Seminar PT3

Seminar PT3
Berminat: 03-21483314

Tuesday, October 2, 2012

Karangan PMR 2012...Faedah menjadi ahli koperasi sekolah?


Anda merupakan ahli koperasi sekolah

Huraikan faedah-faedah yang diperoleh apabila menjadi ahli koperasi sekolah.

Koperasi sekolah merupakan satu aktiviti kokurikulum yang menjadi pilihan banyak pelajar di sekolah. Selain menyertai koperasi sekolah, pelajar juga boleh memasuki aktiviti lain seperti Persatuan Catur, Persatuan Bahasa, dan lainnya. Sebenarnya, ada banyak manfaat yang boleh diperoleh oleh pelajar yang menyertai koperasi sekolah ini.

Kebaikan yang paling jelas ialah aktiviti ini membantu pelajar untuk memahami aspek perniagaan dengan mendalam. Guru yang bertugas akan mendedahkan pelajar dengan urusan perniagaan seperti cara menetapkan harga barang, menulis rekod penjualan barang, dan juga memahami konsep perakauan secara asasnya. Oleh itu, pelajar yang menyertai koperasi sekolah akan berjaya memahami perjalanan sesuatu urusan perniagaan itu.
Selain itu, semangat bekerjasama dalam satu pasukan turut tertanam dalam jiwa pelajar yang memasuki koperasi sekolah ini. Urusan membeli barang yang diuruskan oleh koperasi memerlukan kerjasama satu pasukan kerana tanpa kerjasama ini urusan penjualan akan terganggu atau menjadi kelam-kabut pula. Jadi, kerjasama sesama ahli pasukan akan memastikan urusan perjalanan koperasi lancar tanpa masalah.
Malah, urusan koperasi yang melibatkan wang turut menerapkan nilai-nilai murni seperti jujur dalam jiwa pelajar. Setiap hari pelajar yang bertugas di koperasi sekolah akan terdedah dengan sejumlah wang jualan barang yang banyak. Maka, pelajar akan memahami bahawa wang itu bukan hak mereka tetapi hal koperasi yang diamanahkan kepada mereka sahaja.
Pelajar yang menyertai koperasi sekolah juga boleh menghabiskan masa dengan berfaedah. Aktiviti koperasi memerlukan tempoh masa yang agak lama lalu pelajar tidak lagi berpeluang untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang tidak berfedah seperti lepak dan ponteng sekolah. Sesungguhnya, masa yang dihabiskan di koperasi sekolah menjamin pelajar bebas daripada unsur negatif.
Konklusinya, aktiviti koperasi sekolah memang banyak membawa manfaat kepada pelajar. Ibu bapa seharusnya memberi galakan agar anak mereka menyertai aktiviti murni sebegini terutama ketika muda kerana melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Negara amat memerlukan ahli perniagaan yang mahir dalam menguruskan urusan perniagaan pada masa depan.