Friday, August 14, 2009

Karangan PMR Malaysia Sebuah Negara Maju


Karangan

Malaysia bakal menjadi negara maju pada tahun 2020. Nyatakan pendapat anda mengenainya.



Sememangnya negara kita mempunyai impian besar untuk menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Impian ini juga sudah lama tertanam dalam jiwa setiap rakyat negara ini sejak kecil lagi. Malaysia mahu menjadi sebuah negara yang setanding dengan negara-negara maju lain seperti Amerika Syarikat dan Jepun. Sesungguhnya, hasrat tersebut bukanlah sesuatu yang mustahil.

Kemodenan yang diinginkan oleh Malaysia itu bakal menjadikan negara ini negara industri utama dunia. Kita tidak lagi banyak bergantung kepada industri pertanian tetapi hasil eksport produk kilang negara akan menguasai pasaran global. Semua produk negara bukan sahaja berkualiti tetapi mampu bersaing dengan produk daripada negara maju lain seperti Jepun dan Jerman.

Kemunculan industri kilang ini menjadikan lebih banyak peluang kerja dicipta untuk dipenuhi oleh penduduk tempatan. Kita tidak akan lagi mendengar kadar pengangguran yang tinggi di negara ini kerana semua orang mempunyai kerja. Semakin banyak kilang semakin banyaklah pekerja yang diperlukan dalam negara ini.

Selain itu, harga produk yang dihasilkan oleh negara kita akan menjadi lebih murah buat penduduk tempatan kerana mampu dihasilkan dalam kuantiti yang banyak. Semua lapisan masyarakat mampu memiliki peralatan kehidupan yang sempurna kerana negara mampu menghasilkan pelbagai produk itu. Negara juga tidak lagi perlu mengimport produk yang sama daripada negara luar.

Malah, taraf kehidupan rakyat negara ini juga akan menjadi lebih baik. Kewujudan produk moden pasti menjadikan kehidupan kita semakin baik lalu menjadikan negara ini contoh kepada negara dunia lainnya. Imej negara terus meningkat apabila berupaya menjadi negara moden.

Kesimpulannya, hasrat dan usaha murni kerajaan itu pasti akan menjadi kenyataan. Kerjasama rakyat bersama-sama tindakan konkrit kerajaan akan membuahkan hasilnya kelak. Malaysia akan menjadi negara kuasa dunia suatu masa nanti.

No comments: