Sunday, May 8, 2011

Karangan PMR 2011 - Hukuman Rotan Penting Dihidupkan?

Hukuman merotan dalam kalangan pelajar harus diwujudkan semula.
Berikan pendapat anda tentang kenyataan ini.


Hukuman merotan merujuk hukuman yang dijatuhkan kepada pelajar yang melanggar peraturan di sekolah. Antara jenis kesalahan tersebut meliputi ponteng sekolah, mencuri, dan bergaduh. Jadi, memang ada banyak faktor yang menjadikan hukuman ini perlu dilaksanakan semula di sekolah.

Faktor masalah disiplin yang melanda pelajar kita kini begitu meruncing yang menjadikan pelaksanaan hukuman ini penting. Pelajar kita mudah terbabit dalam kemelut disiplin kerana cabaran kehidupan modern yang begitu hebat seperti ibu bapa sibuk bekerja dan kehidupan mementingkan status serta kebendaan yang tinggi kini. Oleh itu, tindakan merotan sahaja yang boleh menjadikan cabaran ini berada dalam kawalan kerana pelajar pasti akan memikirkan kesan merontan terhadap dirinya sebelum bertindak terburu-buru seseorang.

Pada masa yang sama, kerja guru di sekolah menjadi lebih mudah jika hukuman keras ini dilaksanakan dengan segera. Pihak guru mengambil masa yang lama untuk memberi kaunseling kepada pelajar yang belum tentu akan berjaya pula berbanding dengan merotan yang mudah dan pantas. Sesungguhnya, kerja guru menjadi lebih mudah jika hukuman ini dikuatkuasakan dengan sepenuhnya.

Malah, hukuman yang sebegini tegas boleh memberikan satu pengajaran kepada pelajar secara keseluruhannya. Sesiapa sahaja yang menyaksikan hukuman ini pasti berasa begitu gerun melihatnya. Jelaslah, hukuman merotan ini mencetuskan satu keinsafan yang mendalam dalam jiwa pelajar sekolah kita pula.

Tambahan pula, imej sekolah yang berani melaksanakan hukuman merotan juga pasti meningkat pada mata masyarakat. Ibu bapa sudah pasti lebih suka menghantar anak mereka ke sekolah yang mempunyai tahap kualiti disilpin yang tinggi kerana tidak mahu anak mereka terabit dalam gejala negatif. Maka, imej sekolah pasti bertambah baik melalui pengenalan hukuman merotan ini.

Konklusinya, kewajaran untuk melaksanakan hukuman ini memang sudah terserlah berdasarkan semua hujah tadi. Kerjasama semua pihak terutamanya pelajar amat diperlukan agar masalah ini boleh diatasi dengan segera. Bak kata perumpamaan, "melentur buluh biarlah daripada rebungnya" membuktikan bahawa didikan sejak kecil terutama di sekolah memainkan peranan dalam pembentukan sahsiah pelajar.

1 comment:

SyafinazOmar said...

trima ksh tntg informasi ini
ia membantu saya