Pakej Karangan PT3

Pakej Karangan PT3

Sunday, January 22, 2017

Sebab-sebab remaja lari dari rumah?

Isu remaja lari dari rumah bukanlah satu isu baharu dalam kalangan masyarakat.
Huraikan faktor-faktor yang mendorong remaja lari dari rumah.

Remaja lari rumah bermakna golongan belasan tahun meninggalkan rumah mereka tanpa keizinan ibu bapa. Golongan remaja perempuan dikatakan kategori yang paling tinggi meninggalkan rumah berbanding remaja lelaki. Lantaran itu, pelbagai punca kejadian negatif ini harus dikaji lalu difahami oleh masyarakat.

Penyebab utama gejala sosial ini berlaku dikaitkan dengan kehidupan remaja yang begitu tertekan baik di rumah atau di sekolah. Jiwa remaja tertekan kerana harapan tinggi ibu bapa dan guru mereka terhadap remaja itu dalam pelbagai aspek kehidupan terutamanya keputusan peperiksaan. Akibatnya, remaja yang gagal mengawal tekanan ini akan mengambil jalan keluar dengan melarikan diri mereka.

Selain itu, isu remaja yang kronik ini berlaku ekoran diri mereka kekurangan kasih sayang ibu bapa. Banyak ibu bapa gagal menjalankan tugas mereka mengasihi anak sendiri dengan kasih sayang kerana terlalu mengutamakan kerjaya mereka. Lama-kelamaan, remaja akan berasa diri mereka dipinggirkan oleh ibu bapa lalu menganggap kehilangan mereka tidak akan menjejaskan ibu bapa pula.

Tambahan pula, kemunculan pelbagai jenis media massa terutamanya elektronik telah menjadikan krisis sosial ini terus menjadi-jadi. Media massa berupaya untuk membuka minda remaja dalam bentuk negatif kerana mereka dihidangkan dengan pelbagai informasi yang salah. Sesungguhnya, minda remaja akan bercelaru kerana media massa dipenuhi pelbagai perkara yang tidak memaparkan realiti kehidupan.

Pengaruh rakan sebaya turut menjadikan isu remaja lari rumah sesuatu yang sukar untuk dibendung oleh masyarakat. Rakan sebaya berupaya meyakinkan remaja kerana mereka seusia lalu boleh berbicara dalam bahasa yang difahami oleh jiwa remaja. Jelaslah, remaja akan menerima nasihat yang tidak tepat daripada rakan mereka kerana rakan itu sendiri masih muda atau darah setampuk pinang.


Kesimpulannya, semua faktor tadi akan menjadikan gejala sosial ini terus berlaku jika tiada jalan penyelesaiannya. Namun, masih ada ibu bapa yang enggan menerima kenyataan bahawa anak mereka boleh melakukan perkara buruk ini termasuklah melarikan diri itu. Peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya mengingatkan kita betapa pentingnya didikan anak ketika mereka masih kecil tersebut.

Thursday, January 12, 2017

Siaran TV 24 bawa kesan buruk?

Siaran televisyen 24 jam lebih banyak membawa keburukan daripada kebaikan.
Huraikan.

Siaran televisyen 24 jam merujuk siaran yang disiarkan oleh televisyen tanpa henti untuk tontonan umum. Negara ini mempunyai pelbagai stesen televisyen yang memaparkan siaran 24 jam seperti Astro dan Netflix. Namun, stesen sebegini membawa banyak impak buruk terhadap masyarakat terutamanya remaja.

Impak buruk yang paling mudah difahami ialah minda remaja mudah dipengaruhi oleh unsur negatif. Banyak rancangan televisyen yang disiarkan itu tidak ditapis lalu memuatkan pelbagai unsur negatif yang boleh menjejaskan pemikiran remaja. Jelaslah, televisyen yang beroperasi 24 jam mampu menjadikan minda remaja kita tidak lagi berfungsi secara matang.

Selain itu, amalan menonton televisyen selama 24 jam turut menjadikan prestasi akademik remaja akan mengalami kemerosotan yang mendadak. Banyak program yang disiarkan lewat malam lalu menganggu masa belajar serta masa tidur remaja yang amat berharga tersebut. Akibatnya, remaja itu akan terlewat untuk ke sekolah dan berasa letih untuk menjalani kehidupan belajar yang penuh cabaran.

Tambahan pula, bekalan elektrik keluarga remaja itu akan menjadi lebih mahal setiap bulan. Bil elektrik melambung kerana remaja menonton sepanjang masa sehingga peralatan televisyen itu mudah rosak sebelum tempoh hayatnya tamat. Sesungguhnya, televisyen yang dipasang terlalu lama akan menyebabkan kos hidup keluarga remaja bertambah kerana membayar bil elektrik dan membeli televisyen baru lebih kerap.

Kesan terakhir yang timbul akibat kewujudan televisyen 24 jam ini ialah hubungan keluarga akan menjadi tidak rapat. Setiap ahli keluarga lebih asyik menonton televisyen sehingga mereka tidak lagi menghabiskan masa berbual sesama sendiri. Lama-kelamaan, hubungan yang renggang ini akan menyebabkan perselisihan faham mudah berlaku terutama ketika berebut untuk menonton program yang diminati pula.


Kesimpulannya, semua kesan negatif tadi akan berlaku apabila menonton televisyen 24 jam tanpa kawalan. Sikap buruk ini harus dikekang kerana aspek kesihatan remaja seperti mata, obesiti, dan kemungkinan kecergasan mereka terganggu. Peribahasa sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya telah mengingatkan kita supaya berfikir sedalam mungkin sebelum menonton televisyen sepanjang masa.