Seminar PT3

Seminar PT3
Berminat: 03-21483314

Monday, August 22, 2016

Peranan keluarga bentuk keluarga penyayang

Ibu bapa menjadi penentu dalam pembentukan keluarga penyayang.
Jelaskan peranan ibu bapa dalam pembentukan ini.

Keluarga penyayang merujuk keluarga yang hidup dalam suasana kegembiraan dan keharmonian sejati. Jika unsur penyayang tidak wujud sudah pasti keluarga itu akan bermasalah terutamanya anak menjadi liar. Lantaran itu, apakah perkara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa dalam pembentukan keluarga sebegini?

Tindakan yang paling efektif dibuat oleh ibu bapa dalam menghasilkan keluarga penyayang melibatkan amalan mencurahkan kasih sayang yang sejati. Setiap hari ibu bapa perlulah mengucapkan ungkapan sayang dan memeluk anak mereka tanpa rasa segan silu. Akibatnya, anak berasa diri mereka dihargai lalu tidak akan melibatkan diri dalam sebarang aktiviti yang tidak bermoral seperti ponteng sekolah.

Selain itu, sikap prihatin ibu bapa terhadap kehidupan anak akan menjadikan keluarga itu menyayangi satu sama lain. Semua perkara yang berlaku dalam hidup anak diketahui oleh ibu bapa terutama masalah yang dihadapi di sekolah itu. Lama-kelamaan, anak akan menghargai keprihatinan ibu bapa dalam menyelesaikan masalah mereka di sekolah dan dalam kehidupan itu.

Tambahan pula, sikap menghabiskan masa bersama-sama anak akan menjadikan hubungan keluarga lebih intim dan mesra. Apabila cuti sekolah dan umum anak-anak boleh dibawa berjalan-jalan ke tempat yang menarik sambil berlibur. Aktiviti sebegini akan membuktikan betapa pentingnya anak kepada ibu bapa lalu anak akan berasa bersyukur memiliki ibu bapa sebegini.

Ibu bapa yang bijak akan merancang masa depan anak dengan teliti supaya kehidupan mereka terjamin. Perancangan ini meliputi sikap menyimpan wang untuk pendidikan anak atau menyediakan wang sebagai modal untuk anak membuka perniagaan sendiri. Amalan sebegini akan memudahkan anak untuk meneruskan hidup pada masa depan kerana dibantu oleh ibu bapa lalu rasa terhutang budi akan wujud selama-lamanya.

Kesimpulannya, ibu bapa memang mempunyai tugas berat untuk menghasilkan satu keluarga yang penyayang. Bak kata pepatah ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi yang mengingatkan kita betapa pentingnya didikan ibu bapa dalam menentukan keharmonian keluarga. Sudah sampai masanya institusi kekeluargaan diberi penekanan untuk negara dalam usaha menjadi negara moden, makmur, dan sejahtera itu.

No comments: