Sunday, September 16, 2012

Karangan PMR 2012....Faktor kejayaan pelajar dalam kokurikulum dan akademik


Kejayaan dalam bidang akademik dan kokurikulum melayakkan seseorang murid itu dinobatkan sebagai murid cemerlang.

Bincangkan faktor-faktor kejayaan murid cemerlang.

Kejayaan pelajar sering dikaitkan dengan kemampuan diri seseorang itu memperoleh sesuatu yang membanggakan diri dan keluarga dalam pelajaran serta kokurikulum. Antaranya kejayaan pelajar memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan dan mewakili sekolah atau negara dalam acara sukan. Jadi, apakah yang membawa seseorang pelajar itu berjaya dalam bidang akademik dan kokurikulum itu.

Sudah pasti sebab utama melibatkan galakan ibu bapa pelajar itu sendiri. Golongan tua ini perlulah memberikan galakan kepada anak dengan menyediakan ruang untuk belajar dan membeli keperluan kokurikulum anak seperti pakain seni pertahanan diri itu. Jelaslah, pelajar akan lebih berusaha dalam akademik dan kokurikulum jika mereka melihat kesungguhan ibu bapa dalam memberikan sokongan itu.

Selain itu, kejayaan pelajar juga banyak bergantung pada kemampuan diri sendiri. Maknanya, pelajar hanya menyedari betapa pentingnya kejayaan dalam akademik dan kokurikulum akan berusaha untuk mencapainya walaupun menghadapi pelbagai rintangan. Ringkasnya, pelajar yang berjaya itu mempunyai naluri ini melakukan sesuatu dengan sebaik mungkin tanpa mengira masalah yang bakal berlaku.

Malah, pengaruh rakan sebaya juga amat penting dalam membawa kejayaan kehidupan pelajar itu. Rakan yang baik bukan sahaja memberikan galakan tetapi juga satu persaingan positif yang membawa pelajar memberikan usaha terbaik mereka dalam akademik dan kokurikulum. Jelaslah, rakan yang tepat akan memberikan satu kelebihan kepada pelajar untuk berjaya dalam kehidupannya.

Tambahan pula, kejayaan pelajar turut ditentukan oleh pihak sekolah. Sudah banyak pihak sekolah yang menganjurkan pelbagai kelas tambahan dan bengkel motivasi serta latihan kokurikulum tertentu kepada pelajarnya. Sesungguhnya, usaha murni lagi gigih daripada pihak pengurusan sekolah itu sendiri membawa kejayaan dalam diri pelajar mereka.

Kesimpulannya, semua faktor tadi membuktikan bahawa kejayaan pelajar dalam aspek akademik dan kokurikulum boleh diperoleh dengan baiknya. Pelajar harus menyedari semua penyebab ini lalu berusaha untuk melakukan yang terbaik dalam kehidupan itu. Bak kata pepatah, kalau tidak dipecahkan ruyungnya manakan dapat sagunya yang membuktikan kejayaan memerlukan usaha gigih yang tinggi sahaja.

No comments: