Thursday, March 31, 2016

Karangan PT3 2016...Punca gejala lepak berlaku di negara ini?

Gejala lepak sudah menjadi satu gaya hidup remaja zaman ini.
Huraikan faktor-faktor yang mendorong perkara ini berlaku.

Gejala lepak sudah menjadi satu budaya yang lumrah dalam kehidupan harian pelajar. Mereka melepak di kawasan pusat beli-belah, padang permainan dan kafe internet. Jadi, pelbagai faktor yang mendorong budaya ini berlaku harus difahami oleh semua pihak.

Punca utama remaja melepak disebabkan oleh ibu bapa yang tidak memberikan perhatian kepada mereka. Kegagalan memberikan perhatian ini disebabkan oleh ibu bapa terlalu sibuk bekerja mencari nafkah keluarga. Akibatnya, anak melepak kerana mereka sedar ibu bapa tidak akan menyedari ketiadaan mereka di rumah.

Selain itu, masalah keluarga turut mendorong pelajar keluar dari rumah untuk menghiburkan hati mereka. Pelajar berasa tertekan dan keliru apabila sering mendengar ahli keluarga mereka bertengkar saban hari. Maka, lepak dilihat jalan keluar daripada kekalutan masalah keluarga pelajar itu sendiri.

Tambahan pula, kemelut melepak ini dikaitkan dengan pengaruh rakan sebaya. Pelajar lebih mudah mempercayai ajak rakan mereka kerana perbezaan umur yang hampir serupa. Sesungguhnya, pelajar melepak kerana mahu diterima sebagai sebahagian daripada rakan dalam sesuatu kumpulan itu.

Kajian juga membuktikan bahawa melepak berlaku kerana remaja mencari ketenangan jiwa dalam kehidupan ini. Remaja yang menghadapi pelbagai tekanan di rumah dan di sekolah yang membawa jiwa mereka celaru dan tertekan sepanjang masa. Sesungguhnya, melepak menjadi kaedah remaja untuk menenangkan jiwa muda tersebut.

Kesimpulannya, semua faktor melepak itu berlaku dalam kehidupan remaja zaman moden ini. Namun, ada pihak yang melihat melepak ini sesuatu aktiviti yang merugikan remaja sahaja. Peribahasa masa itu emas membuktikan bahawa remaja hendaklah menggunakan masa mereka dengan berkesan.