Pakej Karangan PT3

Pakej Karangan PT3

Monday, September 12, 2016

Cara tarik minat pelajar sertai kokurikulum sekolah

Pelajar zaman ini enggan menyertai aktiviti kokurikulum di sekolah. Pelbagai alasan diberikan atas sikap tersebut.
Huraikan  cara-cara untuk menarik minat pelajar semula.

Minat pelajar terhadap aktiviti kokurikulum semakin berkurangan kerana mereka melihat aktiviti ini tidak memberikan sebarang faedah. Banyak pihak terutama ibu bapa turut berpendapat aktiviti kokurikulum membebankan anak mereka untuk berjaya dalam bidang akademik. Sebenarnya, ada banyak cara yang boleh digunakan untuk menarik minat pelajar menyertai aktiviti luar darjah ini.

Kaedah utama yang boleh menarik minat pelajar untuk menyertai kokurikulum berkait rapat dengan kesungguhan pihak sekolah mewajibkan pelajar mereka menyertai aktiviti ini. Pelajar yang diwajibkan menyertai aktiviti ini akan menikmati suasana sebenar faedah menyertai kokurikulum lalu timbul kesedaran. Lama-kelamaan, mereka akan terus menyertai kokurikulum kerana sudah memahami keperluannya dalam kehidupan mereka.

Selain itu, pengambilan pakar dalam bidang kokurikulum boleh menarik minat pelajar menyertainya. Apabila nama-nama terkenal menjadi jurulatih sesuatu acara sukan di sekolah sudah pasti semua pelajar akan menyertainya kerana tertarik dengan idola mereka. Jelaslah, minat pelajar boleh ditimbulkan menerusi pengambilan pakar yang betul dalam setiap aktiviti kokurikulum.

Tambahan pula, kokurikulum boleh dicetuskan minatnya dalam jiwa pelajar apabila ibu bapa sendiri memberi galakan kepada anak. Galakan yang diberikan oleh ibu bapa kepada anak akan menjadi lampu hijau yang memberikan dorongan supaya anak terus bergiat aktif dalam kegiatan sebegini. Ringkasnya, penglibatan pelajar dalam kokurikulum akan bertambah sebaik sahaja ibu bapa mereka memberikan sokongan moral.

Minat terhadap kegiatan luar darjah ini boleh ditingkatkan menerusi pemberian ganjaran kepada pelajar yang aktif.  Ganjaran ini dalam bentuk wang dan hadiah seperti komputer atau telefon bimbit yang boleh diberikan setiap bulan kepada pemenang dalam sebarang aktiviti kokurikulum tersebut. Jadi, setiap pelajar akan berusaha melibatkan diri secara aktif supaya mereka memperoleh ganjaran itu.

Kesimpulannya, semua kaedah tadi boleh dilaksanakan jika semua pihak melihat isu ini sebagai perkara penting dalam hidup pelajar. Kita harus sedar aktiviti luar darjah boleh membentuk peribadi pelajar menjadi lebih cemerlang, gemilang, dan terbilang. Peribahasa melentur buluh daripada rebung harus menjadi asas utama jika kita mahu pelajar melibatkan diri dalam aktiviti berfaedah ini.

No comments: