Seminar PT3

Seminar PT3
Berminat: 03-21483314

Sunday, February 12, 2017

Kebaikan internet kepada masyarakat

Penggunaan Internet secara meluas telah memudahkan urusan harian kita.
Jelaskan kebaikan menggunakan internet kepada masyarakat.

Internet sudah menjadi satu keperluan dalam kehidupan masyarakat zaman ini.  Pelbagai pihak mula mempersoalkan penggunaan internet ini dalam kalangan masyarakat terutamanya pelajar. Jadi, apakah faedahnya apabila masyarakat menggunakan internet dalam kehidupan harian itu?

Faedah yang paling senang difahami apabila internet menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat ialah masyarakat boleh memperoleh pelbagai maklumat menerusi satu sentuhan jari sahaja. Pelbagai informasi tentang kehidupan boleh diperoleh oleh masyarakat apabila mereka mencarinya dalam internet seperti cara memasak, cara membaiki sesuatu, cara menjahit baju, dan sebagainya. Ringkasnya, penggunaan internet dalam kalangan masyarakat akan menjadi kehidupan mereka lebih mudah pula.

Selain itu, individu yang menggunakan internet akan menjadikan interaksi sesama ahli keluarga, saudara, kawan, dan sebagainya lebih menarik. Interaksi sesama manusia boleh dijalankan menerusi pelbagai rangkaian sosial yang disediakan dalam internet tanpa memerlukan kos yang tinggi untuk menggunakannya. Ironinya, kemudahan interaksi secara internet ini boleh merapatkan hubungan manusia tanpa perlu bertemu kerana internet melangkaui aspek sempadan dan masa.

Tambahan pula, internet boleh menjadikan urusan bank golongan ahli perniagaan menjadi lebih mudah dan selamat dalam membuat urus niaga tertentu. Perkara ini boleh dicapai kerana urusan menerusi internet mempunyai perisian komputer yang dikawal selia dengan begitu rapi oleh pihak bank sehingga menyukarkan peluang kecurian berlaku. Apabila internet menjadi rencam kehidupan masyarakat sudah pasti semua urusan pembayaran dan penerimaan wang dibuat menerusi teknologi ini lalu mengurangkan risiko jenayah kerana semua transaksi dibuat menerusi komputer.

Internet turut membawa perubahan dalam sektor pendidikan negara apabila diasimilasikan dalam bidang ini. Pelajar akan menggunakan pelbagai jenis komputer dalam urusan pendidikan sehingga proses pembelajaran menjadi lebih mudah dan menarik buat mereka. Sesungguhnya, teknologi ini akan menjadikan pelajar negara ini lebih berjaya dalam pendidikan sehingga melangkaui masyarakat dunia yang lain.


Kesimpulannya, internet sudah menjadi sebahagian daripada amalan kehidupan masyarakat. Kita perlulah melihat teknologi ini secara positif dan menerimanya kerana kegagalan untuk memahaminya akan menjadikan kehidupan kita tidak sempurna pula. Bak kata pepatah sekali air bah sekali pantai berubah yang menyaksikan perubahan menjadi sebahagian kehidupan manusia.


No comments: