Pakej Karangan PT3

Pakej Karangan PT3

Tuesday, September 23, 2014

Kebaikan amalan bercuti....

Amalan bercuti dalam kalangan masyarakat kita sudah mula mendapat sambutan umum. Percutian itu boleh dilakukan di dalam negara atau di luar negara mengikut kemampuan diri seseorang itu. Lantaran itu, banyak kebaikannya apabila amalan bercuti ini menjadi satu kebiasaan dalam kehidupan masyarakat moden.

Kepentingan utama bercuti ialah masa dapat dihabiskan bersama-sama ahli keluarga. Percutian selama seminggu atau dua minggu itu pasti merapatkan hubungan sesama ahli keluarga menerusi interaksi yang positif. Akibatnya, keluarga itu akan menjadi lebih intim dan mampu mengatasi pelbagai cabaran hidup moden.

Selain itu, minda seseorang menjadi lebih tenang apabila berada di dunia percutian mereka itu. Ketenangan ini berlaku kerana mereka berada di tempat yang berbeza daripada kebiasaan dalam hidup mereka itu. Sebenarnya, aspek ketenangan ini penting dicapai kerana hidup zaman globalisasi ini penuh tekanan.

Tambahan pula, amalan bercuti sebegini boleh mendatangkan pelbagai pengalaman baru. Pengamatan yang teliti terhadap cara hidup masyarakat setempat, makanan, pakaian, dan sebagainya boleh menimbulkan rasa unik. Ringkasnya, percutian menjadikan seseorang itu memperoleh banyak pengalaman baru.

Percutian turut membawa wujudnya hubungan sosial dengan masyarakat umum. Sudah pasti berlaku perhubungan persahabatan dengan individu dari negara yang dilawati itu dalam amalan bercuti ini. Maka, hubungan sosial yang terhasil ini boleh menjadikan kehidupan seseorang itu lebih bermakna lagi.

Kesimpulannya, semua kepentingan bercuti itu tadi memang berlaku apabila diamalkan secara kerap. Apabila semua ahli masyarakat kita sering bercuti sudah pasti kehidupan rakyat menjadi lebih baik dan harmoni itu. Peribahasa jauh perjalanan, luas pandangan membuktikan bahawa kehidupan yang dipenuhi dengan amalan bercuti ini akan menajamkan minda seseorang erti kehidupan manusia sebenar.

Thursday, August 21, 2014

Krisis Air di Malaysia? Apakah punca-puncanya?

Apakah punca-punca berlakunya krisis air di negara ini?

Krisis air bermaksud sesuatu kawasan itu mengalami masalah pembekalan air bersih. Contohnya, beberapa kawasan di negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan mengalami catuan bekalan air selama beberapa bulan akibat krisis air ini. Maka, faktor-faktor yang membawa kemelut air ini harus difahami oleh semua pihak supaya isu ini diselesaikan.

Sebab utama masalah air berlaku dikaitkan dengan fenomena musim kemarau yang keterlaluan itu. Kejadian kemarau yang berpanjangan ini merupakan fenomena yang di luar jangkaan semua pihak lalu menyebabkan langkah untuk mengawal bekalan air tidak dilaksanakan segera. Akibatnya, banyak kawasan tadahan air hujan dan loji air tidak mempunyai bekalan yang cukup untuk keperluan masyarakat kita itu.

Selain itu, krisis air ini disebabkan oleh sikap masyarakat kita yang suka membazirkan air tersebut. Amalan negatif ini wujud kerana kadar tarif bekalan air di Malaysia begitu rendah menyebabkan masyarakat tidak menghargai kemudahan bekalan air bersih itu. Ringkasnya, masalah air berlaku kerana rakyat negara ini tidak memahami betapa pentingnya bekalan air bersih itu lalu membazirkannya sahaja.
Tambahan pula, penyelenggaraan paip air yang tidak efektif telah menjadikan kemelut ini semakin serius. Pihak yang bertanggungjawab dalam perkhidmatan ini tidak menjalankan tugas mereka sebaik mungkin sehingga membawa pelbagai kejadian paip pecah yang membazirkan air itu. Lantaran itu, sikap sambil lewa pihak berkuasa dalam menjaga paip air telah membawa krisis air ini terus menjadi bahan berita semasa negara ini.

Kajian telah membuktikan bahawa krisis air ini disebabkan juga oleh kadar pembangunan yang keterlaluan oleh pihak berkuasa. Apabila pembangunan dilaksanakan tanpa kawalan sudah pasti kualiti bekalan air yang diperoleh menjadi tidak baik kerana permintaan yang terlalu tinggi itu. Jelaslah, pembangunan yang drastik ini membawa isu bekalan air menjadi meruncing.


Kesimpulannya, semua faktor tadi membuktikan krisis air di negara ini memang wujud. Kerjasama semua pihak amat diperlukan supaya masyarakat tidak dibebankan dengan masalah air saban tahun itu. Slogan jimatkan penggunaan air harus menjadi pegangan dalam jiwa rakyat Malaysia supaya krisis air ini tidak lagi menjadi mimpi ngeri masyarakat kita.

Friday, July 25, 2014

Peranan dan cabaran remaja masa kini

Peranan remaja

Peranan merujuk tugas yang perlu dilakukan

Memperoleh ilmu pengetahan sebanyak mungkin

Memperoleh pekerjaan untuk memajukan negara

Menjaga kedua-dua ibu bapa dan keluarga kelak

Tidak terlibat dalam masalah sosial dan jenayah

Cabaran

Cabaran bermaksud masalah atau kekangan yang bakal dihadapi

Kehidupan moden yang terlalu mengutamakan kebendaan

Kos hidup yang semakin tinggi terutama di Kuala Lumpur

Monday, July 21, 2014


Ujian Lisan PT3

Kebaikan rukun tetangga

Menjadikan kawasan kejiranan lebih selamat...rondaan berkala menjadikan penjenayah berfikir dua kali sebelum bertindak

Memudahkan masalah kejiranan diselesaikan...semua masalah diselesaikan menerusi rundingan

Menjadikan kehidupan kawasan kejiranan berkualiti....jiran hidup tanpa rasa takut rumah dimasuki pencuri

Tingkatkan semangat perpaduan sesama jiran...kekerapan bertemu ketika rondaan menjadikan mereka saling mengenali

Sunday, July 13, 2014

Lisan PT3

LISAN PT3

Tajuk Peranan Hidup Berjiran

kemungkinan skop soalan

cara menjaga keselamatan kawasan kejiranan
  • sertai rukun tetangga
  • awasi rumah jiran ketika ketiadaannya
  • bantu jiran ketika kecemasan seperti banjir atau kebakaran

cara menjaga kebersihan kawasan setempat
  • sertai gotong-royong kawasan
  • tidak biarkan haiwan peliharaan ke rumah jiran atau ganggu mereka

cara memelihara hubungan baik dengan jiran

  • tidak bergaduh dengan jiran
  • bertolak ansur dan berunding dengan jiran

Thursday, June 26, 2014

Cara atasi bencana alam...

Bencana alam sering berlaku terutama banjir dan tanah runtuh. Huraikan cara-cara mengatasinya.

Bencana alam tidak kerap berlaku di negara ini berbanding negara jiran seperti Filipina dan Indonesia. Antara bencana alam yang sering melanda Malaysia meliputi banjir, tanah runtuh dan kebakaran hutan. Maka, ada beberapa inisiatif yang boleh dilaksanakan untuk menghalang bencana alam berlaku.

Kaedah yang paling mudah ialah kerajaan mewujudkan satu sistem amaran awal apabila bencana alam berlaku di negara ini. Sistem ini boleh melibatkan penggunaan siren, telefon bimbit dan juga pengumuman menerusi televisyen supaya masyarakat boleh melarikan diri dengan segera. Sesungguhnya, pengenalan sistem awal ini boleh menghalang nyawa manusia daripada terkorban itu.

