Seminar PT3

Seminar PT3
Berminat: 03-21483314

Monday, March 30, 2015

Esei PT3... Cara pelajar atasi tekanan di sekolah

Kehidupan pelajar penuh dengan tekanan terutama tekanan peperiksaan.

Berikan pendapat anda tentang cara mengatasi masalah ini.

Tekanan pelajar bermaksud rasa tidak selesa yang dialami oleh pelajar dalam menjalani kehidupan harian mereka. Pelbagai pihak memberikan tekanan kepada pelajar seperti ibu bapa, pihak sekolah, dan rakan-rakan. Lantaran itu, pelbagai langkah boleh diambil oleh pelajar untuk mengekang tekanan ini.

Kaedah yang boleh dilakukan oleh pelajar untuk mengatasi tekanan ialah mereka berkongsi masalah dengan rakan baik. Tindakan ini bermaksud pelajar yang bermasalah itu boleh meluahkan kerisauannya kepada orang lain tanpa ragu-ragu.  Jelaslah, luahan ini menjadikan jiwa pelajar tersebut lebih tenang untuk meneruskan kehidupan.

Selain itu, usaha bertemu dengan guru kaunseling berupaya menghalang tekanan daripada memusnahkan pelajar. Guru kaunseling yang berpengalaman dalam psikologi itu boleh memberikan pelbagai nasihat yang membina kepada pelajar. Maka, pelajar akan berjaya mengatasi tekanan kerana nasihat guru kaunseling yang betul itu.

Tambahan pula, penglibatan pelajar dalam kegiatan kokurikulum membantu mengurangkan tekanan tersebut. Apabila menyertai aktiviti seperti sukan ini sudah pasti minda mereka lebih fokus terhadap aktiviti tersebut berbanding masalah yang dialami. Akibatnya, pelajar berasa lebih tenang dan bertenaga untuk menyelesaikan masalah hidup selepas selesai melakukan aktiviti kokurikulum itu.

Pelajar juga boleh mengekang tekanan diri dengan menyertai ceramah motivasi itu. Penceramah motivasi akan menggunakan pelbagai kaedah psikologi supaya pelajar berfikiran positif dalam mengatasi kemelut hidup mereka itu. Ringkasnya, pelajar akan melihat tekanan itu daripada aspek positif lalu mampu meneruskan kehidupannya.

Kesimpulannya, semua tindakan tadi boleh diambil oleh pelajar untuk memastikan tekanan hidup mereka berjaya dikawal. Pelajar perlulah lebih positif apabila mengalami tekanan kerana hidup tanpa tekanan bukanlah hidup sebenar. Bak kata pepatah bumi mana yang tidak ditimpa hujan membuktikan kita semua ada kesilapan.

Tuesday, March 17, 2015

Karangan PT3 2015...Tindakan-tindakan kerajaan untuk kekalkan perpaduan kaum

Negara kita sedang mengalami pelbagai masalah terutama yang berkaitan dengan perpaduan.  

Huraikan tindakan yang boleh diambil oleh kerajaan untuk memastikan perpaduan terus kekal.

Perpaduan merujuk satu suasana yang harmoni dalam sesebuah masyarakat negara itu. Antara perkara yang mengancam kestabilan perpaduan itu meliputi perasaan hasad dengki, perselisihan faham, dan juga dendam kesumat. Akibatnya, pihak kerajaan perlulah melakukan beberapa tindakan supaya perpaduan di negara ini mampu dicapai itu.

Langkah yang boleh dilakukan oleh kerajaan itu ialah mereka menganjurkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Program ini memiliki pelbagai aktiviti yang boleh memupuk perpaduan sesama pelajar kita yang berbilang kaum itu seperti melawat rumah kebajikan, masuk hutan berkumpulan, dan menembak senjata. Ringkasnya, PLKN boleh membentuk satu golongan remaja yang memiliki sikap toleransi sesama kaum.

Selain itu, kerajaan juga boleh mewajibkan subjek Sejarah dalam sistem pendidikan negara kita terutama di sekolah menengah. Pengenalan subjek ini penting kerana banyak bahan sejarah boleh dipelajari oleh pelajar tentang kemerdekaan dan perjuangan rakyat terdahulu itu. Jadi, semakin kerap subjek Sejarah diajar di sekolah semakin tinggilah peluang untuk wujudnya perpaduan itu. 

Tambahan pula, sambutan Hari Kebangsaan boleh dilaksanakan oleh kerajaan dalam suasana yang lebih meriah tetapi bermakna. Semua lapisan masyarakat diminta untuk menyertainya dan merayakannya bersama-sama supaya wujud satu suara Malaysia yang sebenar. Lantaran itu, sambutan Hari Kebangsaan yang dirancang dengan teliti mampu membuahkan semangat cinta akan negara yang sejati secara tersirat.

Kerajaan juga boleh melancarkan Gagasan 1Malaysia yang berteraskan konsep perpaduan sesama kaum itu. Gagasan ini menekankan prinsip sama rata lalu semua projek kerajaan disalurkan demi kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum. Sesungguhnya, gagasan ini akan memberi harapan tercetusnya semangat perpaduan kerana rakyat menyedari kerajaan berusaha membantu kehidupan mereka secara saksama itu.


Kesimpulannya, semua kaedah tadi perlu dilaksanakan segera oleh kerajaan kita tanpa dalih lagi. Kegagalan untuk bertindak dengan segera mampu menjadikan rakyat Malaysia tidak bersatu hati pula lalu memudahkan musuh negara menangguk di air keruh itu. Peribahasa bersatu teguh bercerai roboh membuktikan bahawa perpaduan itu amat penting dalam mengharungi cabaran globalisasi yang hebat ini.

Tuesday, March 3, 2015

Cara-cara atasi pencemaran alam di dunia?

Dunia mengalami pencemaran yang begitu ketara.

Berikan pendapat anda cara-cara mengatasi pencemaran alam ini.

Pencemaran alam dilihat sebagai satu fenomena kemusnahan alam akibat kesilapan manusia. Antara pencemaran itu meliputi pencemaran udara, air, laut, dan juga kemusnahan hutan secara berleluasa. Sebenarnya, ada pelbagai kaedah yang boleh dilakukan untuk mengekang pencemaran daripada terus berlaku itu.

Tindakan yang paling berkesan ialah masyarakat kita mengamalkan amalan kitar semula itu. Sikap kitar semula ini boleh dipupuk jika pihak berkuasa berani meletakkan tong kitar semula di beberapa kawasan yang strategik itu. Jelaslah, amalan kitar semula tidak akan memusnahkan alam kerana masyarakat tidak membazir itu.

Selain itu, kita boleh menggunakan sumber tenaga alternatif yang tertentu seperti tenaga air, cahaya matahari, dan angin itu. Malaysia merupakan sebuah negara yang dianugerahkan pelbagai sumber tenaga asli yang banyak sehingga menjadikan negara ini gelap mata untuk membuat keputusan. Akibatnya, negara kita tidak akan menggunakan minyak yang banyak menghasilkan bahan sisa kotor itu.

Tambahan pula, isu pencemaran boleh diatasi jika kawasan sungai diselenggarakan dengan baik. Penjagaan sungai penting kerana sungai yang baik akan menghalang berlakunya kejadian banjir kilat, tanah runtuh dan aliran air yang tidak menghakis tanah.  Ringkasnya, sungai yang tidak bermasalah akan menjamin kualiti alam yang baik berlaku.


Kesimpulannya, semua tindakan tadi berupaya untuk menjadikan alam kita lebih bersih dan berkualiti. Isu pencemaran alam harus ditangani dengan bijak oleh semua pihak sebelum terlewat. Peribahasa nasi menjadi bubur mengingatkan kita agar bertindak dahulu sebelum kemelut pencemaran alam ini menjadi semakin meruncing itu.