Seminar PT3

Seminar PT3
Berminat: 03-21483314

Tuesday, September 17, 2013

Karangan PMR 2013...Sebab budi bahasa tiada dan cara atasi?


Amalan berbudi bahasa dalam kalangan remaja semakin diketepikan. 

Pada pendapat anda, mengapakah perkara ini boleh berlaku dan bagaimanakah cara untuk mengatasi gejala ini berlaku.

Amalan berbudi bahasa dalam kalangan remaja ini boleh dikatakan sebagai sikap bersopan ketika remaja itu berinteraksi dengan individu lain. Antara sikap berbudi bahasa itu meliputi memanggil orang lain dengan hormat, memberi laluan kepada orang tua, dan tidak menggunakan bahasa kesat ketika bercakap. Namun, mengapakah begitu banyak pihak berpendapat remaja kita semakin kesampingkan nilai-nilai ini?

Masalah ini berlaku keranan ibu bapa terlepas pandang akan kepentingan kasih sayang dan kebajikan anak-anak mereka itu. Sikap terlalu memburu dunia kebendaan itu membawa ibu bapa tidak mempunyai masa untuk memberikan kasih sayang dan tunjuk ajar yang betul kepada anak. Akibatnya, kepincangan akhlak dan semakin menghilangnya budi bahasa berlaku dalam kalangan remaja.

Selain itu, kewujudan pelbagai media massa di negara ini dalam tempoh terdekat turut menjejaskan kualiti budi bahasa remaja kita. Pelbagai program yang tersiar terutama penyiaran budaya luar telah mempengaruhi minda remaja kita untuk meninggalkan budi bahasa yang menjadi pegangan masyarakat kita suatu masa dahulu itu. Jelaslah, remaja tidak lagi berbudi bahasa kerana terpedaya dengan kandungan media massa yang diimport itu.

Untuk mengatasi masalah ini, ibu bapa memainkan peranan paling utama dalam membentuk akhlak anak-anak itu. Mereka harus meluangkan amasa dan mempamerkan teladan yang betul serta memberikan didikan keagamaan kepada golongan muda itu. Ringkasnya, masalah ini boleh ditangani apabila ibu bapa tidak mementingkan aspek kebendaan sahaja.

Tambahan pula, pihak sekolah turut mempunyai tugas berat dengan melaksanakan sistem pendidikan yang menekankan falsafah kemanusiaan yang sebenarnya. Pendidikan di sekolah hendaklah menekankan keperluan membentuk pelajar menjadi insan yang seimbang peribadinya dalam segi jasmani, rohani, dan intelektual. Sesungguhnya, kejayaan pihak pengurusan sekolah dalam melaksanakan tugasnya bakal menghasilkan remaja yang berbudi bahasa itu.

Kesimpulannya, semua pihak harus memainkan peranan mereka dalam menyelesaikan kemelut sosial ini. Budi bahasa merupakan asas kehidupan yang bermaruah lagi bertamadun buat manusia. Bak kata pepatah biar mati anak, jangan mati adat yang menekankan betapa pentingnya kita mengekalkan budaya berbudi bahasa ini dalam merealisasikan hasrat negara untuk menjadi negara cemerlang, gemilang, dan terbilang itu.

No comments: