Pakej Karangan PT3

Pakej Karangan PT3

Saturday, September 28, 2013

Karangan PMR...Kebaikan utamakan produk negara?

Barang keluaran tempatan boleh mengurangkan perbelanjaan negara kita.

Bincangkan kebaikan mengutamakan barang tempatan.

Barang keluaran tempatan juga dikenali sebagai produk tempatan bermaksud barang itu dihasilkan di negara ini. Antara keluaran tempatan itu meliputi kereta, buah-buahan, pakaian, dan telefon bimbit serta makanan. Jadi, tindakan mengutamakan produk tempatan memang membawa banyak faedah.

Kebaikan mengutamakan barang keluaran sendiri ini ialah tindakan ini boleh membantu perkembangan ekonomi negara. Pembelian sebegini menjadikan syarikat tempatan itu mengaut keuntungan yang berlipat kali ganda dalam urusan perniagaan mereka kelak. Jelaslah, amalan mengutamakan pembelian produk tempatan menjadikan syarikat negara ini
lebih berdaya saing.

Selain itu, imej negara turut akan tersohor pada mata masyarakat luar negara kita. Perkara ini berlaku apabila masyarakat di negara ini secara meluas menggunakan produk tempatan dalam kehidupan harian seperti kereta proton dan telefon bimbit. Sesungguhnya, penggunaan yang meluas ini menjadikan orang luar begitu kagum dengan sokongan penduduk tempatan terhadap produk sendiri.

Tambahan pula, amalan membeli produk tempatan juga boleh membuka lebih banyak kreativiti syarikat di negara ini. Cetusan idea ini berlaku kerana syarikat mahu memenuhi permintaan pengguna negara yang mahu sesuatu yang baru tetapi praktikal dalam kehidupan harian. Lantaran itu, lebih banyak produk baru dihasilkan oleh syarikat di negara ini pada masa hadapan.

Akhir sekali, sikap rakyat yang mengutamakan produk sendiri turut membuka lebih banyak peluang pekerjaan di negara ini. Semakin banyak produk tempatan dibeli semakin banyaklah pekerja yang diperlukan dalam penghasilan produk tersebut itu. Oleh itu, rakyat negara ini tidak akan mengalami masalah pengangguran yang ketara apabila pembelian produk tempatan menjadi keutamaan rakyat kita.

Kesimpulannya,  semua manfaat yang dijelaskan tadi boleh membantu negara secara langsung apabila rakyat kita mengutamakan produk sendiri. Kerjasama semua pihak amat diperlukan supaya amalan positif ini menjadi budaya dalam masyarakat kita itu. Slogan belilah barangan tempatan harus menjadi dorongan utama dalam jiwa setiap lapisan masyarakat di negara tercinta ini.

Monday, September 23, 2013

Karangan PMR 2013...Cara atasi pencemaran sungai


Sungai negara ini mengalami banyak pencemaran.
Jelaskan cara-cara mengatasinya.

Sungai dilihat sebagai satu sumber air yang penting di negara ini. Antara sungai yang dilihat sebagai sungai utama negara ini meliputi Sungai Pahang, Sungai Johor, dan Sungai Rajang. Jadi, sungai yang penting ini harus dipelihara sebaik mungkin dengan pelbagai kaedah tertentu itu.

Tindakan yang mudah melibatkan penguatkuasaan peruntukan perundangan. Akta ini boleh menekankan hukuman yang lebih berat terutama kadar denda yang tinggi bersama-sama penjara yang panjang tempohnya itu.Jelaslah, hukuman yang sebegini boleh menakutkan masyarakat kita terutama golongan yang suka mencemarkan sungai itu.

Selain itu, pihak berkuasa bolehlah menjalankan kempen kesedaran tentang kepentingan menjaga sungai daripada tercemar ini. Masyarakat terutama generasi muda akan memahami sebab mereka harus menjaga kualiti air sungai di negara ini apabila melihat informasi kempen tersebut. Lantaran itu, lebih banyak kempen perlu dilaksanakan oleh kerajaan untuk mendapat reaksi positif daripada masyarakat terhadap isu sungai ini.

Tambahan pula, konsep gotong-royong terutama di kawasan sungai harus dilaksanakan dengan kerap oleh penduduk setempat. Aktiviti secara berkelompok ini membolehkan sungai itu dibersihkan daripada segala kekotoran terutama kayu-kayu dan sampah-sarap. Oleh itu, sungai akan menjadi lebih bersih apabila masyarakat sekeliling menjaga sungai itu dengan membersihkannya sekerap mungkin.
Langkah terakhir dalam usaha menjaga sungai melibatkan tindakan menghalang pembalakan di kawasan hutan terutama di kawasan hulu sungai itu. Lama-kelamaan aktiviti pembalakan yang tidak dikawal boleh menyebabkan banyak lumpur dan mendapan lain masuk ke dasar sungai itu. Sesungguhnya, tindakan mengawal pembalakan boleh menjadikan kualiti sungai kita menjadi lebih baik berbanding sekarang. 
Kesimpulannya, semua kaedah tadi berupaya untuk memulihkan semula imej sungai kita yang tercemar teruk itu. Semua pihak terutama remaja perlulah melihat kemelut ini sebagai satu isu yang serius pula. Slogan cintailah sungai harus tersemat dalam jiwa rakyat di negara ini yang cinta akan keindahan flora dan fauna.

Tuesday, September 17, 2013

Karangan PMR 2013...Sebab budi bahasa tiada dan cara atasi?


Amalan berbudi bahasa dalam kalangan remaja semakin diketepikan. 

Pada pendapat anda, mengapakah perkara ini boleh berlaku dan bagaimanakah cara untuk mengatasi gejala ini berlaku.

Amalan berbudi bahasa dalam kalangan remaja ini boleh dikatakan sebagai sikap bersopan ketika remaja itu berinteraksi dengan individu lain. Antara sikap berbudi bahasa itu meliputi memanggil orang lain dengan hormat, memberi laluan kepada orang tua, dan tidak menggunakan bahasa kesat ketika bercakap. Namun, mengapakah begitu banyak pihak berpendapat remaja kita semakin kesampingkan nilai-nilai ini?

Masalah ini berlaku keranan ibu bapa terlepas pandang akan kepentingan kasih sayang dan kebajikan anak-anak mereka itu. Sikap terlalu memburu dunia kebendaan itu membawa ibu bapa tidak mempunyai masa untuk memberikan kasih sayang dan tunjuk ajar yang betul kepada anak. Akibatnya, kepincangan akhlak dan semakin menghilangnya budi bahasa berlaku dalam kalangan remaja.

Selain itu, kewujudan pelbagai media massa di negara ini dalam tempoh terdekat turut menjejaskan kualiti budi bahasa remaja kita. Pelbagai program yang tersiar terutama penyiaran budaya luar telah mempengaruhi minda remaja kita untuk meninggalkan budi bahasa yang menjadi pegangan masyarakat kita suatu masa dahulu itu. Jelaslah, remaja tidak lagi berbudi bahasa kerana terpedaya dengan kandungan media massa yang diimport itu.

Untuk mengatasi masalah ini, ibu bapa memainkan peranan paling utama dalam membentuk akhlak anak-anak itu. Mereka harus meluangkan amasa dan mempamerkan teladan yang betul serta memberikan didikan keagamaan kepada golongan muda itu. Ringkasnya, masalah ini boleh ditangani apabila ibu bapa tidak mementingkan aspek kebendaan sahaja.

Tambahan pula, pihak sekolah turut mempunyai tugas berat dengan melaksanakan sistem pendidikan yang menekankan falsafah kemanusiaan yang sebenarnya. Pendidikan di sekolah hendaklah menekankan keperluan membentuk pelajar menjadi insan yang seimbang peribadinya dalam segi jasmani, rohani, dan intelektual. Sesungguhnya, kejayaan pihak pengurusan sekolah dalam melaksanakan tugasnya bakal menghasilkan remaja yang berbudi bahasa itu.

Kesimpulannya, semua pihak harus memainkan peranan mereka dalam menyelesaikan kemelut sosial ini. Budi bahasa merupakan asas kehidupan yang bermaruah lagi bertamadun buat manusia. Bak kata pepatah biar mati anak, jangan mati adat yang menekankan betapa pentingnya kita mengekalkan budaya berbudi bahasa ini dalam merealisasikan hasrat negara untuk menjadi negara cemerlang, gemilang, dan terbilang itu.