Pakej Karangan PT3

Pakej Karangan PT3

Tuesday, June 21, 2016

Cara atasi cetak rompak

Isu cetak rompak sudah lama menghantui negara ini. Banyak pihak menyalahkan satu sama lain dalam isu ini.
Huraikan cara-cara mengatasi isu ini.

Aktiviti cetak rompak di negara ini dikatakan sudah keterlaluan sehingga menimbulkan pelbagai masalah kepada masyarakat dan negara. Biasanya, aktiviti negatif ini dilakukan oleh golongan remaja yang bertindak terburu-buru tanpa memikirkan impak yang timbul. Akibatnya, cetak rompak perlu ditangani menerusi pelbagai tindakan yang proaktif tersebut.

Inisiatif yang baik dalam mengekang polemik ini melibatkan usaha pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan mengejut di kawasan yang disyaki mengedar cetak rompak. Pemeriksaan secara mengejut ini pasti menyukarkan pihak yang menjadi dalang dalam aktiviti mengedarkan bahan cetak rompak tersebut. Lama-kelamaan, amalan pihak berkuasa ini akan menakutkan mana-mana pihak yang mahu menjalankan aktiviti perniagaan cetak rompak di Malaysia.

Selain itu, pihak berkuasa yang berfikiran positif pastinya akan menjalankan pelbagai kempen kesedaran kepada masyarakat tentang amalan cetak rompak yang keji itu. Penyiaran kempen ini menerusi media massa era moden seperti Twitter, Facebook, dan Wechat akan mencetuskan satu kesedaran dalam jiwa masyarakat betapa meruncingnya cetak rompak di Malaysia. Ringkasnya, kempen yang disiarkan akan memberikan satu kefahaman kepada masyarakat Malaysia erti sebenar cetak rompak itu.

Tambahan pula, kemelut cetak rompak boleh ditangani menerusi penubuhan satu badan khas yang memantau aktiviti hak cipta sesuatu produk. Badan khas ini boleh mengenal pasti pihak yang melanggar hak cipta seseorang atau syarikat lalu memaklumkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan susulan yang wajar. Maka, penubuhan badan khas ini berupaya mengawal isu cetak rompak daripada menjadi di luar kawalan pada masa depan.

Masalah cetak rompak boleh dikawal menerusi usaha mengenakan kadar denda yang tinggi dan hukuman penjara yang panjang tempohnya. Apabila pesalah cetak rompak ditahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara yang lama tempohnya bersama-sama denda yang mencecah jutaan ringgit. Jelaslah, hukuman yang berat akan menghalang sebarang individu daripada mencuba melibatkan diri mereka dalam aktiviti cetak rompak itu.

Konklusinya, cetak rompak memang sudah menjadi duri dalam daging di negara ini sehingga menjejaskan imej negara. Pihak kerajaan perlulah lebih telus dan bertanggungjawab dalam usaha mereka mengekang gejala cetak rompak ini. Bak kata pepatah kerana nila setitik habis rosak susu sebelanga yang menyedarkan kita betapa seriusnya masalah ini sehingga seluruh imej negara terjejas gara-gara tindakan segelintir pihak melakukan aktiviti cetak rompak itu.

No comments: