Seminar PT3

Seminar PT3
Berminat: 03-21483314

Tuesday, April 22, 2014

Kebaikan iklan.....

Iklan merujuk cara memasarkan sesuatu produk kepada masyarakat umum. Antara saluran media massa yang menjadi kegemaran pengiklan untuk mengiklankan sesuatu meliputi televisyen, radio, dan akhbar. Sebenarnya, iklan banyak mempengaruhi kehidupan masyarakat kita pada zaman ini.

Penggunaan iklan pada masa ini memberi galakan kepada masyarakat untuk berbelanja lebih. Orang ramai akan membeli sesuatu produk apabila mendapat tahu kewujudan produk itu menerusi iklan yang mereka tonton tersebut. Lantaran itu, amalan berjimat tidak wujud dalam kehidupan masyarakat kita terutamanya golongan remaja itu.

Selain itu, iklan juga dikatakan membawa budaya kebendaan dalam norma-norma masyarakat. Semua pihak yang terpedaya dengan iklan akan meniru gaya hidup yang ditayangkan menerusi iklan itu terutamanya aspek kebendaan tersebut. Jadi, semakin banyak iklan ditayangkan semakin tinggilah budaya kebendaan diamalkan dalam kalangan masyarakat kita tersebut.

Tambahan pula, kajian sudah membuktikan bahawa iklan boleh mempengaruhi minda masyarakat kita. Bahan yang digunakan dalam iklan menjadikan masyarakat kita sukar membezakan realiti dan fantasi itu. Sesungguhnya, kehidupan manusia zaman ini banyak didasarkan fantasi yang boleh menjejaskan kehidupan sebenarnya.

Namun, kewujudan iklan turut mendedahkan manusia tentang informasi sesuatu produk itu. Maklumat yang diutarakan dalam sesuatu iklan memudahkan masyarakat untuk menilai keperluan produk itu dalam kehidupan mereka. Ringkasnya, iklan memudahkan masyarakat untuk memilih sesuatu produk dalam kehidupan harian mereka itu.

Kesimpulannya, semua hujah tadi membuktikan bahawa iklan mempunyai impak dalam kehidupan masyarakat kita. Cuma kita sebagai pengguna harus bijak menilai dan membuat keputusan sebelum membeli sesuatu produk itu. Peribahasa alah membeli, menang memakai harus dipegang oleh masyarakat kita kerana pembelian yang tepat sahaja boleh membantu kehidupan seseorang itu menjadi lebih baik.

Sunday, April 13, 2014

Kesihatan anak merupakan tugas ibu bapa.

Kesihatan anak merupakan tugas ibu bapa.

Huraikan.

Kesihatan bermaksud kanak-kanak itu tidak mengalami sebarang penyakit berbahaya. Ibu bapa mempunyai tugas penting untuk memastikan anak mereka sihat. Jadi, apakah tugas ibu bapa tersebut?

Ibu bapa hendaklah memastikan aspek pemakanan anak mereka sihat setiap hari. Diri kanak-kanak yang sedang membesar itu memerlukan vitamin dan khasiat makanan yang cukup untuk kehidupan harian. Contoh, makanan berkhasiat itu meliputi buah-buahan, sayur-sayuran, dan susu.

Selain itu, anak juga boleh dijamin kesihatannya jika mereka melakukan aktiviti senaman setiap hari. Semua senaman akan menyebabkan peluh keluar lalu membuang bahan toksin badan yang berbahaya itu. Oleh itu, kanak-kanak akan berasa lebih sihat lagi bertenaga untuk menjalani kehidupan harian mereka.


Malah, ibu bapa boleh memastikan anak mereka sihat dengan membawa mereka bertemu doktor saban tahun. Pemeriksaan yang sebegini akan memudahkan doktor untuk mengesan penyakit ketika berada pada peringkat awal. Jelaslah, pemeriksaan awal lagi kerap ini akan memudahkan penyakit disembuhkan ketika peringkat awal lagi.


Kesimpulannya, ibu bapa memang mempunyai tugas berat untuk menjamin kesihatan anak dalam keadaan baik. Kegagalan ibu bapa melaksanakan tugas ini boleh menjejaskan kehidupan harian anak mereka setelah mengalami penyakit berbahaya. Slogan mencegah itu lebih baik daripada mengubatinya membuktikan bahawa tugas ibu bapa dalam menjaga kesihatan anak begitu penting dilaksanakan tanpa sebarang rungutan.