Selain itu, masyarakat harus dilatih dengan pelbagai latihan kecemasan supaya bersedia menghadapi bencana alam. Golongan muda harus didedahkan dengan teknik menyelamatkan diri apabila berlaku kejadian banjir dan angin taufan supaya mereka tahu tindakan yang betul untuk dilaksanakan itu. Sebenarnya, kefahaman tentang kaedah menyelamatkan diri boleh membantu mengurangkan kadar kematian apabila bencana alam berlaku.

Tambahan pula, bencana alam boleh dikekang apabila kita menjaga keseimbangan alam itu. Kawasan bukit dan hutan hendaklah dipelihara supaya wujud dalam keadaan yang sempurna tanpa ada pembangunan tertentu. Jadi, alam yang dikekalkan keadaannya boleh memastikan bencana alam tidak akan berlaku sewenang-wenangnya.

Pasukan khas menangani bencana alam boleh ditubuhkan oleh pihak kerajaan dalam mengatasi isu bencana alam ini. Penyertaan ahli pasukan ini mestilah mempunyai kemahiran dalam pelbagai bidang dan fizikal yang lasak serta kuat. Ringkasnya, pasukan khas ini boleh dihantar untuk melakukan kerja-kerja menyelamatkan mangsa bencana alam dengan pantas.

Kesimpulannya, semua kaedah tadi boleh menghalang bencana alam daripada meragut nyawa manusia di Malaysia. Kerjasama semua pihak terutamanya masyarakat amat diperlukan agar bencana alam tidak menjadi sesuatu yang lazim di negara ini. Peribahasa malang tak berbau mengingatkan kita bahawa kejadian bencana alam boleh menimpa sesiapa sahaja yang tidak berdosa itu.

Sunday, May 25, 2014

Tindakan kerajaan mengawal isu perpaduan negara?

Negara kita sedang mengalami masalah perpaduan yang kritikal terutama di kawasan yang berbilang kaum itu. 

Huraikan tindakan yang boleh diambil oleh kerajaan untuk mengawal isu ini.

Perpaduan merujuk satu suasana yang harmoni dalam sesebuah masyarakat negara itu. Antara perkara yang mengancam kestabilan perpaduan itu meliputi perasaan hasad dengki, perselisihan faham, dan juga dendam kesumat. Akibatnya, pihak kerajaan perlulah melakukan beberapa tindakan supaya perpaduan di negara ini mampu dicapai itu.

Langkah yang boleh dilakukan oleh kerajaan itu ialah mereka menganjurkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Program ini memiliki pelbagai aktiviti yang boleh memupuk perpaduan sesama pelajar kita yang berbilang kaum itu seperti melawat rumah kebajikan, masuk hutan berkumpulan, dan menembak senjata. Ringkasnya, PLKN boleh membentuk satu golongan remaja yang memiliki sikap toleransi sesama kaum.

Selain itu, kerajaan juga boleh mewajibkan subjek Sejarah dalam sistem pendidikan negara kita terutama di sekolah menengah. Pengenalan subjek ini penting kerana banyak bahan sejarah boleh dipelajari oleh pelajar tentang kemerdekaan dan perjuangan rakyat terdahulu itu. Jadi, semakin kerap subjek Sejarah diajar di sekolah semakin tinggilah peluang untuk wujudnya perpaduan itu.
Tambahan pula, sambutan Hari Kebangsaan boleh dilaksanakan oleh kerajaan dalam suasana yang lebih meriah tetapi bermakna. Semua lapisan masyarakat diminta untuk menyertainya dan merayakannya bersama-sama supaya wujud satu suara Malaysia yang sebenar. Lantaran itu, sambutan Hari Kebangsaan yang dirancang dengan teliti mampu membuahkan semangat cinta akan negara yang sejati secara tersirat.

Kerajaan juga boleh melancarkan Gagasan 1Malaysia yang berteraskan konsep perpaduan sesama kaum itu. Gagasan ini menekankan prinsip sama rata lalu semua projek kerajaan disalurkan demi kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum. Sesungguhnya, gagasan ini akan memberi harapan tercetusnya semangat perpaduan kerana rakyat menyedari kerajaan berusaha membantu kehidupan mereka secara saksama itu.


Kesimpulannya, semua kaedah tadi perlu dilaksanakan segera oleh kerajaan kita tanpa dalih lagi. Kegagalan untuk bertindak dengan segera mampu menjadikan rakyat Malaysia tidak bersatu hati pula lalu memudahkan musuh negara menangguk di air keruh itu. Peribahasa bersatu teguh bercerai roboh membuktikan bahawa perpaduan itu amat penting dalam mengharungi cabaran globalisasi yang hebat ini.

Sunday, May 18, 2014

Cara atasi pencemaran alam di Malaysia?

Kejadian pencemaran alam semakin ketara di Malaysia.

Nyatakan kaedah yang praktikal untuk mengatasinya.


Pencemaran alam dilihat sebagai satu fenomena kemusnahan alam akibat kesilapan manusia. Antara pencemaran itu meliputi pencemaran udara, air, laut, dan juga kemusnahan hutan secara berleluasa. Sebenarnya, ada pelbagai kaedah yang boleh dilakukan untuk mengekang pencemaran daripada terus berlaku itu.

Tindakan yang paling berkesan ialah masyarakat kita mengamalkan amalan kitar semula itu. Sikap kitar semula ini boleh dipupuk jika pihak berkuasa berani meletakkan tong kitar semula di beberapa kawasan yang strategik itu. Jelaslah, amalan kitar semula tidak akan memusnahkan alam kerana masyarakat tidak membazir itu.

Selain itu, kita boleh menggunakan sumber tenaga alternatif yang tertentu seperti tenaga air, cahaya matahari, dan angin itu. Malaysia merupakan sebuah negara yang dianugerahkan pelbagai sumber tenaga asli yang banyak sehingga menjadikan negara ini gelap mata untuk membuat keputusan. Akibatnya, negara kita tidak akan menggunakan minyak yang banyak menghasilkan bahan sisa kotor itu.

Tambahan pula, isu pencemaran boleh diatasi jika kawasan sungai diselenggarakan dengan baik. Penjagaan sungai penting kerana sungai yang baik akan menghalang berlakunya kejadian banjir kilat, tanah runtuh dan aliran air yang tidak menghakis tanah.  Ringkasnya, sungai yang tidak bermasalah akan menjamin kualiti alam yang baik berlaku.

Kesimpulannya, semua tindakan tadi berupaya untuk menjadikan alam kita lebih bersih dan berkualiti. Isu pencemaran alam harus ditangani dengan bijak oleh semua pihak sebelum terlewat. Peribahasa nasi menjadi bubur mengingatkan kita agar bertindak dahulu sebelum kemelut pencemaran alam ini menjadi semakin meruncing itu. 

Monday, May 12, 2014

Masalah nelayan kita....cara mengatasi isu kemiskinan itu.


Nelayan dikategorikan sebagai golongan yang bekerja meraih rezeki di laut lepas itu. Antara hasil tangkapan utama nelayan di negara ini meliputi ikan cencaru, ikan kembung, udang, dan ketam serta sotong itu. Namun, nasib nelayan di negara ini masih tidak terbela lalu pelbagai tindakan boleh dibuat untuk mengatasinya.

Tindakan yang paling tepat membasmi kemiskinan dalam kalangan nelayan kita ialah kerajaan memberi galakan supaya mereka menangkap ikan laut dalam. Galakan ini boleh dihulurkan oleh kerajaan dalam bentuk pemberian kapal yang lebih besar kepada nelayan kita. Akibatnya, nelayan kita boleh menangkap ikan tuna dan ikan paus yang mempunyai nilai komersial lebih baik berbanding ikan jenis lain itu.

Selain itu, kerajaan kita boleh membina lebih banyak kilang memproses hasil ikan ini terutama di kawasan perkampungan nelayan. Kewujudan kilang ini memudahkan nelayan untuk memproses lalu mengetin semua produk ikan mereka sebelum dijual kepada masyarakat dunia. Ringkasnya, nelayan boleh memperoleh lebih banyak sumber pendapatan apabila mampu menjual produk mereka ke seluruh dunia dengan mudah itu.

Tambahan pula, nelayan boleh dibantu dengan pemberian pinjaman kepada mereka untuk membina rumah yang lebih selesa. Rumah sebegini akan memberikan satu suasana yang lebih baik buat keluarga nelayan terutamanya anak mereka dalam proses pembelajaran di sekolah itu. Jadi, rumah yang sebegini selesa boleh memberikan satu motivasi kepada nelayan dan keluarganya untuk terus berusaha memajukan kualiti kehidupan mereka itu.

Kemelut yang melanda nelayan kita boleh ditangani menerusi kempen kesedaran yang dibuat oleh kerajaan. Masyarakat kita masih belum memahami kepentingan dan masalah yang dialami oleh golongan nelayan itu. Maka, kempen yang dilancarkan oleh kerajaan itu akan membuka mata masyarakat terhadap isu nelayan bersama-sama memberi semangat kepada golongan yang berjasa itu.

Kesimpulannya, semua inisiatif yang dihuraikan tadi mampu menyelesaikan fenomena yang dialami oleh golongan nelayan kita itu. Namun, masyarakat juga mempunyai tugas untuk membantu golongan ini dengan membeli produk yang dihasilkan oleh nelayan kita itu. Peribahasa kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya membuktikan bahawa masalah nelayan itu memerlukan usaha yang gigih dan bersungguh-sungguh daripada semua pihak untuk menyelesaikannya secara efektif.

Tuesday, April 22, 2014

Kebaikan iklan.....

Iklan merujuk cara memasarkan sesuatu produk kepada masyarakat umum. Antara saluran media massa yang menjadi kegemaran pengiklan untuk mengiklankan sesuatu meliputi televisyen, radio, dan akhbar. Sebenarnya, iklan banyak mempengaruhi kehidupan masyarakat kita pada zaman ini.

Penggunaan iklan pada masa ini memberi galakan kepada masyarakat untuk berbelanja lebih. Orang ramai akan membeli sesuatu produk apabila mendapat tahu kewujudan produk itu menerusi iklan yang mereka tonton tersebut. Lantaran itu, amalan berjimat tidak wujud dalam kehidupan masyarakat kita terutamanya golongan remaja itu.

Selain itu, iklan juga dikatakan membawa budaya kebendaan dalam norma-norma masyarakat. Semua pihak yang terpedaya dengan iklan akan meniru gaya hidup yang ditayangkan menerusi iklan itu terutamanya aspek kebendaan tersebut. Jadi, semakin banyak iklan ditayangkan semakin tinggilah budaya kebendaan diamalkan dalam kalangan masyarakat kita tersebut.

Tambahan pula, kajian sudah membuktikan bahawa iklan boleh mempengaruhi minda masyarakat kita. Bahan yang digunakan dalam iklan menjadikan masyarakat kita sukar membezakan realiti dan fantasi itu. Sesungguhnya, kehidupan manusia zaman ini banyak didasarkan fantasi yang boleh menjejaskan kehidupan sebenarnya.

Namun, kewujudan iklan turut mendedahkan manusia tentang informasi sesuatu produk itu. Maklumat yang diutarakan dalam sesuatu iklan memudahkan masyarakat untuk menilai keperluan produk itu dalam kehidupan mereka. Ringkasnya, iklan memudahkan masyarakat untuk memilih sesuatu produk dalam kehidupan harian mereka itu.

Kesimpulannya, semua hujah tadi membuktikan bahawa iklan mempunyai impak dalam kehidupan masyarakat kita. Cuma kita sebagai pengguna harus bijak menilai dan membuat keputusan sebelum membeli sesuatu produk itu. Peribahasa alah membeli, menang memakai harus dipegang oleh masyarakat kita kerana pembelian yang tepat sahaja boleh membantu kehidupan seseorang itu menjadi lebih baik.

Sunday, April 13, 2014

Kesihatan anak merupakan tugas ibu bapa.

Kesihatan anak merupakan tugas ibu bapa.

Huraikan.

Kesihatan bermaksud kanak-kanak itu tidak mengalami sebarang penyakit berbahaya. Ibu bapa mempunyai tugas penting untuk memastikan anak mereka sihat. Jadi, apakah tugas ibu bapa tersebut?

Ibu bapa hendaklah memastikan aspek pemakanan anak mereka sihat setiap hari. Diri kanak-kanak yang sedang membesar itu memerlukan vitamin dan khasiat makanan yang cukup untuk kehidupan harian. Contoh, makanan berkhasiat itu meliputi buah-buahan, sayur-sayuran, dan susu.

Selain itu, anak juga boleh dijamin kesihatannya jika mereka melakukan aktiviti senaman setiap hari. Semua senaman akan menyebabkan peluh keluar lalu membuang bahan toksin badan yang berbahaya itu. Oleh itu, kanak-kanak akan berasa lebih sihat lagi bertenaga untuk menjalani kehidupan harian mereka.


Malah, ibu bapa boleh memastikan anak mereka sihat dengan membawa mereka bertemu doktor saban tahun. Pemeriksaan yang sebegini akan memudahkan doktor untuk mengesan penyakit ketika berada pada peringkat awal. Jelaslah, pemeriksaan awal lagi kerap ini akan memudahkan penyakit disembuhkan ketika peringkat awal lagi.


Kesimpulannya, ibu bapa memang mempunyai tugas berat untuk menjamin kesihatan anak dalam keadaan baik. Kegagalan ibu bapa melaksanakan tugas ini boleh menjejaskan kehidupan harian anak mereka setelah mengalami penyakit berbahaya. Slogan mencegah itu lebih baik daripada mengubatinya membuktikan bahawa tugas ibu bapa dalam menjaga kesihatan anak begitu penting dilaksanakan tanpa sebarang rungutan. 

Thursday, January 30, 2014

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna

Tulis sebuah cerita berdasarkan peribahasa di atas.

Kamal, Ah Lee dan Silva merupakan rakan sekelas. Ketiga-tiga sahabat ini memang suka bermain-main terutama selepas waktu sekolah. Bukan itu sahaja mereka tidak suka mendengar nasihat orang lain terutamanya guru mereka iaitu Cikgu Ahmad. Mereka terlalu degil.

Salah satu aktiviti kegemaran sahabat-sahabat ini selepas balik dari sekolah ialah mandi-manda di sebuah sungai berhampiran dengan sekolah itu. Cikgu Ahmad sering menasihat mereka agak tidak pergi ke sungai itu selalu terutama ketika musim hujan kerana bimbang arus sungai itu akan menjadi deras dan bahaya kepada manusia. Nasihat guru itu tidak pernah dihiraukan oleh mereka kerana berpendapat mereka kuat dan mampu melawan arus sungai itu.

Suatu hari mereka ke sungai itu ketika hujan renyai-renyai. Cikgu Ahmad segera memanggil mereka dan meminta mereka terus balik ke rumah sahaja pada hari itu. Ketiga-tiga mereka bersetuju tetapi sebaik sahaja Cikgu Ahmad berpusing berjalan kembali ke bilik guru, mereka terus berlari ke pintu pagar dan menuju ke arah sungai tersebut. Tidak wujud lansung perasaan bimbang walaupun ketika itu hujan masih lagi turun.

Mereka terus terjun ke dalam sungai itu walaupun menyedari arus sungai itu lebih kuat daripada kebiasaannya sebaliknya mereka berasa lebih gembira. Mereka mandi sambil ketawa antara satu sama lain. Tiba-tiba, kedengaran suara Ah Lee minta tolong kerana arus yang deras telah menenggelamkannya. Kamal dan Silva cuba mencapai tangan Ah Lee tetapi gagal kerana arus tiba-tiba menjadi semakin kuat sehingga mereka tidak lagi mampu melihat Ah Lee.

Mereka berdua terus menuju ke sekolah dan memberitahu kejadian yang berlaku kepada Cikgu Ahmad yang kemudiannya memanggil pasukan polis dan bomba. Mayat Ah Lee dijumpai tidak jauh daripada kawasan kejadian. Kamal dan Silva menangis dan berasa amat menyesal kerana mereka kehilangan seorang sahabat tetapi sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.


Tuesday, January 7, 2014

Karangan 1
Perpustakaan merupakan tempat sumber rujukan kepada murid-murid sekolah.
Jelaskan faedah-faedah mengunjungi perpustakaan kepada murid.
Perpustakaan dikategorikan sebagai tempat penyimpanan dan pembacaan bahan bacaan kepada masyarakat umum terutamanya golongan pelajar. Terdapat pelbagai bentuk perpustakaan termasuklah perpustakaan bergerak dan perpustakaan sekolah. Jelaslah, pelajar yang sering mengunjungi perpustakaan akan memperoleh banyak manfaatnya.

Impak positif yang menyerlah ialah pelajar akan menghabiskan masa lapang mereka dengan berfedah terutama ketika cuti sekolah yang panjang itu. Amalan membaca buku di tempat ini memerlukan tempoh masa yang lama seperti dua atau tiga jam untuk mendapat kesan yang sewajarnya. Maka, pelajar akan menghabiskan masa cuti mereka dengan begitu bermanfaat kerana membaca itu jambatan ilmu.

Selain itu, sikap mengunjugi perpustakaan ini akan mendedahkan diri pelajar dengan pelbagai bahan bacaan yang meningkatkan kemahiran mereka dalam isu-isu semasa. Pelajar akan membaca majalah, buku, akhbar dan sebagainya ketika berada di dalam perpustakaan lalu banyak informasi diperoleh pula. Jadi, pelajar boleh menggunakan semua maklumat tersebut untuk mengukuhkan kefahaman mereka tentang aspek isu-isu semasa yang melanda kehidupan masyarakat zaman ini.

Malah, perpustakaan juga menjadi tempat untuk pelajar membuat latihan sekolah dan mengulangkaji pelajaran kerana suasananya yang senyap sunyi itu. Tumpuan pelajar menjadi lebih fokus kerana ketiadaan gangguan televisyen, telefon bimbit, suara rakan dan sebagainya berbanding ketika berada di rumah sendiri.  Akibatnya, prestasi pelajaran pelajar itu akan menjadi bertambah baik setiap kali peperiksaan berlangsung.

Tambahan pula, pelajar yang kerap ke perpustakaan akan boleh berinteraksi dengan rakan-rakan tanpa disedari itu. Kekerapan bersama-sama belajar di perpustakaan akan mewujudkan semangat bekerjasama lalu berbincang tentang pelajaran setiap kali mereka bertemu. Sesungguhnya, pelajar yang sering menghabiskan masa di perpustakaan akan memiliki rakan yang sihat dalam kehidupan mereka itu.


Konklusinya, semua kebaikan mengunjungi perpustakaan itu akan wujud apabila amalan ini menjadi satu rutin pelajar. Namun, pelajar harus jujur dengan menggunakan kemudahan perpustakaan sebaik mungkin seperti tidak membuang bising, mengoyak halaman buku, dan tidur pula. Slogan perpustakaan gedung ilmu membuktikan betapa besarlah pengaruh perpustakaan dalam kehidupan pelajar yang berusaha mencari ilmu pengetahuan itu.