Seminar PT3

Seminar PT3
Berminat: 03-21483314

Sunday, January 22, 2017

Sebab-sebab remaja lari dari rumah?

Isu remaja lari dari rumah bukanlah satu isu baharu dalam kalangan masyarakat.
Huraikan faktor-faktor yang mendorong remaja lari dari rumah.

Remaja lari rumah bermakna golongan belasan tahun meninggalkan rumah mereka tanpa keizinan ibu bapa. Golongan remaja perempuan dikatakan kategori yang paling tinggi meninggalkan rumah berbanding remaja lelaki. Lantaran itu, pelbagai punca kejadian negatif ini harus dikaji lalu difahami oleh masyarakat.

Penyebab utama gejala sosial ini berlaku dikaitkan dengan kehidupan remaja yang begitu tertekan baik di rumah atau di sekolah. Jiwa remaja tertekan kerana harapan tinggi ibu bapa dan guru mereka terhadap remaja itu dalam pelbagai aspek kehidupan terutamanya keputusan peperiksaan. Akibatnya, remaja yang gagal mengawal tekanan ini akan mengambil jalan keluar dengan melarikan diri mereka.

Selain itu, isu remaja yang kronik ini berlaku ekoran diri mereka kekurangan kasih sayang ibu bapa. Banyak ibu bapa gagal menjalankan tugas mereka mengasihi anak sendiri dengan kasih sayang kerana terlalu mengutamakan kerjaya mereka. Lama-kelamaan, remaja akan berasa diri mereka dipinggirkan oleh ibu bapa lalu menganggap kehilangan mereka tidak akan menjejaskan ibu bapa pula.

Tambahan pula, kemunculan pelbagai jenis media massa terutamanya elektronik telah menjadikan krisis sosial ini terus menjadi-jadi. Media massa berupaya untuk membuka minda remaja dalam bentuk negatif kerana mereka dihidangkan dengan pelbagai informasi yang salah. Sesungguhnya, minda remaja akan bercelaru kerana media massa dipenuhi pelbagai perkara yang tidak memaparkan realiti kehidupan.

Pengaruh rakan sebaya turut menjadikan isu remaja lari rumah sesuatu yang sukar untuk dibendung oleh masyarakat. Rakan sebaya berupaya meyakinkan remaja kerana mereka seusia lalu boleh berbicara dalam bahasa yang difahami oleh jiwa remaja. Jelaslah, remaja akan menerima nasihat yang tidak tepat daripada rakan mereka kerana rakan itu sendiri masih muda atau darah setampuk pinang.


Kesimpulannya, semua faktor tadi akan menjadikan gejala sosial ini terus berlaku jika tiada jalan penyelesaiannya. Namun, masih ada ibu bapa yang enggan menerima kenyataan bahawa anak mereka boleh melakukan perkara buruk ini termasuklah melarikan diri itu. Peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya mengingatkan kita betapa pentingnya didikan anak ketika mereka masih kecil tersebut.

No comments: