Pakej Karangan PT3

Pakej Karangan PT3

Sunday, January 17, 2010

Karangan 4...Impak Kewujudan Pasaraya Besar di Malaysia?


Karangan 4

Kewujudan pasaraya besar di negara ini sudah menjadi satu kebiasaan. Cuma pelbagai masalah pula timbul tanpa disedari.

Huraikan masalah-masalah yang timbul itu.


Salah satu bukti yang menunjukkan bahawa masyarakat sesebuah negara itu sudah maju ialah pasaraya besar wujud dengan begitu ketara dan Malaysia sudah memiliki pelbagai pasaraya besar. Kewujudan pasaraya sebegini sudah menjadi satu lumrah kehidupan terutama di kawasan bandar besar yang mempunyai populasi yang begitu tinggi. Kebanyakan pasaraya besar ini dimiliki oleh syarikat multinasional yang berasal dari negara asing seperti Perancis dan Britain. Sudah pasti akan wujud pelbagai impak ekoran kemunculan pasaraya sebegini dalam budaya kita.

Impak negatif yang pertama ialah pasaraya besar ini berupaya menjejaskan keseinambungan peruncit-peruncit kecil-kecilan di negara ini. Kalau dahulu peruncit ini boleh bersaing dengan pekedai lain tetapi kemunculan pasaraya besar sukar ditandingi mereka. Biasanya pasaraya besar membeli barangan dalam bentuk pukal lalu berupaya menjualnya dengan harga yang jauh begitu murah. Pada masa yang sama kos operasi pasaraya ini juga begitu rendah dibandingan dengan peruncit tempatan yang tiada pilihan selain gulung tikar. Maka, semakin banyak pasaraya besar ini semakin tipislah peluang untuk peruncit tempatan untuk mengaut keuntungan.

Pada masa yang sama pasaraya besar membawa kemunculan budaya baru pula yakn budaya membeli barangan dalam kuantiti yang banyak. Biasanya pembeli terpaksa membeli dalam jumlah yang banyak untuk mendapatkan lebih banyak potongan harga jika membeli sesuatu produk itu secara berasingan. Keadaan ini menyebabkan timbulnya konsep pembaziran yang keterlaluan terutama dalam aspek penggunaan sesuatu produk dan juga kegunaan wang pengguna. Oleh itu, pasaraya besar menyebabkan budaya membazir muncul dalam masyarakat kita sedikit demi sedikit lalu menjadi satu kelaziman pula suatu masa nanti.

Akibat pembinaan pasaraya besar ini tertumpu di kawasan yang padat penduduknya masalah kesesakan lalu lintas pula menjadi semakin kronik terutama ketika hujung minggu atau awal bulan. Kesukaran untuk mendapatkan tempat letak kereta menyebabkan banyak penggunan yang berkunjung ke pasaraya ini sengaja meletakkan kereta mereka di bahu-bahu jalan lalu menghalang kelancaran lalu lintas kenderaan lain pula. Situasi sesak ini pastinya menimbulkan masalah bukan sahaja kepada pengguna tetapi juga kepada penduduk sekitar yang terpaksa menghadapi keadaan yang serupa berulang kali sepanjang hidup mereka. Sesungguhnya, pasaraya besar menyebabkan berlakunya kesesakan lalu lintas bukanlah satu isu baru lagi malah sudah menjadi sesuatu yang biasa pula.

Natijahnya, pasaraya besar memberikan satu impak yang besar dalam kehidupan masyarakat kita sekarang. Kalau kita kaji secara mendalam semua aktiviti harian masyarakat banyak tertumpu di kawasan pasaraya besar ini. Kalau dahulu berbelanja dianggap sebagai satu kehendak kini aktiviti berbelanja sudah menjadi keperuan atau amalan biasa dalam kehidupan masyarakat kita. Mungkin masyarakat kita tidak akan mengena lagi jiran tetangga mereka kerana sibuk menghabiskan masa di pasaraya sahaja. Bayangkan.

Thursday, January 14, 2010

Tawaran E-Buku Terbaru Saya...4 buku untuk RM30 sahaja


Ini merupakan semua e-buku yang penting buat pelajar PMR. Sekali beli semua keperluan pelajar menjadi lengkap.

Semua buku ini disusun untuk keperluan PMR dan harganya berpatutan. Hanya RM30.

Jika berminat sila emel saya segera.

Saya menunggu emel anda.

Cikgu azman

Saturday, January 2, 2010

Karangan 3 Kepentingan Sambutan Hari Perayaan di Malaysia?


Karangan 3

Anda diminta untuk menulis satu karangan bertajuk "Kepentingan sambutan hari perayaan di negara ini" untuk bacaan kelas anda.

Huraikan.


Sambutan hari perayaan di negara ini meliputi perayaan Hari Raya Puasa buat orang Islam, Tahun Baru Cina buat orang Cina dan perayaan Deepavali buat orang India. Ketika perayaan ini disambut suasananya pasti dengan kegembiraan dan sedikit hidangan makanan. Semua rakyat negara ini menanti-nanti setiap perayaan dengan penuh debaran dan semangat tinggi. Oleh itu memang ada banyak kebaikan jika sambutan perayaan ini dilaksanakan di negara ini.

Kalau semua perayaan ini disambut bersama-sama sudah pasti akan berlaku interaksi antara kaum dan hubungan erat akan terjalin. Perayaan di negara ini mempunyai konsep rumah terbuka yakni setiap perayaan akan diadakan majlis melawat rumah orang yang menyambut sesuatu perayaan itu. Lawatan yang diadakan sudah pasti akan menyebabkan berlakunya interaksi antara kaum. Oleh itu, perayaan memang mampu meningkatkan interaksi kaum.

Interaksi yang wujud ketika melawat rumah seseorang itu akan meningkatkan pengetahuan masing-masing akan budaya kaum yang lain. Pemahaman sebegini menjadikan masyarakat lebih faham akan tindakan seseorang daripada kaum yang berbeza dalam sesuatu perkara. Sudah pasti tidak akan timbul sebarang salah faham antara kaum pula. Maka, perayaan mampu meningkatkan kefahaman tentang budaya kaum yang lain.

Malah, imej negara juga akan turut menjadi lebih baik pada mata masyarakat dunia terutama pelancong asing. Bukan mudah untuk memiliki sebuah negara yang aman jika rakyatnya berbilang kaum berdasarkan masa masyarakat antarabangsa. Kejayaan Malaysia mengekalkan keamanannya banyak bergantung kepada keupayaan rakyat negara ini menyambut perayaan setiap kaum dengan penuh kegembiraan. Jelaslah, perayaan di negara ini memberikan satu imej yang positif kepada negara dengan begitu mudah.

Kesimpulannya, sambutan hari perayaan mestilah diamalkan oleh masyarakat di negara ini. Pada masa yang sama sambutan ini hendaklah dijadikan satu perayaan kebangsaan yang dinikmati bersama-sama. Generasi muda akan mendapat banyak manfaat daripada sambutan sebegini. Masyarakat yang harmoni akan wujud menerusi perayaan sebegini pada masa hadapan.