Seminar PT3

Seminar PT3
Berminat: 03-21483314

Thursday, June 26, 2014

Cara atasi bencana alam...

Bencana alam sering berlaku terutama banjir dan tanah runtuh. Huraikan cara-cara mengatasinya.

Bencana alam tidak kerap berlaku di negara ini berbanding negara jiran seperti Filipina dan Indonesia. Antara bencana alam yang sering melanda Malaysia meliputi banjir, tanah runtuh dan kebakaran hutan. Maka, ada beberapa inisiatif yang boleh dilaksanakan untuk menghalang bencana alam berlaku.

Kaedah yang paling mudah ialah kerajaan mewujudkan satu sistem amaran awal apabila bencana alam berlaku di negara ini. Sistem ini boleh melibatkan penggunaan siren, telefon bimbit dan juga pengumuman menerusi televisyen supaya masyarakat boleh melarikan diri dengan segera. Sesungguhnya, pengenalan sistem awal ini boleh menghalang nyawa manusia daripada terkorban itu.

Selain itu, masyarakat harus dilatih dengan pelbagai latihan kecemasan supaya bersedia menghadapi bencana alam. Golongan muda harus didedahkan dengan teknik menyelamatkan diri apabila berlaku kejadian banjir dan angin taufan supaya mereka tahu tindakan yang betul untuk dilaksanakan itu. Sebenarnya, kefahaman tentang kaedah menyelamatkan diri boleh membantu mengurangkan kadar kematian apabila bencana alam berlaku.

Tambahan pula, bencana alam boleh dikekang apabila kita menjaga keseimbangan alam itu. Kawasan bukit dan hutan hendaklah dipelihara supaya wujud dalam keadaan yang sempurna tanpa ada pembangunan tertentu. Jadi, alam yang dikekalkan keadaannya boleh memastikan bencana alam tidak akan berlaku sewenang-wenangnya.

Pasukan khas menangani bencana alam boleh ditubuhkan oleh pihak kerajaan dalam mengatasi isu bencana alam ini. Penyertaan ahli pasukan ini mestilah mempunyai kemahiran dalam pelbagai bidang dan fizikal yang lasak serta kuat. Ringkasnya, pasukan khas ini boleh dihantar untuk melakukan kerja-kerja menyelamatkan mangsa bencana alam dengan pantas.

Kesimpulannya, semua kaedah tadi boleh menghalang bencana alam daripada meragut nyawa manusia di Malaysia. Kerjasama semua pihak terutamanya masyarakat amat diperlukan agar bencana alam tidak menjadi sesuatu yang lazim di negara ini. Peribahasa malang tak berbau mengingatkan kita bahawa kejadian bencana alam boleh menimpa sesiapa sahaja yang tidak berdosa itu.

No comments: