Pakej Karangan PT3

Pakej Karangan PT3

Thursday, September 8, 2016

Punca kejayaan jenayah tembak-menembak meningkat?

Kejadian jenayah terutama kes tembak-menembak di negara terus berlaku di ibu kota.
Huraikan punca-punca yang membawa masalah ini wujud.

Kejadian jenayah yang berlaku terutama kes tembak-menembak yang terjadi di kawasan ibu kota telah mengejutkan pelbagai pihak terutama pihak masyarakat. Rasa bimbang terhadap keselamatan diri akan menyebabkan kehidupan masyarakat menjadi haru-biru kerana masing-masing percaya diri mereka akan menjadi mangsa seterusnya. Lantaran itu, kita harus mengkaji faktor-faktor yang mendorong kes ini terus berlaku di Malaysia.

Faktor utama peningkatan jenayah di negara ini dikaitkan dengan kesempitan kehidupan masyarakat umum terutamanya golongan yang berpendapatan rendah. Mereka melihat kegiatan jenayah sebagai jalan pintas untuk memperoleh sumber pendapatan yang berupaya membiayai kehidupan mereka kelak.  Akibatnya, banyak pihak akan berani melakukan jenayah semata-mata untuk mengisi perut mereka seperti meragut dan mencuri itu.

Kejadian jenayah menjadi-jadi turut disebabkan oleh kesilapan diri ahli masyarakat itu sendiri. Mereka tidak mengutamakan aspek keselamatan terutama ketika berjalan bersendirian atau ketika bercuti meninggalkan rumah mereka tanpa penghuni. Situasi ini akan memudahkan diri mereka menjadi sasaran penjenayah terutama yang mengambil peluang ketika terserempak dengan individu terbabit itu.

Tambahan pula, peningkatan kes jenayah dikaitkan dengan kemunculan pelbagai kumpulan samseng yang cuba menguasai kawasan tertentu. Pergaduhan sesama samseng ini turut melibatkan keselamatan masyarakat umum yang terperangkap di tengah-tengah itu. Semakin kerap pergaduhan merebut kawasan ini berlaku semakin sengitlah persaingan yang wujud lalu kes jenayah akan bertambah-tambah sehingga menjejaskan kualiti kehidupan masyarakat setempat.

Kajian turut bersetuju bahawa kes jenayah semakin bertambah kerana pihak polis kekurangan anggota dan peralatan moden untuk mengekang penjenayah. Apabila kekurangan anggota sudah pasti pihak polis sukar untuk membuat rondaan di kawasan yang berbahaya kerana mereka mesti bijak mengagihkan anggota untuk kawalan. Lama-kelamaan, moral anggota polis akan jatuh kerana sedar mereka serba kekurangan untuk menjaga keselamatan penduduk di negara ini.

Kesimpulannya, kes jenayah yang bertambah saban tahun itu memang menjadikan kehidupan masyarakat begitu tertekan. Pihak polis hendaklah diberi peluang untuk mengawal aspek keselamatan di negara ini dengan diberi lebih banyak latihan dan peralatan moden serta jumlah anggotanya ditambah segera. Slogan jenayah membawa padah harus difahami oleh masyarakat secara mendalam kerana kegiatan jenayah boleh menjadikan negara ini terus dilabel sebagai negara tidak bertamadun pula.

No comments: