Pakej Karangan PT3

Pakej Karangan PT3

Sunday, April 17, 2016

PT3 Karangan 2016...Kesan buruk penggunaan telefon bimbit kepada pelajar

Penggunaan telefon bimbit di negara ini amat membimbangkan terutamanya golongan pelajar.
Nyatakan kesan buruk gejala ini.

Penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar sudah menjadi satu budaya biasa zaman ini. Pelbagai jenama telefon bimbit dimiliki oleh pelajar tetapi biasanya jenama dari luar negara menjadi idaman mereka. Akibatnya, penggunaan teknologi ini yang keterlaluan telah membawa banyak kesan negatif.

Impak negatif yang ketara ialah amalan ini mengalihkan tumpuan pelajar terhadap pelajarannya.  Perhatian pelajar terganggu kerana ada kalangan golongan ini yang menggunakan telefon itu ketika guru sedang mengajar di dalam kelas. Lama-kelamaan, mereka tidak akan memahami pengajaran guru lalu menjejaskan prestasi dalam peperiksaan.

Selain itu, penggunaan telefon bimbit boleh menjadikan sumber kewangan pelajar sedikit tertekan pula. Situasi ini menjelma apabila pelajar tidak boleh mengawal diri menggunakan perkhidmatan telefon bimbit sewenang-wenangnya. Ringkasnya, telefon bimbit akan menyebabkan pelajar mengalami masalah kewangan jika tidak dikawal pula.

Tambahan pula, pelajar yang sering menggunakan teknologi ini akan terdedah pada penipuan internet dengan mudah. Golongan muda ini lebih suka menggunakan talian internet percuma tanpa menyedari penjenayah menggunakan talian ini sebagai umpan mereka. Jadi, semakin kerap mereka menggunakan telefon bimbit semakin besarlah risiko mereka ditipu oleh penjenayah siber.


Penggunaan telefon bimbit turut menjadikan kualiti kesihatan pelajar akan merosot pada suatu masa nanti. Kajian membuktikan bahawa mata pelajar menjadi rosak apabila terlalu kerap melihat skrin telefon mereka. Apabila kelakuan ini berterusan sudah pasti anggota badan yang lain turut mengalami impak serupa.

Kesimpulannya, semua impak negatif tadi akan berlaku apabila penggunaan teknologi ini tidak dikawal oleh pelajar. Namun, ada pelajar yang memandang rendah masalah ini lalu enggan berubah. Peribahasa yang lama dikelek, yang baharu didukung mengingatkan kita supaya menggunakan teknologi dengan berhati-hati supaya impaknya positif.