Tuesday, October 29, 2013

BOSAN KETIKA CUTI SEKOLAH INI?

Saya ada menyediakan pakej pendidikan cuti sekolah yang mudah dan praktikal.


Saturday, September 28, 2013

Karangan PMR...Kebaikan utamakan produk negara?

Barang keluaran tempatan boleh mengurangkan perbelanjaan negara kita.

Bincangkan kebaikan mengutamakan barang tempatan.

Barang keluaran tempatan juga dikenali sebagai produk tempatan bermaksud barang itu dihasilkan di negara ini. Antara keluaran tempatan itu meliputi kereta, buah-buahan, pakaian, dan telefon bimbit serta makanan. Jadi, tindakan mengutamakan produk tempatan memang membawa banyak faedah.

Kebaikan mengutamakan barang keluaran sendiri ini ialah tindakan ini boleh membantu perkembangan ekonomi negara. Pembelian sebegini menjadikan syarikat tempatan itu mengaut keuntungan yang berlipat kali ganda dalam urusan perniagaan mereka kelak. Jelaslah, amalan mengutamakan pembelian produk tempatan menjadikan syarikat negara ini
lebih berdaya saing.

Selain itu, imej negara turut akan tersohor pada mata masyarakat luar negara kita. Perkara ini berlaku apabila masyarakat di negara ini secara meluas menggunakan produk tempatan dalam kehidupan harian seperti kereta proton dan telefon bimbit. Sesungguhnya, penggunaan yang meluas ini menjadikan orang luar begitu kagum dengan sokongan penduduk tempatan terhadap produk sendiri.

Tambahan pula, amalan membeli produk tempatan juga boleh membuka lebih banyak kreativiti syarikat di negara ini. Cetusan idea ini berlaku kerana syarikat mahu memenuhi permintaan pengguna negara yang mahu sesuatu yang baru tetapi praktikal dalam kehidupan harian. Lantaran itu, lebih banyak produk baru dihasilkan oleh syarikat di negara ini pada masa hadapan.

Akhir sekali, sikap rakyat yang mengutamakan produk sendiri turut membuka lebih banyak peluang pekerjaan di negara ini. Semakin banyak produk tempatan dibeli semakin banyaklah pekerja yang diperlukan dalam penghasilan produk tersebut itu. Oleh itu, rakyat negara ini tidak akan mengalami masalah pengangguran yang ketara apabila pembelian produk tempatan menjadi keutamaan rakyat kita.

Kesimpulannya,  semua manfaat yang dijelaskan tadi boleh membantu negara secara langsung apabila rakyat kita mengutamakan produk sendiri. Kerjasama semua pihak amat diperlukan supaya amalan positif ini menjadi budaya dalam masyarakat kita itu. Slogan belilah barangan tempatan harus menjadi dorongan utama dalam jiwa setiap lapisan masyarakat di negara tercinta ini.

Monday, September 23, 2013

Karangan PMR 2013...Cara atasi pencemaran sungai


Sungai negara ini mengalami banyak pencemaran.
Jelaskan cara-cara mengatasinya.

Sungai dilihat sebagai satu sumber air yang penting di negara ini. Antara sungai yang dilihat sebagai sungai utama negara ini meliputi Sungai Pahang, Sungai Johor, dan Sungai Rajang. Jadi, sungai yang penting ini harus dipelihara sebaik mungkin dengan pelbagai kaedah tertentu itu.

Tindakan yang mudah melibatkan penguatkuasaan peruntukan perundangan. Akta ini boleh menekankan hukuman yang lebih berat terutama kadar denda yang tinggi bersama-sama penjara yang panjang tempohnya itu.Jelaslah, hukuman yang sebegini boleh menakutkan masyarakat kita terutama golongan yang suka mencemarkan sungai itu.

Selain itu, pihak berkuasa bolehlah menjalankan kempen kesedaran tentang kepentingan menjaga sungai daripada tercemar ini. Masyarakat terutama generasi muda akan memahami sebab mereka harus menjaga kualiti air sungai di negara ini apabila melihat informasi kempen tersebut. Lantaran itu, lebih banyak kempen perlu dilaksanakan oleh kerajaan untuk mendapat reaksi positif daripada masyarakat terhadap isu sungai ini.

Tambahan pula, konsep gotong-royong terutama di kawasan sungai harus dilaksanakan dengan kerap oleh penduduk setempat. Aktiviti secara berkelompok ini membolehkan sungai itu dibersihkan daripada segala kekotoran terutama kayu-kayu dan sampah-sarap. Oleh itu, sungai akan menjadi lebih bersih apabila masyarakat sekeliling menjaga sungai itu dengan membersihkannya sekerap mungkin.
Langkah terakhir dalam usaha menjaga sungai melibatkan tindakan menghalang pembalakan di kawasan hutan terutama di kawasan hulu sungai itu. Lama-kelamaan aktiviti pembalakan yang tidak dikawal boleh menyebabkan banyak lumpur dan mendapan lain masuk ke dasar sungai itu. Sesungguhnya, tindakan mengawal pembalakan boleh menjadikan kualiti sungai kita menjadi lebih baik berbanding sekarang. 
Kesimpulannya, semua kaedah tadi berupaya untuk memulihkan semula imej sungai kita yang tercemar teruk itu. Semua pihak terutama remaja perlulah melihat kemelut ini sebagai satu isu yang serius pula. Slogan cintailah sungai harus tersemat dalam jiwa rakyat di negara ini yang cinta akan keindahan flora dan fauna.

Tuesday, September 17, 2013

Karangan PMR 2013...Sebab budi bahasa tiada dan cara atasi?


Amalan berbudi bahasa dalam kalangan remaja semakin diketepikan. 

Pada pendapat anda, mengapakah perkara ini boleh berlaku dan bagaimanakah cara untuk mengatasi gejala ini berlaku.

Amalan berbudi bahasa dalam kalangan remaja ini boleh dikatakan sebagai sikap bersopan ketika remaja itu berinteraksi dengan individu lain. Antara sikap berbudi bahasa itu meliputi memanggil orang lain dengan hormat, memberi laluan kepada orang tua, dan tidak menggunakan bahasa kesat ketika bercakap. Namun, mengapakah begitu banyak pihak berpendapat remaja kita semakin kesampingkan nilai-nilai ini?

Masalah ini berlaku keranan ibu bapa terlepas pandang akan kepentingan kasih sayang dan kebajikan anak-anak mereka itu. Sikap terlalu memburu dunia kebendaan itu membawa ibu bapa tidak mempunyai masa untuk memberikan kasih sayang dan tunjuk ajar yang betul kepada anak. Akibatnya, kepincangan akhlak dan semakin menghilangnya budi bahasa berlaku dalam kalangan remaja.

Selain itu, kewujudan pelbagai media massa di negara ini dalam tempoh terdekat turut menjejaskan kualiti budi bahasa remaja kita. Pelbagai program yang tersiar terutama penyiaran budaya luar telah mempengaruhi minda remaja kita untuk meninggalkan budi bahasa yang menjadi pegangan masyarakat kita suatu masa dahulu itu. Jelaslah, remaja tidak lagi berbudi bahasa kerana terpedaya dengan kandungan media massa yang diimport itu.

Untuk mengatasi masalah ini, ibu bapa memainkan peranan paling utama dalam membentuk akhlak anak-anak itu. Mereka harus meluangkan amasa dan mempamerkan teladan yang betul serta memberikan didikan keagamaan kepada golongan muda itu. Ringkasnya, masalah ini boleh ditangani apabila ibu bapa tidak mementingkan aspek kebendaan sahaja.

Tambahan pula, pihak sekolah turut mempunyai tugas berat dengan melaksanakan sistem pendidikan yang menekankan falsafah kemanusiaan yang sebenarnya. Pendidikan di sekolah hendaklah menekankan keperluan membentuk pelajar menjadi insan yang seimbang peribadinya dalam segi jasmani, rohani, dan intelektual. Sesungguhnya, kejayaan pihak pengurusan sekolah dalam melaksanakan tugasnya bakal menghasilkan remaja yang berbudi bahasa itu.

Kesimpulannya, semua pihak harus memainkan peranan mereka dalam menyelesaikan kemelut sosial ini. Budi bahasa merupakan asas kehidupan yang bermaruah lagi bertamadun buat manusia. Bak kata pepatah biar mati anak, jangan mati adat yang menekankan betapa pentingnya kita mengekalkan budaya berbudi bahasa ini dalam merealisasikan hasrat negara untuk menjadi negara cemerlang, gemilang, dan terbilang itu.

Sunday, August 18, 2013

Karangan PMR...Kebaikan Sukan kepada rakyat dan negara?


Pelbagai pihak melihat sukan sebagai satu aktiviti yang baik kepada masyarakat kita.
Huraikan kebaikan sukan?

Sukan dilihat sebagai satu aktiviti sihat yang berupaya mengeluarkan peluh apabila dilaksanakan secara kerap.Contoh aktiviti sukan itu meliputi acara larian, bola sepak, badminton, hoki, dan bola jaring yang menjadi kegilaan masyarakat kita. Sebenarnya, banyak manfaat yang timbul apabila sukan menjadi sebahagian daripada aktiviti harian rakyat jelata.

Kelebihan melakukan acara sukan ialah badan ahli masyarakat kita akan menjadi semakin sihat untuk melakukan aktiviti harian. Kajian sudah membuktikan bahawa semua acara sukan melibatkan penghasilan peluh yang turut membuang toksik badan bersama-sama melepaskan tekanan yang dialami oleh individu itu. Lantaran itu, masyarakat yang kerap melaksanakan aktiviti sukan akan memiliki kesihatan yang terpelihara sepanjang masa.

Selain itu, sukan juga dikatakan berupaya untuk memupuk perasaan perpaduan sesama rakyat yang berbilang bangsa itu. Interaksi sesama individu akan berlaku kerana sukan memerlukan setiap ahli untuk bekerjasama melaksanakan aktiviti tersebut. Maka, perpaduan antara kaum boleh dicapai menerusi penglibatan setiap ahli masyarakat kita dalam acara sukan yang begitu mudah lagi menarik itu.

Tambahan pula, sukan juga berupaya untuk menjana perkembangan ekonomi negara ini menerusi pembinaan lebih banyak kemudahan sukan seperti stadium. Kos yang tinggi memang diperlukan untuk pembinaan stadium tetapi pembinaan ini juga boleh menjadikan aktiviti ekonomi sampingan berkembang bersama-sama peluang kerja. Sesungguhnya, ekonomi negara akan menjadi lebih rancak pertumbuhannya kerana masyarakat kita begitu meminati acara sukan itu.

Imej negara akan bertambah baik apabila sukan menjadi kegilaan penduduk tempatan. Masyarakat luar menganggap negara yang berjaya dalam sebarang acara sukan memiliki satu keunikan yang tersendiri pula. Jadi, kita hendaklah melakukan acara sukan ini supaya negara kita mencapai kejayaan dalam pertandingan antarabangsa yang meninggikan imej penduduk negara ini pula.

Kesimpulannya, semua impak positif penglibatan acara sukan ini memang benar-benar berlaku. Semua pihak terutama rakyat hendaklah bekerjasama untuk melibatkan diri mereka dalam sebarang acara sukan yang diminati itu. Slogan badan sihat otak cergas membuktikan bahawa sukan boleh membawa banyak faedah kepada masyarakat semua.

Saturday, July 27, 2013

Karangan PMR 2013... Kebaikan penggunaan sms dalam kehidupan pelajar


Pelajar semakin meminati mesej pesanan ringkas (SMS) dalam komunikasi mereka.

Jelaskan kebaikan penggunaan sms ini.

Mesej pesanan ringkas (sms) dilihat sebagai cara berkomunikasi yang diminati oleh pelajar kita. Contohnya, sms ini boleh dihantar menggunakan komputer, telefon bimbit dan tablet. Sebenarnya, teknologi ini ada banyak kebaikan apabila diamalkan oleh pelajar.

Faedah utama menggunakan sms ialah kos perbelanjaan pelajar menjadi lebih murah. Pelajar mengetahui bahawa kos bercakap menerusi telefon bimbit jauh lebih mahal berbanding menghantar sms yang mudah lagi cepat itu. Lantaran itu, pelajar lebih suka menghantar sms kerana kosnya lebih rendah.

Selain itu, pelajar boleh berinteraksi dengan ahli keluarga dan rakan-rakan mereka. Kekerapan menghantar sms boleh merapatkan hubungan dengan ibu bapa dan rakan juga. Jelaslah, sms yang digunakan itu boleh menjadikan interaksi pelajar dengan ibu bapa dan rakan bertambah baik.

Tambahan pula, pelajar yang bijak menggunakan sms boleh memperoleh pelbagai informasi yang berguna. Remaja menjadikan sms sebagai alat komunikasi untuk mengetahui kerja rumah, masa cuti, dan pelbagai kejadian yang berlaku dalam kehidupan mereka. Maka, pelajar yang menggunakan sms dalam hidupnya akan memiliki pelbagai maklumat yang berguna pula.
Kesimpulannya, semua faedah tadi memang boleh diterima apabila pelajar menggunakan sms dengan kerap. Kerjasama semua pihak amat diperlukan supaya penggunaan sms ini dikawal oleh pihak ibu bapa. Peribahasa nasi menjadi bubur mengingatkan kita bahawa isu ini harus ditangani dengan bijak sebelum menjadi negatif pula.

Monday, July 15, 2013

Karangan pmr 2013... Sebab pelajar suka ke tuisyen?


Pelajar lebih suka menghadiri kelas tuisyen daripada mengikuti kelas tambahan yang diadakan oleh pihak sekolah.

Bersetujukah anda dengan pendapat di atas dan kemukakan alasan-alasan anda.

Kini kelas tuisyen sudah menjadi satu kelaziman buat pelajar terutama di kawasan bandar. Ada pihka yang mengaitkan kepesatan pertumbuhan pusat tuisyen ini dengan kegilaan pelajar datang belajar di kelas mereka. Namun, adakah kelas di sekolah biasanya tidak mampu memberikan pendidikan yang lebih baik daripada pusat tuisyen ini?

Sebenarnya kelas tambahan yang diadakan di sekolah tidak dikenakan sebarang bayaran dan jika ada bayaran pun hanya untuk menaggung kos cetakan bahan bacaan sahaja. Manakala kelas tuisyen semuanya mengenakan kadar bayaran yang tertentu mengikut tempat dan suasana pusat tuisyen itu dan sudah pasti kos yang tinggi akan menyusahkan sesetengah ibu bapa pula. Anak-anak perlu sedar bahawa ibu bapa terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang banyak untuk menangung kehidupan mereka.

Selain itu guru-guru di sekolah lebih arif dengan sukatan pelajaran kerana mereka sering menghadiri kursus yang dianjurkan oleh pihak kerajaan terutama Kementerian Pendidikan. Kebanyakan guru sekolah juga pernah membuat soalan untuk peperiksaan lalu mempunyai kemahiran dalam menjawab sesuatu soalan tersebut. Jadi, pelajar harus lebih yakin akan kemampuan pihak guru sekolah dalam memberikan pendidikan kepada mereka.

Malahan, suasana belajar di sekolah lebih selamat kerana kawasan sekolah biasanya mempunyai pengawal keselamatan dan jauh daripada sebarang ancaman yang tidak sihat. Begitu juga gangguan bunyi tidak berlaku di kawasan sekolah. Namun, keadaan yang sebaliknya pula berlaku di pusat tuisyen kerana biasanya pusat ini akan berada di kawasan yang padat dengan penduduk dan di bandar.

Kemungkinan sebab pelajar lebih suka belajar di pusat tuisyen ialah aspek disiplin tidak dipentingkan sangat. Pakaian yang agak bebas, boleh datang lewat dan masa belajar yang biasanya pada sebalah malam sesuai buat sesetengah pelajar. Jelaslah, pelajar harus sedar perkara yang penting ketika belajar  ialah kemampuan mereka memahami pelajaran dan bukanya aspek sosial yang ingin ditekankan pencapaiannya pula.

Kesimpulannya, belajar menjadi tanggung jawab kita semua dan belajar di sekolah atau di pusat tuisyen bukanlah sesuatu yang penting. Pelajar harus sedar mereka datang ke sekolah dan pusat tuisyen untuk belajar bukannya mencari keseronokan hidup. Hidup pelajar harus dihabiskan dengan mencari ilmu sedalam yang mungkin.

Sunday, June 23, 2013

Karangan PMR 2013...Kesan Vandalisme di Malaysia?


Vandalisme merupakan salah satu daripada perlakuan negatif yang sering dilakukan oleh anggota masyarakat yang tidak bertanggungjawab, terutama golongan remaja.

Jelaskan kesan-kesan kegiatan vandalisme di negara kita.

Dalam memasuki era globalisasi ini masih ada segelintir rakyat di negara ini yang berfikiran sempit dan tidak bermoral. Golongan sebegini sanggup melakukan aktiviti vandalisme sehingga menyusahkan banyak pihak terutama pihak masyarakat umum. Pelbagai masalah boleh timbul ekoran aktiviti yang tidak sihat ini.

Impak yang paling ketara ialah masalah vandalisme ini mencacatkan pemandangan terutama di kawasan tandas awam yang dipenuhi dengan tulisan-tulisan yang tidak elok. Begitu juga kawasan taman permainan kanak-kanak yang menyaksikan banyak peralatan di situ yang sudah dimusnahkan begitu sahaja. Keadaan ini memberikan satu gambaran negatif kepada masyarakat luar bahawa rakyat di negara ini tidak begitu menghargai kemudahan awam yang disediakan.

Masalah vandalisme ini juga bakal menimbulkan pelbagai kesulitan kepada masyarakat umum. Rakyat kehilangan hak mereka untuk menggunakan kemudahan yang sepatutnya mampu untuk menjamin keselesaan hidup terutama kemusnahan telefon awam. Bayangkan bagaimana masyarakat hendak menggunakan telefon awam ketika kecemasan jika kemudahan ini telah dimusnahkan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab ini.

Pada masa yang sama amalan vandalisme ini turut membebankan pihak berkuasa terutama dalam aspek kewangan. Kerajaan terpaksa membelanjakan jutaan ringgit untuk membuat pembaikan terhadap semua kemudahan awam yang sudah mengalami kerosakan ini. Tindakan membaiki kemudahan awam ini membuktikan berlakunya satu pembaziran kerana wang tersebut boleh digunakan untuk membantu rakyat dalam aspek pembangunan yang lain pula.

Kesimpulannya, rakyat harus memikul tanggung jawab dalam memastikan vandalisme ini tidak berleluasa. Sebarang tindakan vandalisme boleh membawa impak negatif kepada semua pihak baik masyarakat mahupun kerajaan. Lantaran itu, semua pihak memikul tanggung jawab untuk menjamin kemakmuran hidup masyarakat di negara ini.

Saturday, June 8, 2013

Karangan PMR 2013...Langkah Majukan Industri Kraf Tangan Malaysia?


Industri kraf tangan mempunyai potensi yang besar di negara kita meskipun menghadapi pelbagai masalah.
Apakah langkah-langkah yang dapat diambil untuk memajukan industri ini? 

Jelaskan.

Industri kraf tangan ialah kerja-kerja penghasilan barangan kraf tradisional. Industri ini merupakan satu industri yang berpetensi besar untuk membantu meningkatkan tahap kehidupan masyarakat terutama masyarakat desa. Oleh itu, wujud pelbagai tindakan yang boleh dilakukan untuk memajukan industri ini ke tahap yang lebih baik lagi.

Tindakan yang paling logik untuk memajukan industri ini adalah dengan membina lebih banyak pusat kraf tangan di negara. Penubuhan lebih banyak pusat kraf sebegini sudah pasti menjadikan lebih banyak produk yang boleh dipamerkan dan mudah untuk diperoleh oleh pelancong terutama dari luar. Dalam masa yang sama pusat ini juga boleh dijadikan sebagai tempat melatih lebih banyak penggiat industri ini pula.

Kerajaan juga harus menjalankan usaha untuk meningkatkan produktiviti industri ini. Pengenalan teknologi dan reka bentuk yang unik sudah pasti mampu meninggikan lagi keluaran industri ini supaya kos menjadi lebih murah dan harga yang dikenakan kepada pembeli boleh dikurangkan sehingga ke tahap minima. Produktiviti yang tinggi juga menjadikan industri ini lebih berdaya saing dan kreatif untuk memastikan produk mereka terus mendapat tempat dalam hati pelancong.

Kempen kesedaran yang meluas harus dilaksanakan terutama dalam kalangan generasi muda. Sudah ada remaja yang tidak lagi mengenali hasil kraf tangan negara kerana mereka tidak menggunakan produk itu sebaliknya lebih suka menggunakan sesuatu yang bercorak moden atau berteknologi tinggi. Kempen yang meluas juga mampu mengiklan dan meninggikan imej hasil kraf tangan pada masa yang sama.

Produk kraf tangan ini juga perlulah menggunakan hasil semula jadi yang wujud di Malaysia. Usaha mengeksploitasikan sumber semula jadi negara untuk dijadikan kraf tangan mampu memberikan sentuhan unik terhadap produk tersebut lalu meninggikan permintaannya pada masyarakat luar. Bukankah kraf tangan harus menggunakan sumber semula jadi tempatan?

