Pakej Karangan PT3

Pakej Karangan PT3

Saturday, September 29, 2012

KARANGAN PMR 2012....CIRI-CIRI SEKOLAH SELAMAT?


Berita tentang keselamatan sekolah telah menjadi bahan perbualan masyarakat.
Huraikan ciri-ciri sekolah selamat.

Sekolah yang selamat bermaksud tidak berlakunya kejadian yang boleh menjejaskan keselamatan pelajar dan guru di situ. Antara kejadian yang pernah berlaku di kawasan sekolah ialah kejadian pergaduhan, kecurian, dan perkosaan. Oleh itu, wujud pelbagai ciri yang menjadikan sesebuah sekolah itu selamat pada mata masyarakat umum.

Ciri yang paling mudah ialah pihak sekolah menempatkan pengawal keselamatan di pintu masuk sekolah itu. Pengawal ini juga boleh meronda kawasan sekolah mengikut masa tertentu sebagai usaha memastikan keselamatan sekolah terjaga. Jadi, tindakan menggaji pengawal keselamatan menjadi langkah mudah untuk memastikan sekolah selamat.

Selain itu, setiap bilik di sekolah itu perlulah dilengkapi dengan alat pemadam api yang mudah untuk diperoleh. Maknanya, pelajar bukan sahaja diberi latihan menggunakannya tetapi hendaklah diletakkan di tempat yang paling strategik untuk keberkesanan penggunaannya kelak. Jelaslah, alat pemadam api boleh memastikan kebakaran yang berlaku dikawal sebelum ketibaan pihak bomba.

Tambahan pula, sebuah sekolah yang selamat turut memiliki pelan arah keselamatan apabila berlakunya sebarang kejadian seperti kebakaran, banjir, dan sebagainya. Pelan ini memudahkan pelajar mengetahui tindakan yang harus diambil oleh mereka dan arah yang dituju ketika perkara kecemasan berlaku. Sebenarnya, kewujudan pelan sebegini memastikan pelajar dapat menyelamatkan diri dalam keadaan tenang dan teratur apabila berlaku sesuatu perkara buruk.

Kewujudan pengawal lalu lintas terutama di kawasan sekolah yang berhampiran jalan utama lalu lintas turut penting dalam menjamin keselamatan penghuni sekolah. Pengawal ini akan memastikan pelajar melintas jalan dengan selamat dan memerhatikan persekitaran ketika pelajar sedang menunggu kedatangan ibu bapa mereka itu. Sesungguhnya, pengawal lalu lintas menjadikan pelajar lebih selamat ketika keluar dari kawasan sekolah.

Kesimpulannya, setiap sekolah hendaklah memberi penekanan terhadap aspek keselamatan pelajar mereka. Jika pihak sekolah masih berdolak-dalih dalam hal ini sudah pasti sesuatu tragedi hanya menanti masa sahaja untuk berlaku. Mungkin sudah sampai masanya pihak sekolah melihat keselamatan pelajar melebihi segala-galanya sebelum nasi menjadi bubur.

Wednesday, September 26, 2012

Karangan PMR 2012...Langkah atasi pencemaran sungai negara


Kebersihan sungai adalah tanggungjawab kita bersama. Namun, masyarakat kini masih tidak mengambil peduli tentang pencemaran sungai yang semakin serius.

Berikan pendapat anda tentang langkah-langkah yang patut diambil bagi mengatasi pencemaran sungai.

Sungai merupakan kejadian alam sekitar yang semakin terpinggir dalam kehidupan manusia moden ini. Pihak media massa sering menjadikan pencemaran sungai sebagai satu bahan utama berita mereka kerana berita ini mudah menjadi sensasi. Maka, ada pelbagai tindakan yang boleh diambil oleh pelbagai pihak untuk menyelamatkan sungai ini.

Langkah awal yang boleh diambil ialah masyarakat tidak lagi membuang sampah ke dalam sungai tanpa rasa bersalah. Kebanyakan sungai di negara ini tercemar kerana terlalu banyak sampah yang dibuang ke dalamnnya dengan anggapan sungai boleh membersihkan diri sendiri. Oleh itu, isu ini akan dapat diatasi jika orang ramai tidak lagi membuang sampah sesuak hati.

Malah, pihak kerajaan boleh menggubal satu peruntukan perundangan baru yang mampu menghukum individu yang mencemarkan sungai dengan hukuman yang berat. Masyarakat akan berasa gerun untuk melakukan sesuatu yang boleh mencemarkan sungai apabila mengetahui betapa beratnya hukuman yang bakal menanti mereka. Jelaslah, hukuman yang berat akan menghalang masyarakat daripada terus mencemarkan sungai kita itu.

Malahan, kempen kesedaran boleh dilancarkan oleh pihak berkuasa menerusi penggunaan media massa. Dalam kempen ini diterangkan sebab-sebab sungai tercemar dan kesan tindakan itu supaya masyarakat memahami kepentingan sungai dalam kehidupan harian manusia. Sesungguhnya, sungai tidak akan tercemar lagi setelah manusia menyedari keperluan sungai yang jernih dalam kehidupan manusia.

Selain itu, usaha mengindahkan kawasan sungai hendak ditingkatkan oleh kerajaan. Kawasan tebing sungai perlulah dikukuhkan dengan konkrit dan kedalaman sungai dikawal dengan melakukan aktiviti mengorek mengikut jadual supaya aliran sungai tidak terganggu. Jelaslah, sungai harus diselenggarakan dengan baik supaya tidak mudah tercemar dengan kotoran dan hakisan tanah tebingnya.

Kesimpulannya, huraian tadi telah membuktikan bahawa banyak kaedah yang boleh diambil untuk menangani pencemaran sungai kita. Semua pihak hendaklah bersedia untuk bertindak tegas kepada individu yang mencemarkan sungai itu. Slogan, cintailah sungai kita harus tersemat dalam jiwa masyarakat agar isu ini boleh diselesaikan dengan baiknya.

Sunday, September 16, 2012

Karangan PMR 2012....Faktor kejayaan pelajar dalam kokurikulum dan akademik


Kejayaan dalam bidang akademik dan kokurikulum melayakkan seseorang murid itu dinobatkan sebagai murid cemerlang.

Bincangkan faktor-faktor kejayaan murid cemerlang.

Kejayaan pelajar sering dikaitkan dengan kemampuan diri seseorang itu memperoleh sesuatu yang membanggakan diri dan keluarga dalam pelajaran serta kokurikulum. Antaranya kejayaan pelajar memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan dan mewakili sekolah atau negara dalam acara sukan. Jadi, apakah yang membawa seseorang pelajar itu berjaya dalam bidang akademik dan kokurikulum itu.

Sudah pasti sebab utama melibatkan galakan ibu bapa pelajar itu sendiri. Golongan tua ini perlulah memberikan galakan kepada anak dengan menyediakan ruang untuk belajar dan membeli keperluan kokurikulum anak seperti pakain seni pertahanan diri itu. Jelaslah, pelajar akan lebih berusaha dalam akademik dan kokurikulum jika mereka melihat kesungguhan ibu bapa dalam memberikan sokongan itu.

Selain itu, kejayaan pelajar juga banyak bergantung pada kemampuan diri sendiri. Maknanya, pelajar hanya menyedari betapa pentingnya kejayaan dalam akademik dan kokurikulum akan berusaha untuk mencapainya walaupun menghadapi pelbagai rintangan. Ringkasnya, pelajar yang berjaya itu mempunyai naluri ini melakukan sesuatu dengan sebaik mungkin tanpa mengira masalah yang bakal berlaku.

Malah, pengaruh rakan sebaya juga amat penting dalam membawa kejayaan kehidupan pelajar itu. Rakan yang baik bukan sahaja memberikan galakan tetapi juga satu persaingan positif yang membawa pelajar memberikan usaha terbaik mereka dalam akademik dan kokurikulum. Jelaslah, rakan yang tepat akan memberikan satu kelebihan kepada pelajar untuk berjaya dalam kehidupannya.

Tambahan pula, kejayaan pelajar turut ditentukan oleh pihak sekolah. Sudah banyak pihak sekolah yang menganjurkan pelbagai kelas tambahan dan bengkel motivasi serta latihan kokurikulum tertentu kepada pelajarnya. Sesungguhnya, usaha murni lagi gigih daripada pihak pengurusan sekolah itu sendiri membawa kejayaan dalam diri pelajar mereka.

Kesimpulannya, semua faktor tadi membuktikan bahawa kejayaan pelajar dalam aspek akademik dan kokurikulum boleh diperoleh dengan baiknya. Pelajar harus menyedari semua penyebab ini lalu berusaha untuk melakukan yang terbaik dalam kehidupan itu. Bak kata pepatah, kalau tidak dipecahkan ruyungnya manakan dapat sagunya yang membuktikan kejayaan memerlukan usaha gigih yang tinggi sahaja.