Seminar PT3

Seminar PT3
Berminat: 03-21483314

Monday, March 30, 2015

Esei PT3... Cara pelajar atasi tekanan di sekolah

Kehidupan pelajar penuh dengan tekanan terutama tekanan peperiksaan.

Berikan pendapat anda tentang cara mengatasi masalah ini.

Tekanan pelajar bermaksud rasa tidak selesa yang dialami oleh pelajar dalam menjalani kehidupan harian mereka. Pelbagai pihak memberikan tekanan kepada pelajar seperti ibu bapa, pihak sekolah, dan rakan-rakan. Lantaran itu, pelbagai langkah boleh diambil oleh pelajar untuk mengekang tekanan ini.

Kaedah yang boleh dilakukan oleh pelajar untuk mengatasi tekanan ialah mereka berkongsi masalah dengan rakan baik. Tindakan ini bermaksud pelajar yang bermasalah itu boleh meluahkan kerisauannya kepada orang lain tanpa ragu-ragu.  Jelaslah, luahan ini menjadikan jiwa pelajar tersebut lebih tenang untuk meneruskan kehidupan.

Selain itu, usaha bertemu dengan guru kaunseling berupaya menghalang tekanan daripada memusnahkan pelajar. Guru kaunseling yang berpengalaman dalam psikologi itu boleh memberikan pelbagai nasihat yang membina kepada pelajar. Maka, pelajar akan berjaya mengatasi tekanan kerana nasihat guru kaunseling yang betul itu.

Tambahan pula, penglibatan pelajar dalam kegiatan kokurikulum membantu mengurangkan tekanan tersebut. Apabila menyertai aktiviti seperti sukan ini sudah pasti minda mereka lebih fokus terhadap aktiviti tersebut berbanding masalah yang dialami. Akibatnya, pelajar berasa lebih tenang dan bertenaga untuk menyelesaikan masalah hidup selepas selesai melakukan aktiviti kokurikulum itu.

Pelajar juga boleh mengekang tekanan diri dengan menyertai ceramah motivasi itu. Penceramah motivasi akan menggunakan pelbagai kaedah psikologi supaya pelajar berfikiran positif dalam mengatasi kemelut hidup mereka itu. Ringkasnya, pelajar akan melihat tekanan itu daripada aspek positif lalu mampu meneruskan kehidupannya.

Kesimpulannya, semua tindakan tadi boleh diambil oleh pelajar untuk memastikan tekanan hidup mereka berjaya dikawal. Pelajar perlulah lebih positif apabila mengalami tekanan kerana hidup tanpa tekanan bukanlah hidup sebenar. Bak kata pepatah bumi mana yang tidak ditimpa hujan membuktikan kita semua ada kesilapan.

No comments: