Pakej Karangan PT3

Pakej Karangan PT3

Saturday, September 28, 2013

Karangan PMR...Kebaikan utamakan produk negara?

Barang keluaran tempatan boleh mengurangkan perbelanjaan negara kita.

Bincangkan kebaikan mengutamakan barang tempatan.

Barang keluaran tempatan juga dikenali sebagai produk tempatan bermaksud barang itu dihasilkan di negara ini. Antara keluaran tempatan itu meliputi kereta, buah-buahan, pakaian, dan telefon bimbit serta makanan. Jadi, tindakan mengutamakan produk tempatan memang membawa banyak faedah.

Kebaikan mengutamakan barang keluaran sendiri ini ialah tindakan ini boleh membantu perkembangan ekonomi negara. Pembelian sebegini menjadikan syarikat tempatan itu mengaut keuntungan yang berlipat kali ganda dalam urusan perniagaan mereka kelak. Jelaslah, amalan mengutamakan pembelian produk tempatan menjadikan syarikat negara ini
lebih berdaya saing.

Selain itu, imej negara turut akan tersohor pada mata masyarakat luar negara kita. Perkara ini berlaku apabila masyarakat di negara ini secara meluas menggunakan produk tempatan dalam kehidupan harian seperti kereta proton dan telefon bimbit. Sesungguhnya, penggunaan yang meluas ini menjadikan orang luar begitu kagum dengan sokongan penduduk tempatan terhadap produk sendiri.

Tambahan pula, amalan membeli produk tempatan juga boleh membuka lebih banyak kreativiti syarikat di negara ini. Cetusan idea ini berlaku kerana syarikat mahu memenuhi permintaan pengguna negara yang mahu sesuatu yang baru tetapi praktikal dalam kehidupan harian. Lantaran itu, lebih banyak produk baru dihasilkan oleh syarikat di negara ini pada masa hadapan.

Akhir sekali, sikap rakyat yang mengutamakan produk sendiri turut membuka lebih banyak peluang pekerjaan di negara ini. Semakin banyak produk tempatan dibeli semakin banyaklah pekerja yang diperlukan dalam penghasilan produk tersebut itu. Oleh itu, rakyat negara ini tidak akan mengalami masalah pengangguran yang ketara apabila pembelian produk tempatan menjadi keutamaan rakyat kita.

Kesimpulannya,  semua manfaat yang dijelaskan tadi boleh membantu negara secara langsung apabila rakyat kita mengutamakan produk sendiri. Kerjasama semua pihak amat diperlukan supaya amalan positif ini menjadi budaya dalam masyarakat kita itu. Slogan belilah barangan tempatan harus menjadi dorongan utama dalam jiwa setiap lapisan masyarakat di negara tercinta ini.

No comments: