Pakej Karangan PT3

Pakej Karangan PT3

Tuesday, June 9, 2015

Esei PT3...Cara-cara kerajaan kurangkan bebankan hidup rakyat ekoran ke aikan harga petrol


Kenaikan harga petrol telah membebankan kehidupan rakyat.
Berikan cara-cara yang boleh dilakukan oleh kerajaan untuk mengurangkan bebanan rakyat ini.


Kenaikan harga petrol bermaksud harga barang mentah ini akan dinaikkan lebih kerap apabila harga pasaran dunia melonjak naik. Perkara ini menyebabkan golongan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana akan menderita kerana kos hidup melambung tinggi. Lantaran itu, pihak berkuasa boleh melakukan pelbagai tindakan untuk menjamin kehidupan rakyat lebih selesa.

Tindakan yang boleh dilakukan oleh kerajaan untuk membantu meringankan beban kehidupan rakyat dalam isu ini ialah kerajaan menggalakkan rakyat berkongsi kereta. Amalan ini bukan sahaja mengurangkan kos petrol individu tetapi turut membantu mengekalkan keindahan alam sekitar daripada tercemar. Ringkasnya, amalan yang mudah seperti berkongsi kereta akan membantu pengurusan perbelanjaan rakyat menjadi lebih baik lagi.

Selain itu, kerajaan boleh memajukan sistem pengangkutan awam negara untuk membantu rakyat jelata. Kos tambang pengangkutan awam terutamanya bas dan lrt begitu murah berbanding kos menggunakan kenderaan sendiri apabila pergi ke pejabat atau bersiar-siar. Jadi, semakin maju pengangkutan awam negara semakin banyaklah rakyat yang akan menggunakannya lalu kos hidup mereka menjadi kurang berbanding menggunakan kenderaan sendiri.

Tambahan pula, usaha menambah jumlah produk menjadi barang kawalan dilihat satu kaedah untuk meringankan beban kehidupan rakyat negara. Semua barang kawalan akan ditetapkan harganya oleh kerajaan lalu peniaga tidak boleh menaikkannya sesuka hati seperti harga beras, gula, tepung, susu, dan minyak masak. Akibatnya, rakyat tidak akan dibebankan dengan alasan harga barang naik ekoran harga petrol yang melambung itu.

Kerajaan juga boleh mengurangkan cukai pendapatan individu dalam usaha membantu rakyat hidup dengan selesa. Pengurangan ini membolehkan setiap orang mempunyai wang lebihan yang berguna untuk disimpan atau membiayai kos lain yang meningkat ekoran harga minyak mahal tersebut. Sesungguhnya, cukai yang berkurangan akan memberikan satu kelegaan kepada rakyat dalam mengharungi cabaran harga petrol yang tinggi tersebut.

Kesimpulannya, semua kaedah yang diberikan tadi berupaya meringankan beban kehidupan rakyat apabila harga petrol menjadi mahal. Rakyat harus bijak dan menilai sendiri keperluan yang utama dalam kehidupan jika mereka mahu hidup dengan tenteram ketika masalah minyak ini berterusan. Peribahasa ukur baju di badan sendiri mengingatkan kita supaya berbelanja mengikut gaji yang diterima setiap bulan dan bukannya mengikut hawa nafsu.

No comments: