Wednesday, August 25, 2010

Karangan PMR 2010: Peribahasa Bersatu Teguh Bercerai Roboh?


“Bersatu teguh bercerai roboh” perlu menjadi pegangan hidup masyarakat Malaysia.

Peribahasa bersatu teguh bercerai roboh bermaksud kepentingan bekerjasama dan perpaduan dalam sesebuah negara itu. Konsep ini begitu penting kerana keutuhan negara banyak ditentukan oleh rakyat yang mempunyai kesepaduan yang sebenarnya. Negara yang mempunyai rakyat yang tidak bersatu pasti akan menerima impak negatifnya terutama dengan keadaan ekonomi dan politik dunia yang begitu berkaitan hubungannya. Jelaslah, peribahasa ini mempunyai banyak kepentingan untuk dihayati oleh masyarakat kita.

Kehidupan masyarakat kita yang berbilang kaum memerlukan pengamalan peribahasa ini kerana satu tindakan yang tidak bijak mampu menjejaskan keamanan yang dihayati selama ini. Mereka perlu berpegang pada prinsip peribahasa ini untuk membina kekuatan negara kita semula. Masyarakat yang berbilang yang wujud di negara ini menyebabkan perasaan perpaduan itu begitu mudah dikikis jika kita tidak berhati-hati dalam melakukan sesuatu tindakan yang mungkin boleh menjatuhkan air muka kaum yang lain. Maka, peribahasa ini mengingatkan kita betapa pentingnya perpaduan itu.

Selain itu, konsep perpaduan yang diutarakan dalam peribahasa ini juga penting dalam suasana politik negara. Perpaduan diperlukan dalam politik kerana politik boleh membela nasib rakyat negara ini. Perpecahan yang wujud dalam sistem politik atau pentadbiran negara boleh menggugat keamanan negara pada jangka masa panjang.Tanpa perpaduan yang utuh tiadalah sistem politik yang kukuh untuk memastikan nasib rakyat di negara ini terus terbela.

Pada masa yang sama, makna perpaduan juga penting untuk memudahkan pembangunan dilaksanakan di negara ini. Semua aktiviti pembangunan yang dirancang bertujuan untuk menjadikan negara ini lebih makmur dan maju. Sebarang tindakan negatif atau jahat boleh menjejaskan pembangunan yang kemudiannya menjadikan taraf kehidupan rakyat menurun secara mendadak. Keadaan ini jika berterusan akan menjadikan rakyat di negara ini hidup dalam satu suasana yang begitu menyedihkan seperti keadaan negara asing yang kita sering tonton di televisyen pula.

Malahan, peribahasa ini turut mencanangkan maksud perpaduan rakyat dalam bentuk penyatuan kebudayaan. Kita sedia maklum budaya negara ini berbilang yang memerlukan satu integrasi untuk menjadikan semua kebudayaan kita itu satu kebudayaan Malaysia yang sebenarnya. Amalan bekerjasama atau perpaduan yang dihayati oleh rakyat negara ini membolehkan semua kebudayaan yang berbeza itu diserapkan secara tabii menjadi satu kebudayaan kebangsaan yang boleh menjadi kebanggaan semua rakyat negara ini.

Kesimpulannya, peribahasa ini banyak membawa peringatan kepada kita semua akan peri pentingnya perpaduan atau semangat bekerjasama itu. Sikap menuding jari terhadap mana-mana pihak apabila mengalami sesuatu masalah bukanlah satu tindakan yang sesuai di negara ini. Kita harus sedar bahawa amalan “bagai aur dengan tebing” amat penting dipraktikkan di negara ini.

Sunday, August 15, 2010

Karangan PMR 2010: Punca-punca Kemalangan Jalan Raya?


Kadar kemalangan jalan raya begitu meningkat setiap tahun.

Huraikan punca-puncanya.


Kemalangan jalan raya ialah peristiwa ngeri yang biasanya melibatkan perlanggaran dua kenderaan atau lebih di jalan raya atau pun lebuh raya. Kemalangan sebegini biasanya boleh membawa kecederaan dan juga kematian. Negara kita merupakan antara negara yang mempunyai angka kematian akibat kemalangan yang tinggi. Oleh itu ada banyak punca yang harus kita kaji untuk memahami masalah ini.

Punca pertama ialah kemalangan disebabkan oleh kecuaian pemandu itu sendiri ketika menggunakan jalan raya. Ramai pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk dan mengantuk atau tidak sedarkan diri. Ada juga yang tidak suka menjaga kenderaan mereka lalu kemalangan boleh berlaku kerana masalah brek, tayar dan sebagainya. Mereka tidak menghiraukan keselamatan orang lain ketika memandu kerana menganggap mereka cekap mengawal stering kenderaan. Jadi, kemalangan mudah berlaku akibat kecuaian mereka ini.

Selain itu kemalangan juga disebabkan oleh keadaan jalan raya yang tidak baik. Biasanya jalan raya menjadi lebih bahaya ketika waktu hujan turun kerana air hujan menyebabkan jalanraya menjadi lebih licin lalu sukar untuk dikawal jika pemandunya tidak berhati-hati. Begitu juga dengan keadaan jalan raya yang tidak lurus dan turun naik yang menyukarkan pemandu untuk memberi tumpuan lalu mudah berlakunya peristiwa ngeri ini. Maka, keadaan jalan raya harus diubah supaya menjadi lebih selamat buat pengguna jalan raya.

Malah, ada pihak yang menyalahkan pemandu baru yang menyebabkan kemalangan terus menerus berlaku di negara ini. Mereka dikatakan tidak mahir untuk mengawal kenderaan terutama ketika dalam keadaan kecemasan yang menyebabkan banyak yang panik. Golongan muda juga diselar kerana mereka biasanya suka memandu dengan bahaya dan laju. Sesungguhnya, satu alat mekanisme baru harus dicari untuk memastikan tahap pemanduan pemandu baru mencapai piawaian yang baik.

Jumlah kemalangan bertambah juga berkaitan dengan jumlah kenderaan yang bertambah setiap tahun. Pertambahan bilangan kenderaan menjadikan lalu lintas begitu sibuk dan penuh dengan kenderaan. Sudah pasti keadaan ini meningkatkan peratusan untuk sesuatu kemalangan itu berlaku di jalan raya. Jelaslah, semakin banyak kenderaan di jalan raya risiko untuk kemalangan berlaku amat tinggi.

Kesimpulannya, kadar kemalangan jalan raya di negara ini begitu menakutkan kita semua. Satu usaha yang berani harus dilaksanakan oleh pihak berkuasa untuk menghalang masalah ini menular lagi. Kita harus sedar bahawa nilai nyawa manusia begitu berharga. Pandu cermat jika selamat.

Tuesday, August 10, 2010

Karangan PMR 2010: Keistimewaan-keistimewaan Novel Anda Baca?


Anda telah membaca sebuah novel yang dihadiahkan oleh sahabat anda.

Nyatakan keistimewaan-keistimewaan dari segi cerita yang disampaikan dalam novel tersebut.


Membaca merupakan jambatan ilmu menjadi cogan kata penting yang menyebabkan saya suka membaca. Aktiviti membaca menjadikan kehidupan saya lebih bermakna berbanding dengan melakukan aktiviti yang lain. Pada saya novel yang banyak keistimewaannya ialah novel panas Salju karya Talib Samat.

Pada saya novel ini begitu istimewa kerana mengungkapkan tema pengorbanan seorang ibu kepada anaknya yang sedang menghadapi masalah. Bsuharah sanggup mendermakan hatinya kepada Nadhirah dengan harapan anaknya itu mampu meneruskan kehidupan dengan sempurna. Bushrah menjadikan saya begitu memahami dan terharu dengan pengorbanan yang dilakukan oleh seorang ibu kepada anaknya.

Selain itu novel ini juga istimewa kerana watak Zulkifli yang memperlihatkan sikap ketahanan yang kental. Beliau sanggup melakukan apa-apa sahaja demi keselamatan anaknya itu walaupun sedar anaknya itu dalam bahaya. Tindakan beliau menggunakan akhbar sebagai jalan terakhir mendapatkan bantuan setelah berusaha membuktikan betapa pentingnya ayah memiliki sikap sedemikian.

Pada masa yang sama watak Tan Sri Shamsuddin dalam novel ini membuktikan bahawa kekayaan seseorang itu hendaklah dikongsi dan bukannya digunakan untuk kepentingan sendiri sahaja. Kesanggupan beliau mendermakan sejumlah wang untuk memastikan pembedahan Nadhirah mampu dilaksanakan sesuatu yang harus dipandang tinggi. Kita juga harus ingat bahawa Tan Sri Shamsuddin tidak mengenali Zulkifli mahupun Nadhirah tetapi memahami penderitaan keluarga mereka itu.

Novel ini juga istimewa kerana memaparkan konsep perpaduan yang ketara dalam negara ini. Sikap saling menolong yang dipaparkan dalam novel ini seperti ketika Zulkifli membantu satu keluarga yang mengalami kemalangan membuktikan sikap menolong melepasi batasan warna kulit. Jelaslah, novel ini mampu mngetengahkan betapa perpaduan itu sesuatu yang penting dalam kehidupan.

Kesimpulannya, novel Panas Salju memiliki pelbagai keistimewaan yang mampu menarik minat pembaca. Sebagai remaja semua keistimewaan ini mampu menarik minat untuk terus membaca dan menilai diri sendiri pula. Novel sebeginilah yang harus lebih banyak dihasilkan di negara ini.

Thursday, August 5, 2010

Karangan PMR 2010: Cara-cara Menjadi Pengguna Bijak

Kenaikan harga barangan di pasaran pada masa sekarang begitu ketara. Sebagai pengguna kita perlu bijak berbelanja supaya kewangan kita dapat diurus dengan baik.

Bincangkan cara-cara untuk menjadi seorang pengguna yang bijak.


Masalah kenaikan harga barangan sememangnya begitu ketara pada masa kini terutama di kawasan urbanisasi. Sebagai pengguna kita perlu memiliki sifat-sifat pengguna yang bijak untuk berupaya mengharungi kehidupan sebegini. Maka, kita mempunyai kuasa untuk menentukan barangan itu perlu atau sebaliknya dalam menjalani kehidupan harian itu.

Pengguna mestilah berjimat cermat untuk menjadi pengguna yang bijak. Kita hanya perlu membeli barangan yang benar-benar perlu dan tidak membazir. Pada masa yang sama barangan yang boleh digunakan semula janganlah dibuang dengan begitu sahaja. Jelaslah, amalan berjimat cermat juga merupakan satu amalan yang mulia yang harus dimiliki oleh semua pengguna.

Selain itu, pengguna boleh mengamalkan amalan menabung sejak muda. Sikap menabung ini boleh menjadi satu kaedah simpanan pada hari depan yang turut boleh dimanfaatkan oleh anak-anak terutama ketika mereka ingin melanjutkan pelajaran mereka kelak. Menabung memberikan satu jaminan kehidupan yang lebih baik kepada pengguna kerana kehidupan ini suka diduga masa depannya.

Malah, pengguna yang bijak tidak akan berbelanja di kawasan-kawasan mewah. Biasanya barangan yang dijual di kawasan mewah lebih mahal harganya bukan kerana kualiti tetapi kerana faktor kawasan, suasana dan sewa kedai yang lebih tinggi menyebabkan kos barang menjadi mahal. Sebenarnya, semua barang hampir serupa sahaja kualitinya tetapi harga yang dijual berbeza-beza mengikut kawasan tertentu.

Berkaitan dengan tidak membeli di kawasan mewah ialah pengguna tidak harus mengutamakan jenama sahaja. Sikap terlalu mengutamakan jenamalah yang membawa pengguna berbelanja besar. Konsep hidup sederhana dan tidak mementingkan aspek kebendaan membolehkan kehidupan pengguna lebih selesa dan tenang tanpa sebarang masalah kewangan pula.

Kesimpulannya, masalah kenaikan harga barang ini boleh diatasi jika pengguna menggunakan akal fikiran ketika berbelanja. Semua perbelanjaan yang dirancang akan mampu memberikan lebih banyak manfaat kepada pengguna. Sikap penggunalah yang menentukan kejayaan mereka dalam mengharungi kemelut kenaikan harga barang.

Sunday, August 1, 2010

Karangan PMR 2010: Langkah-langkah Mengatasi Pencemaran Alam di Malaysia?


Pencemaran alam sekitar menjadi ancaman kepada kehidupan manusia pada hari ini.

Bincangkan langkah-langkah untuk mengatasi pencemaran alam sekitar.


Alam sekitar semakin tercemar dan itu merupakan realiti yang harus kita semua sedari. Pihak media massa turut sama menyiarkan pelbagai komen dan analisis mereka tentang kemelut yang melanda alam ini. Semakin lama kita mengabaikan kenyataan ini semakin seriuslah masalah ini dalam kehidupan manusia. Lantaran itu, pelbagai tindakan konkrit perlu dilaksanakan oleh semua pihak dalam menangani masalah ini.

Langkah paling awal ialah kerajaan perlu mengawal perlepasan asap dan pembuangan toksik bahan kilang dengan efektif. Pengawalan ini boleh dilakukan menerusi tindakan menguatkuasakan undang-undang terutama meningkatkan aspek dendaan dan hukuman penjara kepada pesalah. Rakyat negara ini pasti akan berasa takut apabila mendengar bahawa hukuman mencemarkan alam begitu berat sehingga mereka tidak lagi berani mencemarkan alam. Jadi, kerajaan perlu mengawal pencemaran alam dengan mengetatkan peraturan yang sedia ada.

Selain mengetatkan peraturan, aspek penguatkuasaan turut memainkan peranan yang penting. Maknanya, lebih banyak pegawai penguatkuasa alam sekitar dilatih untuk mampu mengesan lalu mengambil tindakan terhadap pihak yang melakukan pencemaran alam ini. Pegawai ini hendaklah dilatih dengan menggunakan teknologi terkini dan praktikal untuk memudahkan mereka melaksanakan tugas dengan baik. Oleh itu, jumlah pegawai penguatkuasa yang banyak memastikan aspek perundangan negara terhadap isu alam sekitar dilaksanakan dengan berkesan.

Pada masa yang sama isu pencemaran alam ini mampu diatasi menerusi tindakan membuat kempen kesedaran yang efektif. Kempen kesedaran ini boleh difokuskan terhadap golongan muda terutama yang masih berada di bangku sekolah kerana golongan inilah yang akan mewarisi alam sekitar kita. Kesedaran ketika masih muda menjadikan rakyat kita boleh melakukan sesuatu apabila mereka dewasa kelak terutama untuk memastikan alam sentiasa bersih dan berkekalan. Oleh itu, kempen yang difokuskan kepada sasaran yang tepat mampu membuahkan hasil yang baik kepada pengekalan alam sekitar di negara ini.

Malahan, perubahan sikap masyarakat turut penting dalam memastikan alam sekitar kita terus wujud. Sikap tidak apa atau menganggap tugas menjaga alam sekitar boleh dilakukan oleh orang lain perlulah dikikis segera. Sebaik sahaja kita melihat atau mengetahui satu tindakan mencemarkan alam berlaku sepantas kilat kita memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk tindakan susulan. Maka, perubahan sikap masyarakat menjadikan usaha mengatasi masalah pencemaran alam ini sesuatu yang mudah pula.

Konklusinya, kita mempunyai banyak pilihan untuk memastikan alam sekitar kita terus bersih dan berkekalan. Cuma kita masih enggan mengakui bahawa alam sekitar semakin hilang ditelan kerakusan sikap manusia sendiri yang mengutamakan kebendaan itu. Mungkin naluri manusia yang menganggap mereka makhluk yang paling baik menyebabkan kita alpa akan tugas kita untuk menjaga alam sekitar ini. Alam sekitar bukanlah anugerah Tuhan kepada kita tetapi amanah yang harus kita serahkan kepada generasi akan datang pula.