Sunday, August 18, 2013

Karangan PMR...Kebaikan Sukan kepada rakyat dan negara?


Pelbagai pihak melihat sukan sebagai satu aktiviti yang baik kepada masyarakat kita.
Huraikan kebaikan sukan?

Sukan dilihat sebagai satu aktiviti sihat yang berupaya mengeluarkan peluh apabila dilaksanakan secara kerap.Contoh aktiviti sukan itu meliputi acara larian, bola sepak, badminton, hoki, dan bola jaring yang menjadi kegilaan masyarakat kita. Sebenarnya, banyak manfaat yang timbul apabila sukan menjadi sebahagian daripada aktiviti harian rakyat jelata.

Kelebihan melakukan acara sukan ialah badan ahli masyarakat kita akan menjadi semakin sihat untuk melakukan aktiviti harian. Kajian sudah membuktikan bahawa semua acara sukan melibatkan penghasilan peluh yang turut membuang toksik badan bersama-sama melepaskan tekanan yang dialami oleh individu itu. Lantaran itu, masyarakat yang kerap melaksanakan aktiviti sukan akan memiliki kesihatan yang terpelihara sepanjang masa.

Selain itu, sukan juga dikatakan berupaya untuk memupuk perasaan perpaduan sesama rakyat yang berbilang bangsa itu. Interaksi sesama individu akan berlaku kerana sukan memerlukan setiap ahli untuk bekerjasama melaksanakan aktiviti tersebut. Maka, perpaduan antara kaum boleh dicapai menerusi penglibatan setiap ahli masyarakat kita dalam acara sukan yang begitu mudah lagi menarik itu.

Tambahan pula, sukan juga berupaya untuk menjana perkembangan ekonomi negara ini menerusi pembinaan lebih banyak kemudahan sukan seperti stadium. Kos yang tinggi memang diperlukan untuk pembinaan stadium tetapi pembinaan ini juga boleh menjadikan aktiviti ekonomi sampingan berkembang bersama-sama peluang kerja. Sesungguhnya, ekonomi negara akan menjadi lebih rancak pertumbuhannya kerana masyarakat kita begitu meminati acara sukan itu.

Imej negara akan bertambah baik apabila sukan menjadi kegilaan penduduk tempatan. Masyarakat luar menganggap negara yang berjaya dalam sebarang acara sukan memiliki satu keunikan yang tersendiri pula. Jadi, kita hendaklah melakukan acara sukan ini supaya negara kita mencapai kejayaan dalam pertandingan antarabangsa yang meninggikan imej penduduk negara ini pula.

Kesimpulannya, semua impak positif penglibatan acara sukan ini memang benar-benar berlaku. Semua pihak terutama rakyat hendaklah bekerjasama untuk melibatkan diri mereka dalam sebarang acara sukan yang diminati itu. Slogan badan sihat otak cergas membuktikan bahawa sukan boleh membawa banyak faedah kepada masyarakat semua.