Pakej Karangan PT3

Pakej Karangan PT3

Friday, May 20, 2016

Karangan PT3 2016.... Punca konsep jiran sepakat hilang

Konsep jiran sepakat telah hilang dalam kehidupan masyarakat kita. Pelbagai punca telah dikenal pasti menyebabkan konsep ini hilang ditelan zaman.
Huraikan.

Jiran sepakat bermaksud jiran tetangga yang saling mengenali dan berkomunikasi dengan penuh kemesraan. Kesepakatan ini boleh dilihat wujud apabila kawasan itu sering menjalankan aktiviti seperti gotong-royong, perjumpaan tertentu, dan majlis perkahwinan yang membabitkan penyertaan semua jiran. Namun, kesepakatan ini sudah hilang dalam kehidupan kejiranan disebabkan oleh pelbagai faktor tertentu.

Faktor utama hilangnya kesepakatan dalam kejiranan ini dikaitkan dengan suasana kehidupan masyarakat moden yang menjalar dalam segala aktiviti manusia. Kemodenan ini melibatkan semua aspek kehidupan manusia seperti melakukan majlis, membeli makanan, membeli pakaian, dan memperoleh pelbagai perkhidmatan tertentu. Lama-kelamaan, kemodenan dalam kehidupan mendidik masyarakat erti berdikari lalu mereka membuang amalan berinteraksi dengan jiran apabila melakukan apa-apa dalam kehidupan ini.

Selain itu, reka bentuk kawasan perumahan yang berbeda daripada kebiasaan membuatkan amalan berinteraksi dengan jiran tidak lagi wujud. Perubahan bentuk perumahan yang berpagar tinggi dan mempunyai pengawal peribadi menyebabkan interaksi sesama jiran sukar berlaku kerana masing-masing mementingkan hal peribadi sendiri. Akibatnya, hubungan antara jiran sukar berlaku kerana pelbagai halangan fizikal ini sehingga mereka tidak lagi ada kesepakatan sesama kejiranan.

Tambahan pula, kemajuan dalam bidang teknologi komunikasi telah menjadikan hubungan sesama jiran semakin renggang. Masyarakat zaman ini lebih selesa menggunakan teknologi komunikasi apabila berinteraksi sesama jiran daripada bersemuka itu. Jelaslah, kemajuan teknologi komunikasi ini mengheret manusia jauh daripada amalan berbual dengan jiran mereka sehingga mereka langsung tidak mengenali jiran lagi.
Punca terakhir yang menyebabkan kesepakatan kejiranan terhakis dalam kehidupan dikaitkan dengan ketiadaan didikan ibu bapa yang sempurna. Golongan muda tidak lagi dibawa oleh ibu bapa mereka untuk melawat jiran tetangga sebagai satu didikan yang membawa kefahaman sebenar erti kejiranan. Jadi, generasi muda tidak lagi memahami keperluan melawat jiran mereka kerana ibu bapa sendiri tidak mengasuh mereka berbuat perkara sedemikian rupa.

Kesimpulannya, jiran sepakat memang tidak lagi wujud di negara ini kerana pelbagai faktor yang diutarakan tadi. Semua pihak terutamanya golongan muda hendaklah berfikiran terbuka tentang aspek kejiranan ini kerana jiran yang baik boleh membantu kehidupan mereka menjadi lebih cemerlang. Bak kata pepatah sekali air bah sekali pantai berubah yang mencerminkan dugaan yang bakal menghakis aspek kejiranan di negara ini haruslah diberikan perhatian yang sewajarnya.