Sunday, April 17, 2011

Karangan PMR 2011...Impak Kenaikan Harga Minyak terhadap Negara?

Kenaikan harga minyak mula dirasai di negara ini.

Huraikan impak negatif yang timbul daripada keadaan ini.

Kenaikan harga minyak dikaitkan dengan peningkatan secara mendadak harga petroleum di pasaran dunia. Antara sebab yang membawa peningkatan ini ialah pertumbuhan ekonomi global, peperangan di negara pengeluar minyak dan juga kejadian bencana alam yang melanda sesebuah negara itu. Jadi, kenaikan harga minyak ini memang membawa banyak impaknya.

Impak yang ketara ialah kos kehidupan masyarakat akan meningkat juga. Kebanyakan harga komoditi terutama makanan dan produk kilang akan meningkat selari dengan pertambahan harga barang lalu bajet bulanan masyarakat turut terjejas. Jelaslah, kos kehidupan akan menjadi bertambah tinggi sebaik sahaja harga minyak melambung.

Selain itu, harga barang akan turut menjadi mahal ekoran peningkatan harga minyak ini. Pengguna terpaksa membeli barang keperluan seperti makanan, pakaian dan rumah dengan kadar harga yang jauh lebih tinggi kerana kos hidup bertambah pula. Sesungguhnya, harga barang yang tinggi menyebabkan ada pengguna yang tidak mampu untuk membelinya pula.

Malah, tambang pengangkutan terutama pengangkutan awam akan berlipat kali gander pula. Syarikat pengangkutan terutama bas terpaksa meninggikan tambang kerana mereka menggunakan minyak dengan banyak untuk menjalankan operasi perniagaan mereka itu. Maka, kos pengangkutan yang tinggi ini menyebabkan ada ahli masyarakat yang tidak mampu untuk menggunakannya.

Tambahan pula, kenaikan harga minyak boleh menjadikan keadaan politik negara tidak stabil. Banyak pihak akan melakukan tunjuk perasaan sebagai satu cara untuk menunjukkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kenailkan ini. Jadi, tunjuk perasaan yang kerap itu boleh mencetuskan pelbagai keadaan yang tidak aman pula di dalam negara kita.

Kesimpulannya, semua kesan negatif ini memang wujud apabila harga minyak melambung. Kerjasama semua pihak amat diperlukan terutama kerajaan untuk melaksanakan dasar-dasar yang boleh mengurangkan impak kenaikan ini. Bak kata pepatah, 'sediakan payung sebelum hujan' amat penting direnungi oleh kita semua sebelum terlewat.

Tuesday, April 12, 2011

Karangan PMR 2011... Kesan Vandalisme?

Vandalisme merupakan salah satu daripada perlakuan negatif yang sering dilakukan oleh anggota masyarakat yang tidak bertanggungjawab, terutama golongan remaja.

Jelaskan kesan-kesan kegiatan vandalisme di negara kita.

Dalam memasuki era globalisasi ini masih ada segelintir rakyat di negara ini yang berfikiran sempit dan tidak bermoral. Golongan sebegini sanggup melakukan aktiviti vandalisme sehingga menyusahkan banyak pihak terutama pihak masyarakat umum. Pelbagai masalah boleh timbul ekoran aktiviti yang tidak sihat ini.

Impak yang paling ketara ialah masalah vandalisme ini mencacatkan pemandangan terutama di kawasan tandas awam yang dipenuhi dengan tulisan-tulisan yang tidak elok. Begitu juga kawasan taman permainan kanak-kanak yang menyaksikan banyak peralatan di situ yang sudah dimusnahkan begitu sahaja. Keadaan ini memberikan satu gambaran negatif kepada masyarakat luar bahawa rakyat di negara ini tidak begitu menghargai kemudahan awam yang disediakan.

Masalah vandalisme ini juga bakal menimbulkan pelbagai kesulitan kepada masyarakat umum. Rakyat kehilangan hak mereka untuk menggunakan kemudahan yang sepatutnya mampu untuk menjamin keselesaan hidup terutama kemusnahan telefon awam. Bayangkan bagaimana masyarakat hendak menggunakan telefon awam ketika kecemasan jika kemudahan ini telah dimusnahkan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab ini.

Pada masa yang sama amalan vandalisme ini turut membebankan pihak berkuasa terutama dalam aspek kewangan. Kerajaan terpaksa membelanjakan jutaan ringgit untuk membuat pembaikan terhadap semua kemudahan awam yang sudah mengalami kerosakan ini. Tindakan membaiki kemudahan awam ini membuktikan berlakunya satu pembaziran kerana wang tersebut boleh digunakan untuk membantu rakyat dalam aspek pembangunan yang lain pula.

Kesimpulannya, rakyat harus memikul tanggung jawab dalam memastikan vandalisme ini tidak berleluasa. Sebarang tindakan vandalisme boleh membawa impak negatif kepada semua pihak baik masyarakat mahupun kerajaan. Lantaran itu, semua pihak memikul tanggung jawab untuk menjamin kemakmuran hidup masyarakat di negara ini.