinggi terutama ketika di tempat kerja. Jadi, pengalaman kerja sambilan menjadi alat untuk menjelaskan erti kehidupan sebenar kepada remaja sebelum mereka benar-benar melaluinya.

Malah, remaja mampu membentuk personaliti yang menarik menerusi kerja sambilan ini. Tugas di tempat kerja membina jati diri remaja yang baru kerana kerja ini memerlukan mereka menepati masa, rajin bekerja, menurut arahan, dan menggunakan minda ketika berinteraksi dengan pelanggan. Remaja yang dahulunya malas, tiada wawasan,tidak yakin diri dan sebagainya pasti berubah sebaik sahaja mereka bekerja secara sambilan ini.

Sudah pasti kelebihan ketara bekerja secara sambilan ini ialah aspek kewangan. Remaja mempunyai wang mereka sendiri yang memberi sedikit kepuasan dalam hidup. Perasaan mampu membeli sesuatu atas kemampuan kewangan sendiri sememangnya membawa satu perasaan yang tidak dapat dihuraikan. Jelaslah, kerja sambilan memberi satu kepuasan kewangan yang begitu tinggi kepada remaja.

Cuma dalam keghairahan remaja bekerja secara sambilan ini, aspek impak negatifnya harus diberi pertimbangan sewajarnya. Remaja menjadi individu yang terlalu sibuk, mementingkan kewangan,lupa tugas belajar mereka dan mungkin terlalu angkuh sehingga menganggap mereka sudah mampu hidup sendiri tanpa bantuan keluarga. Sikap terlalu rapat dengan rakan sekerja yang lebih dewasa turut mampu menjerumuskan remaja ke arah budaya yang tidak sihat.

Kesimpulannya, kerja sambilan sememangnya wajar dilakukan oleh remaja tetapi harus secara bertanggungjawab. Remaja harus menimbang dengan mendalam sebelum menyertai kerja sambilan. Bukan sahaja kebenaran ibubapa penting tetapi remaja harus bertanya kepada diri sendiri, adakah ini sesuatu yang ingin mereka lakukan? Atau mereka penuhkan masa cuti mereka dengan aktiviti berfaedah yang lain.

Friday, August 14, 2009

Karangan PMR Malaysia Sebuah Negara Maju


Karangan

Malaysia bakal menjadi negara maju pada tahun 2020. Nyatakan pendapat anda mengenainya.



Sememangnya negara kita mempunyai impian besar untuk menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Impian ini juga sudah lama tertanam dalam jiwa setiap rakyat negara ini sejak kecil lagi. Malaysia mahu menjadi sebuah negara yang setanding dengan negara-negara maju lain seperti Amerika Syarikat dan Jepun. Sesungguhnya, hasrat tersebut bukanlah sesuatu yang mustahil.

Kemodenan yang diinginkan oleh Malaysia itu bakal menjadikan negara ini negara industri utama dunia. Kita tidak lagi banyak bergantung kepada industri pertanian tetapi hasil eksport produk kilang negara akan menguasai pasaran global. Semua produk negara bukan sahaja berkualiti tetapi mampu bersaing dengan produk daripada negara maju lain seperti Jepun dan Jerman.

Kemunculan industri kilang ini menjadikan lebih banyak peluang kerja dicipta untuk dipenuhi oleh penduduk tempatan. Kita tidak akan lagi mendengar kadar pengangguran yang tinggi di negara ini kerana semua orang mempunyai kerja. Semakin banyak kilang semakin banyaklah pekerja yang diperlukan dalam negara ini.

Selain itu, harga produk yang dihasilkan oleh negara kita akan menjadi lebih murah buat penduduk tempatan kerana mampu dihasilkan dalam kuantiti yang banyak. Semua lapisan masyarakat mampu memiliki peralatan kehidupan yang sempurna kerana negara mampu menghasilkan pelbagai produk itu. Negara juga tidak lagi perlu mengimport produk yang sama daripada negara luar.

Malah, taraf kehidupan rakyat negara ini juga akan menjadi lebih baik. Kewujudan produk moden pasti menjadikan kehidupan kita semakin baik lalu menjadikan negara ini contoh kepada negara dunia lainnya. Imej negara terus meningkat apabila berupaya menjadi negara moden.

Kesimpulannya, hasrat dan usaha murni kerajaan itu pasti akan menjadi kenyataan. Kerjasama rakyat bersama-sama tindakan konkrit kerajaan akan membuahkan hasilnya kelak. Malaysia akan menjadi negara kuasa dunia suatu masa nanti.

Wednesday, August 5, 2009

Karangan Kebaikan Membaca Novel Kepada Pelajar?


Karangan 33

Novel sudah menjadi satu perkara penting dalam kehidupan remaja. Biasanya remaja suka membaca novel yang berunsur cinta.
Jelaskan kebaikan-kebaikan membaca novel.


Novel merujuk bentuk penulisan yang panjang dan memaparkan pelbagai ragam kehidupan manusia. Novel memang menjadi aspek penting dalam kehidupan remaja terutama novel berunsur cinta yang mengasyikkan jiwa remaja. Cuma membaca novel mampu membawa impak positif dan negatif yang harus diberi perhatian.

Aktiviti membaca sudah pasti membuka minda remaja terhadap sesuatu isu yang dipaparkan dalam novel yang dibaca.Tema yang digarap oleh penulis itu sememangnya berkaitan dengan isu semasa realiti dan ini memberi satu bentuk pemahaman yang mudah kepada remaja. Novel menjadi isu semasa itu sesuatu yang mudah difahami tetapi dibentangkan dalam bentuk cerita yang lebih bersesuaian dengan diri remaja. Oleh itu, semakin banyak novel yang dibaca semakin luaslah minda remaja.

Amalan membaca novel ini turut menjadikan seseorang itu lebih memahami konsep sastera dengan lebih yakin. Penggunaan bahasa yang diksi oleh penulis sudah pasti akan memberi satu rangsangan kepada pembacanya. Kesantunan bahasa yang digunakan mencungkil naluri pembaca untuk mengetahui maksud perkataan yang dipilih oleh penulis novel itu. Sudah pasti tindakan ini akan memastikan pembaca mempunyai koleksi kosa kata yang banyak.

Malah, aktiviti membaca novel membolehkan seseorang itu menghabiskan masa senggangnya dengan lebih berfaedah. Pembacaan novel memerlukan seseorang itu menumpukan perhatian yang jitu untuk satu masa yang panjang. Biasanya sehari atau mungkin beberapa hari diperlukan untuk menghabiskan sesebuah novel itu. Jadi, membaca novel menyebabkan masa remaja dihabiskan dengan baik tanpa melibatkan kegiatan yang tidak baik.

Kesimpulannya, membaca novel memang baik tetapi impak buruknya turut wujud. Seseorang remaja itu perlulah pandai menilai dan memilih jenis novel yang sesuai dengan usia mereka.Pembacaan yang meluas dalam kalangan remaja turut membina satu kelompok remaja negara yang berpengetahuan luas dan memiliki pemikiran yang kritis.