Seminar PT3

Seminar PT3
Berminat: 03-21483314

Thursday, July 22, 2010

Isu Semasa: Lagi lagi UPSR dan PMR Mansuh?


Pemansuhan UPSR dan PMR

Setiap hari ramai sahabat-sahabat saya yang bertanya kepada saya tentang tindakan kerajaan untuk menghapuskan UPSR dan PMR. Jawapan saya mudah sahaja, kerajaan hanya baru membuat cadangan dan keputusan muktamad belum lagi dibuat kerana semua pihak sedang memberikan hujah-hujah mereka sama ada hendak menamatkan peperiksaan ini atau tidak.

Namun, saya ada menyuarakan rasa tidak senang dengan ura-ura ini kerana setiap kali perubahan dilakukan kerajaan pasti akan membuat perubahan sebelum sebarang bukti atau kesan pelaksanaan dasar itu kelihatan. Lihat sahaja usaha untuk mengukuhkan penggunaan bahasa Inggeris yang nampaknya terus ditamatkan begitu sahaja. Sekarang kita hendak menamatkan dua peperiksaan pula.

Semua pihak memang ada hujah yang bernas tetapi kita lupa mungkin system pendidikan itu sendiri perlu perubahan. Bagaimana dengan jumlah guru yang ada di negara ini? Bagaimana pula dengan beban kerja mereka? Bagaimana pula dengan pencapaian pelajar yang sememangnya tidak suka belajar tetapi mahir dalam bidang yang lain seperti teknikal dan kemahiran lainnya? Inilah aspek yang jarang kita berikan perhatian.
Setahu saya kerajaan tidak membuat meja rundingan untuk membicarakan masalah guru, masalah kelas yang terlalu besar, masalah gaji guru yang rendah bersama-sama beban kerja yang tinggi dan juga masalah subjek-subjek Geografi, Ekonomi Prinsip Akaun dan bahasa yng gagal diberi penekanan itu. Kita ada masalah lain yang lebih serius tetapi kerajaan hanya mahu memansuhkan peperiksaan sahaja.

Kita suka membakar kelambu kerana marahkan nyamuk. Kita suka melakukan perkara yang tidak ada kaitan dengan masalah itu semata-mata untuk mendapat keuntungan lain pula. Kerajaan harus membuat perubahan pendidikan tetapi perubahan itu mestilah jujur demi kemajuan pelaja bukannya untuk mengaut keuntungan peribadi pula.

Tuesday, July 20, 2010

E-Buku Soalan Ramalan PMR 2010 Sudah Terbit?


E-buku ini boleh membantu pelajar menghadapi peperiksaan PMR dengan lebih tenang kerana menyediakan soalan-soalan yang berkualiti. Buku yang bakal terbit pada Ogos ini.

Kita semua sedia maklum bahawa kegagalan pelajar banyak disebabkan sikap mereka yang tidak suka membuat latihan atau melihat bahan-bahan yang berkualiti.

Jika pelajar berminat memiliki bahan ini sila emel kepada saya segera. Harganya hanya RM10 sahaja. Selepas Bulan Ogos harganya RM25.

Terima kasih.

Karangan PMR 2010... Peranan Ibu Bapa Memupuk Minat Membaca Remaja?


Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam memupuk budaya membaca dalam diri anak-anak.

Huraikan pendapat anda tentang pernyataan di atas.


Peribahasa bagaimana acuan begitulah kuihnya memberikan bukti yang jelas akan peranan utama ibu bapa dalam aspek pembacaan anak-anak. Ibu bapa menjadi tunggak atau pendorong utama dalam memupuk sikap membaca generasi muda kita kelak. Maka, pelbagai peranan yang mampu dilaksanakan oleh ibu bapa dalam menyelesaikan isu ini.

Ibu bapa perlulah menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak dalam aspek ini. Mereka perlulah sendiri mengamalkan sikap membaca dengan jelas seperti membaca semua bahan-bahan penting seperti akhbar atau bersama-sama membaca bersama anak mereka. Contoh yang diberikan oleh ibu bapa ini sudah pasti akan tertanam dalam dalam sanubari anak-anak mereka lalu menjadi satu tabiat positif pula.

Malah, ibu bapa boleh membelikan bahan-bahan bacaan yang bersesuaian dengan peringkat umur anak mereka. Bahan bacaan ini tidak semestinya merupakan bahan bacaan sekolah sahaja tetapi mungkin bacaan umum. Kepelbagaian bahan bacaan ini mampu memberikan satu dimensi pengetahuan yang unik kepada anak selain memupuk sikap membaca mereka.

Malahan, satu sudut khas untuk menyimpan buku atau ruang membaca harus disediakan di rumah oleh ibu bapa. Ruang atau bilik ini perlulah dilengkapi dengan pelbagai jenis buku dan kerusi serta meja untuk menjadikan suasana membaca lebih selesa. Bilik ini boleh menjadi tempat anak-anak menghabiskan masa lapang mereka dengan begitu berfaedah.

Tambahan pula, ibu bapa boleh menggalakkan anak-anak mereka menyimpan wang untuk membeli buku. Setiap hujung bulan ibu bapa boleh membawa anak ke kedai buku dan membenarkan mereka membeli buku-buku yang mereka suka. Mungkin juga ibu bapa boleh memberi sedikit bantuan kewangan jika harga buku yang dibeli oleh anak itu melebihi daripada wang yang mereka kumpul sebelum ini sebagai tanda menghargai sikap membaca mereka itu.

Kesimpulannya, amalan membaca membolehkan pelbagai jenis ilmu diperoleh oleh generasi muda kita. Peranan dan sikap ibu bapa amat penting dalam memupuk sikap membaca ini kerana merekalah yang menjadi teladan kepada anak-anak. Sikap membaca yang tinggi juga mampu menjadikan warga masyarakat kita satu kelompok masyarakat yang berilmu tinggi kelak.

Thursday, July 15, 2010

Karangan 8 : Impak Kejuruteraan Genetik Terhadap Manusia?


Karangan 8

Kejuruteraan genetik membawa manfaat yang banyak kepada manusia. Walau bagaimanapun, kesan negatifnya juga tidak boleh diabaikan.

Huraikan pernyataan ini.


Kejuruteraan genetik meliputi bidang penyelidikan dan pengubahsuaian genetik manusia, haiwan dan tanaman. Sudah banyak kejayaan yang dicapai oleh penyelidik-penyelidik luar negara dalam aspek ini sehingga ada yang mendapat liputan meluas media massa antarabangsa. Namun, setiap teknologi itu pasti ada kesan baik dan buruknya.

Kemungkinan aspek positif kejuruteraan genetik ini adalah kepada pasangan suami isteri yang tidak mempunyai anak. Kini, sudah ada teknologi dan kaedah yang membolehkan pasangan yang sebegini mempunyai anak dengan mudah dan selamat. Kewujudan anak dalam sesuatu keluarga itu sudah pasti mampu memberikan lebih suasana ceria yang diimpikan oleh manusia.

Malah, teknologi sebegini juga boleh membuat penyelidikan awal untuk menentukan bahawa anak yang bakal dilahirkan itu tidak mengalami sebarang kecacatan tertentu. Tindakan membuat penentuan genetik sebegini sudah pasti mampu memberikan satu ketenangan kepada ibu bapa yang bakal menerima anak dalam kehidupan mereka.

Malah, kejuruteraan genetik juga sudah mula memberi kesan positif dalam kes-kes jenayah dan sivil. Kalau dahulu pihak polis sukar untuk menahans eserang tanpa sebarang bukti yang konkrit kini masalah itu semakin menghilang kerana penggunaan teknologi ini akan memudahkan polis mengesan penjenayah. Dalam masa yang sama, penjenayah juga akan berfikir dua kali sebelum melakukan sebarang tindakan jahat kerana sedar sebarang tinggalan genetik mereka pasti mampu dikesan oleh polis dengan mudah.

Impak yang paling menarik yang dibawa oleh teknologi ini ialah industri ternakan akan mampu diperluaskan. Sudah pasti lebih banyak baka ternakan yang berkualiti tinggi mampu dihasilkan dengan mudah dan cepat. Hasil ternakan yang sebegini memberikan manusia satu sumber protein yang penting untuk memastikan keseinambungan kehidupan manusia. Penternak tidak akan mengalami sebarang masalah kritikal untuk menghasilkan hasil yang baik.

Namun, kejuruteraan genetik juga membawa impak negatif hang harus diberikan penekanan oleh masyarakat. Akan wujud golongan tertentu yang akan menggunakan teknologi ini untuk melakukan sesuatu yang bertentangan dengan ajaran agama dan perundangan. Tindakan mengklonkan manusia untuk sesuatu yang berunsur negatif akan menyusahkan masyarakat. Bayangkan penjenayah mampu bertukar wajah dengan mudah lalu menyukarkan pihak polis menahan mereka daripada melakukan jenayah berulang kali.

Kesimpulannya, teknologi genetik memang baik buat manusia Cuma kita harus sedar limitasi yang wujud. Sebarang usaha menggunakan teknologi ini untuk membawa masalah kepada kehidupan manusia hendaklah diharamkan oleh kerajaan. Teknologi dihasilkan untuk memudahkan kehidupan manusia dan bukannya membawa impak negatif.

E-Buku Karangan PMR 2010...Semua Tajuk Karangan PMR?


Buku yang ditulis oleh Cikgu Azman ini bakal membantu pelajar untuk menghadapi peperiksaan PMR dengan baik. Semua bahan disusun dengan teliti mengikut skop soalan PMR. Pada masa yang sama cara penulisan yang mudah tetapi praktikal menjadikan buku ini begitu penting dimiliki oleh pelajar PMR 2010.

Berminat untuk memilikinya? Hanya RM10 sahaja.

Murah tetapi berkualiti.

Sunday, July 11, 2010

Karangan PMR 7: Masalah Disiplin Pelajar Kita Meruncing?


Karangan 7

Masalah pelanggaran disiplin dalam kalangan pelajar semakin meruncing. Anda tertarik untuk menulis rencana berkaitan isu ini.

Tulis rencana anda selengkapnya.


Disiplin dan pelajar: Satu Pandangan Umum?
Oleh; Noor Azman Mahat


Isu-isu disiplin makin hangat diperdebatkan oleh semua pihak terutama pihak media massa. Pelbagai pihak pula saling menyalahkan satu sama lain atau menuding jari tanpa mahu melihat kesilapan sendiri. Pada masa yang sama tidak ada pihak yang ingin mencari jalan penyelesaiannya.

Sebenarnya pembentukan sahsiah anak-anak atau remaja bermula di rumah. Ada ibu bapa yang suka menyalahkan satu sama lain apabila berlakunya masalah disiplin dalam diri anak mereka. Ibu bapa juga suka melepaskan tanggung jawab mereka mendidik anak dengan menyerahkan tugas itu kepada guru dan pembantu rumah dengan alasan mereka sibuk bekerja. Maka, anak-anak mudah terbabit dengan masalah disiplin lantaran sikap ibu bapa mereka itu.

Selain itu, masyarakat yang dahulunya dianggap menjadi mata dan telinga bagi ibu bapa tidak lagi berperanan sebegitu. Semua teguran yang diberikan oleh jiran akan dikatakan sebagai penyibuk atau menjaga tepi kain orang pula. Ibu bapa biasanya akan menganggap anak mereka baik sahaja walaupun ditegur oleh jiran-jiran mereka. Maka, ramai remaja yang mudah terbabit dalam masalah disiplin sekolah.

Pengaruh media massa merumitkan lagi masalah ini menerusi penayangan pelbagai filem aksi yang menjadi ikutan remaja pula. Aktiviti meluasnya pengesaran cakera padat yang berunsur lucah telah menyebabkan masalah ini semakin parah lalu sukar untuk dikawal. Pelbagai usaha kerajaan untuk mengatasi masalah ini menemukan jalan buntu. Jelaslah, kewujudan media massa telah memarakkan lagi masalah disiplin dalam kalangan remaja.

Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan tetapi hasilnya tidak begitu jelas dalam kemelut ini. Kejadian pelajar atau remaja melawan guru dan ibu bapa semakin menjadi-jadi pula. Semua teguran dan nasihat yang diberikan dibalas dengan tindakan yang menakutkan kita semua pula. Remaja tidak lagi memiliki rasa hormat akan orang tua mereka. Sesungguhnya, masalah ini semakin meruncing.

Kesimpulannya, semua pihak terutama yang terlibat secara langsung dengan remaja seperti ibu bapa, guru malah masyarakat perlu aktif membendung pelanggaran disiplin pelajar ini. Kita semua harus sedar bahawa remaja merupakan pelapis negara pada masa hadapan. Remaja pula haruslah berfikir proaktif dengan tidak menimbulkan pelbagai masalah dan membuktikan bahawa mereka memang baik.