Sunday, May 19, 2013

Karangan PMR 2013...Langkah mengatasi isu warga tua di Malaysia.


Isu warga tua terbiar bukanlah satu perkara baharu. Sebagai remaja yang bertanggungjawab, berikan pendapat anda tentang langkah-langkah yang perlu diambil bagi mengatasi permasalahan ini.

Peringkat umur tua merupakan peringkat akhir dalam perkembangan biologi manusia. Keadaan ini menyebabkan ketika inilah pelbagai masalah boleh berlaku terutama yang menyentuh aspek emosi dan kesihatan seseorang itu. Oleh itu, ada pelbagai tindakan yang boleh diambil oleh remaja untuk menangani kemelut warga tua ini.

Sudah pasti pemupukan pendidikan asas terutama didikan agama mampu menyelesaikan sebahagian besar masalah warga ini. Remaja yang menerima pendidikan asas agama yang kukuh sudah pasti akan lebih menghormati golongan tua ini lalu memberikan perhatian akan kehidupan mereka. Hubungan antara ahli keluarga juga akan menjadi lebih erat dan mesra. Jadi, remaja harus memiliki didikan yang sempurna.

Bagaimanakah didikan ini harus wujud? Sudah pasti ibu bapa berperanan untuk memberi panduan yang benar kepada remaja. Ibu bapa perlu menjelaskan kepada anak-anak akan pentingnya menghormati warga tua kerana setiap manusia akan menempuh alam tua mereka yang tersendiri. Kejayaan ibu bapa mendidik anak dengan baik memastikan satu golongan remaja yang melihat warga tua bukan sebagai satu masalah sebaliknya satu amanah yang harus dilaksanakan tanpa banyak soal.

Selain itu, media massa juga mempunyai peranan yang tersendiri dalam menyelesaikan masalah yang semakin kritikal ini. Penyiaran lebih banyak program dan siaran yang berunsur positif akan warga tua mampu merapatkan jurang antara remaja dan warga emas ini. Keadaan ini mampu menimbulkan satu kesedaran yang mendalam dalam diri remaja untuk membantu warga tua tanpa sebarang alasan.

Sistem pendidikan yang lebih holistik dilaksanakan oleh pihak kerajaan seperti mengadakan lawatan sambil belajar ke rumah orang tua. Biasanya pelajar di sekolah hanya mendengar sahaja nasihat guru tentang peranan mereka membantu warga tua tanpa melihat contoh yang sebenarnya. Maka, lawatan ke rumah jagaan orang tua sudah pasti memberikan pengalaman sebenar kepada remaja akan kehidupan warga ini lalu timbulah keinsafan dalam diri remaja itu sendiri.

Kesimpulannya, jurang pemisah antara generasi muda dan tua semakin ketara terutama dalam era moden ini. Semua pihak sama ada masyarakat dan kerajaan harus mengenal pasti langkah-langkah yang lebih praktikal untuk menangani kemelut warga tua ini. Kita harus sedar warga tualah yang telah membangunkan negara ini lalu menjadikan kehidupan generasi muda selepas mereka lebih mudah dan selesa. Kita harus hargai jasa mereka.