Konklusinya, industri ini bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh. Semua negara menghargai hasil kraf tangan mereka dan menjadi tugas kita untuk memastikan hasil ini terus hidup subur dalam negara ini. Kegagalan kita mengekalkan kraf tangan seolah-olah menjadi buktik betapa teruknya pandangan masyarakat terhadap industri kraf tangan sendiri.

Sunday, May 19, 2013

Karangan PMR 2013...Langkah mengatasi isu warga tua di Malaysia.


Isu warga tua terbiar bukanlah satu perkara baharu. Sebagai remaja yang bertanggungjawab, berikan pendapat anda tentang langkah-langkah yang perlu diambil bagi mengatasi permasalahan ini.

Peringkat umur tua merupakan peringkat akhir dalam perkembangan biologi manusia. Keadaan ini menyebabkan ketika inilah pelbagai masalah boleh berlaku terutama yang menyentuh aspek emosi dan kesihatan seseorang itu. Oleh itu, ada pelbagai tindakan yang boleh diambil oleh remaja untuk menangani kemelut warga tua ini.

Sudah pasti pemupukan pendidikan asas terutama didikan agama mampu menyelesaikan sebahagian besar masalah warga ini. Remaja yang menerima pendidikan asas agama yang kukuh sudah pasti akan lebih menghormati golongan tua ini lalu memberikan perhatian akan kehidupan mereka. Hubungan antara ahli keluarga juga akan menjadi lebih erat dan mesra. Jadi, remaja harus memiliki didikan yang sempurna.

Bagaimanakah didikan ini harus wujud? Sudah pasti ibu bapa berperanan untuk memberi panduan yang benar kepada remaja. Ibu bapa perlu menjelaskan kepada anak-anak akan pentingnya menghormati warga tua kerana setiap manusia akan menempuh alam tua mereka yang tersendiri. Kejayaan ibu bapa mendidik anak dengan baik memastikan satu golongan remaja yang melihat warga tua bukan sebagai satu masalah sebaliknya satu amanah yang harus dilaksanakan tanpa banyak soal.

Selain itu, media massa juga mempunyai peranan yang tersendiri dalam menyelesaikan masalah yang semakin kritikal ini. Penyiaran lebih banyak program dan siaran yang berunsur positif akan warga tua mampu merapatkan jurang antara remaja dan warga emas ini. Keadaan ini mampu menimbulkan satu kesedaran yang mendalam dalam diri remaja untuk membantu warga tua tanpa sebarang alasan.

Sistem pendidikan yang lebih holistik dilaksanakan oleh pihak kerajaan seperti mengadakan lawatan sambil belajar ke rumah orang tua. Biasanya pelajar di sekolah hanya mendengar sahaja nasihat guru tentang peranan mereka membantu warga tua tanpa melihat contoh yang sebenarnya. Maka, lawatan ke rumah jagaan orang tua sudah pasti memberikan pengalaman sebenar kepada remaja akan kehidupan warga ini lalu timbulah keinsafan dalam diri remaja itu sendiri.

Kesimpulannya, jurang pemisah antara generasi muda dan tua semakin ketara terutama dalam era moden ini. Semua pihak sama ada masyarakat dan kerajaan harus mengenal pasti langkah-langkah yang lebih praktikal untuk menangani kemelut warga tua ini. Kita harus sedar warga tualah yang telah membangunkan negara ini lalu menjadikan kehidupan generasi muda selepas mereka lebih mudah dan selesa. Kita harus hargai jasa mereka.

Tuesday, April 30, 2013

Karangan PMR 2013...Kebaikan menyertai pertubuhan sukarela


Anda digalakkan untuk menyertai pertubuhan sukarela.

Jelaskan kebaikan menyertai pertubuhan sukarela itu.

Pertubuhan sukarelawan boleh diseertai oleh pelbagai golongan, usia, kaum, dan agama. Di negara ini terdapat banyak persatuan sukarela untuk disertai oleh rakyat Malaysia. Antara contoh pertubuhan sukarela itu ialah Persatuan Bulan Sabit Merah dan Askar Wataniah. Ada banyak kebaikan menyertai pertubuhan sebegini.

Penglibatan remaja atau belia dalam pertubuhan ini menjadikan seseorang itu boleh mengisi masa lapang dengan perkara yang berfaedah. Maknanya, remaja yang menyertai pertubuhan sebegini mampu menghindarkan diri daripada terbabit dalam gejala negatif. Maka, remaja mampu memiliki masa lapang yang dipenuhi dengan aktiviti yang berfaedah.

Malah, remaja yang menyertai pertubuhan ini boleh membantu orang lain ketika bencana seperti banjir dan kebakaran berlaku. Malang sukar untuk diramalkan jadi remaja yang ada kemahiran sebegini sudah pasti boleh mengurangkan kesusahan yang dialami oleh mangsa bencana tersebut. Jelaslah, pertubuhan sukarela menjadikan remaja mampu menghulurkan bantuan kepada masyarakat umum.

Selain itu, remaja juga mampu melatih diri mereka menjadi orang yang berdisiplin apabila menyertai pertubuhan sebegini. Pertubuhan sukarela mempunyai peraturan dan latihan yang tertentu. Semua perkara ini memerlukan disiplin yang tinggi daripada diri remaja untuk satu tempoh yang panjang. Sesungguhnya, remaja akan menjadi lebih baik dirinya menerusi pembabitan dalam pertubuhan sebegini.

Pertubuhan sukarela juga membolehkan remaja melihat tempat orang dan meluaskan pengetahuan mereka tentang kehidupan. Pelbagai lawatan dan usaha menghulurkan bantuan akan dianjurkan oleh pertubuhan sebegini. Keadaan ini akan memberikan satu pengalaman yang berharga buat seseorang remaja itu. Jelaslah, remaja akan mampu belajar tentang kehidupan dengan lebih baik.

Kesimpulannya, pasukan sukarela memang memberi banyak impak positif kepada remaja. Ajaran agama juga menuntut agar masyarakat menghulurkan bantuan kepada  individu yang memerlukannya. Remaja yang menyertai pertubuhan sebegini akan mampu melihat satu perubahan drastik berlaku dalam peribadi mereka.

Wednesday, January 23, 2013

Karangan PMR 2013...Kepentingan hari perayaan di Malaysia?


Anda diminta untuk menulis satu karangan bertajuk "Kepentingan sambutan hari perayaan di negara ini" untuk bacaan kelas anda.

Huraikan.

Sambutan hari perayaan di negara ini meliputi perayaan Hari Raya Puasa buat orang Islam, Tahun Baru Cina buat orang Cina dan perayaan Deepavali buat orang India. Ketika perayaan ini disambut suasananya pasti dengan kegembiraan dan sedikit hidangan makanan. Semua rakyat negara ini menanti-nanti setiap perayaan dengan penuh debaran dan semangat tinggi. Oleh itu memang ada banyak kebaikan jika sambutan perayaan ini dilaksanakan di negara ini.

Kalau semua perayaan ini disambut bersama-sama sudah pasti akan berlaku interaksi antara kaum dan hubungan erat akan terjalin. Perayaan di negara ini mempunyai konsep rumah terbuka yakni setiap perayaan akan diadakan majlis melawat rumah orang yang menyambut sesuatu perayaan itu. Lawatan yang diadakan sudah pasti akan menyebabkan berlakunya interaksi antara kaum. Oleh itu, perayaan memang mampu meningkatkan interaksi kaum.

Interaksi yang wujud ketika melawat rumah seseorang itu akan meningkatkan pengetahuan masing-masing akan budaya kaum yang lain. Pemahaman sebegini menjadikan masyarakat lebih faham akan tindakan seseorang daripada kaum yang berbeza dalam sesuatu perkara. Sudah pasti tidak akan timbul sebarang salah faham antara kaum pula. Maka, perayaan mampu meningkatkan kefahaman tentang budaya kaum yang lain.

Malah, imej negara juga akan turut menjadi lebih baik pada mata masyarakat dunia terutama pelancong asing. Bukan mudah untuk memiliki sebuah negara yang aman jika rakyatnya berbilang kaum berdasarkan masa masyarakat antarabangsa. Kejayaan Malaysia mengekalkan keamanannya banyak bergantung kepada keupayaan rakyat negara ini menyambut perayaan setiap kaum dengan penuh kegembiraan. Jelaslah, perayaan di negara ini memberikan satu imej yang positif kepada negara dengan begitu mudah.

Kesimpulannya, sambutan hari perayaan mestilah diamalkan oleh masyarakat di negara ini. Pada masa yang sama sambutan ini hendaklah dijadikan satu perayaan kebangsaan yang dinikmati bersama-sama. Generasi muda akan mendapat banyak manfaat daripada sambutan sebegini. Masyarakat yang harmoni akan wujud menerusi perayaan sebegini pada masa hadapan.