Thursday, February 2, 2017

Pelajar mempunyai pelbagai teknik belajar yang tersendiri untuk mencapai kejayaan dalam peperiksaan.
Huraikan teknik-teknik itu.

Teknik belajar merujuk cara seseorang pelajar membuat revisi terhadap sesuatu pelajaran itu. Ada yang suka belajar pada waktu malam dan ada pula yang memilih waktu petang sebagai masa belajar mereka. Sebenarnya, ada pelbagai teknik belajar yang boleh diamalkan oleh pelajar untuk berjaya dalam peperiksaan di sekolah.

Teknik yang praktikal untuk pelajar dalam suasana kehidupan moden ini ialah mereka belajar secara berkumpulan. Apabila belajar secara berkumpulan sudah pasti rakan-rakan boleh menerangkan sesuatu topik dalam bahasa yang lebih mudah untuk difahami oleh pelajar. Maka, semakin kerap mereka belajar dalam kumpulan semakin baguslah pemahaman mereka dalam sesuatu topik pelajaran tersebut kerana mendengar penjelasan rakan yang lebih mudah difahami tersebut.

Selain itu, revisi yang dilakukan sebaik sahaja guru selesai menerangkan sesuatu topik boleh menjadi kaedah pembelajaran pelajar yang paling efektif. Kaedah ini berkesan kerana informasi yang diberikan oleh guru masih segar dalam ingatan pelajar lalu menjadi lebih kukuh apabila diulang segera selepas mendengar penerangan guru itu. Sesungguhnya, amalan membuat revisi segera menjadi petanda kejayaan cemerlang buat pelajar di sekolah.

Tambahan pula, kaedah belajar mengikut jadual boleh membawa pelajar lebih berdisiplin dalam membuat revisi itu. Setiap jadual dirangka oleh pelajar berdasarkan keperluan peribadi mereka atau matlamat tertentu yang ingin dicapai dalam peperiksaan itu. Jadi, pelajar yang mematuhi jadual belajar mereka akan menjadi pelajar yang lebih berjaya dalam menghadapi peperiksaan di sekolah. 

Teknik terakhir melibatkan tindakan membuat revisi di perpustakaan sekolah. Suasana perpustakaan yang nyaman, tenang, dan dipenuhi buku mencetuskan minat untuk belajar dalam jiwa pelajar. Maka, pelajar yang bertanggungjawab akan menghabiskan masa mereka di perpustakaan untuk menelaah kerana menyedari betapa pentingnya belajar dalam kehidupan masa depan.

Kesimpulannya, semua pelajar perlu ada cara belajar yang tersendiri. Namun, ada segelintir pelajar yang masih tidak memahami diri sendiri lalu tercari-cari kaedah belajar yang paling sesuai itu. Peribahasa usaha tangga kejayaan membuktikan bahawa setiap kejayaan pelajar memerlukan kudrat yang tinggi dan rajin dalam mempelajari sesuatu topik pelajaran di sekolah tersebut.

No comments: