Seminar PT3

Seminar PT3
Berminat: 03-21483314

Monday, August 1, 2016

Karangan PT3...Usaha pihak sekolah menggalakkan penggunaan internet dalam kalangan pelajar

Usaha pihak sekolah menggalakkan penggunaan internet dalam kalangan pelajar.

Huraikan.

Internet dikategorikan sebagai satu teknologi komunikasi zaman siber yang mengagumkan masyarakat. Biasanya, internet melibatkan penggunaan komputer riba dan telefon bimbit kerana kedua-dua peralatan ini mudah untuk dikendalikan oleh sesiapa sahaja termasuklah kanak-kanak.Lantaran itu, pelbagai tindakan boleh dilakukan oleh pihak sekolah untuk meluaskan penggunaan internet ini.

Langkah awal ialah pihak sekolah boleh memberi pelajarnya kemudahan menggunakan komputer riba di kelas ketika belajar. Kemudahan ini boleh dilaksanakan menerusi pelbagai skim pinjaman pembiayaan pemilikan komputer peribadi yang diuruskan oleh pihak sekolah. Maka, skim pembiayaan pemilikan komputer sebegini akan memastikan setiap pelajar sekolah mempunyai komputer sendiri.

Selain itu, semua sekolah hendaklah mempunyai rangkaian internet jalur lebar yang dilanggan daripada syarikat telekomunikasi negara. Semua kawasan di sekolah itu hendaklah mampu dilitupi oleh internet jalur lebar ini supaya penghuninya boleh menggunakan tanpa halangan. Sesungguhnya, kemudahan internet jalur lebar di sekolah membuka minat pelajar untuk menggunakan teknologi ini di rumah pula.

Tambahan pula, usaha meluaskan penggunaan internet boleh dimulakan oleh pihak guru yang menggunakan teknologi maklumat dalam proses pembelajarannya. Golongan ini boleh menggunakan emel, rangkaian sosial, dan perisian menulis apabila membentangkan sesuatu topik pelajaran kepada pelajarnya. Akibatnya, pelajar dan guru akan lebih selesa menggunakan teknologi ini dalam sebarang urusan pembelajaran pada masa hadapan.

Usaha meluaskan penggunaan internet ini boleh dilakukan juga menerusi tindakan pihak sekolah mengamalkan budaya bebas kertas itu. Urusan birokrasi seperti permohonan cuti dan sebagainya perlulah dilakukan di alam maya atau internet tanpa menggunakan kertas biasa itu. Ringkasnya, usaha menjadikan sekolah bebas kertas merupakan matlamat akhir yang harus dicapai oleh mana-mana sekolah untuk membuktikan internet menguasai dunia manusia itu.

Kesimpulannya, semua usaha yang dilakukan oleh pihak sekolah itu mampu menjadikan pelajar mereka celik internet. Namun, pelajar juga harus mengambil ikhtiar sendiri untuk memajukan diri mereka dalam dunia internet yang semakin mencabar itu. Bak kata pepatah rusa masuk kampung mengingatkan kita agar tidak terlalu kagum dengan internet sehingga tidak mampu melihat impak buruknya itu.


No comments: