Sunday, March 12, 2017

Cara atasi tekanan hidup pelajar

Kehidupan pelajar zaman ini dipenuhi dengan tekanan yang begitu hebat.
Huraikan cara-cara mengatasi tekanan ini.

Tekanan pelajar merujuk stres yang dialami oleh remaja dalam menjalani kehidupan harian mereka. Stres itu meliputi tekanan untuk berjaya dalam peperiksaan, tekanan hubungan sesama rakan, dan tekanan dalaman masing-masing. Jadi, pelajar harus memahami pelbagai kaedah untuk mengawal tekanan itu.

Cara paling efektif menangani masalah tekanan ialah pelajar selalu berinteraksi dan berunding dengan ibu bapa mereka. Golongan tua ini mempunyai pengalaman hidup yang boleh digunakan untuk mengatasi tekanan yang dialami oleh anak mereka. Jelaslah, pelajar yang selalu meminta pandangan ibu bapa akan mampu mengekang tekanan hidup itu.

Selain itu, bimbingan dan teguran daripada guru-guru yang diterima oleh pelajar turut mampu mengatasi isu tekanan hidup ini. Golongan pendidik boleh memberi cadangan kepada pelajar cara untuk mengatasi tekanan hidup terutama yang ada hubung kait dengan pelajaran mereka. Ringkasnya, pelajar yang bijak akan selalu bertemu dan berbual dengan guru mereka di sekolah untuk menghilangkan tekanan hidup.

Tambahan pula, tekanan hidup boleh dikekang apabila pelajar selalu mengunjungi pusat ibadah. Tindakan berdoa dan mengerjakan suruhan Tuhan pastinya memberikan satu kekuatan kepada pelajar untuk mengharungi cabaran hidup mereka itu. Lama-kelamaan, pelajar akan berasa tenang kerana mereka sedar bahawa hidup ini ditentukan oleh ketentuan Tuhan.

Tekanan hidup ini boleh dikawal apabila pelajar itu sendiri mempunyai keperibadian yang positif. Mereka melihat sebarang masalah yang berlaku sebagai satu perkara yang boleh diatasi mengikut tempoh tertentu. Sesungguhnya, pelajar yang positif akan berjaya menjalani kehidupan mereka dengan selancar mungkin.

Kesimpulannya, semua usaha untuk mengatasi tekanan hidup pelajar ini boleh berjaya jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Namun, ada segelintir pelajar yang lemah semangatnya lalu jiwa mereka begitu mudah dimusnahkan oleh tekanan yang dialami tersebut. Peribahasa hendak seribu daya tak nak seribu dalih membuktikan bahawa masalah tekanan ini hanya boleh dikawal apabila pelajar itu sendiri mahu menghentikan tekanan tersebut.

Thursday, March 2, 2017

Jenis tekanan kehidupan yang dihadapi oleh pelajar

Pelajar zaman ini dikatakan mengalami tekanan yang serius ketika bersekolah.
Jelaskan tekanan-tekanan yang dihadapi oleh mereka itu.

Tekanan pelajar merujuk rasa stres yang dialami oleh individu ketika bersekolah itu.  Jika tekanan ini gagal dikawal sudah pasti pelajar akan melakukan pelbagai perkara negatif seperti ponteng sekolah dan merokok. Maka, semua pelajar harus mengetahui dan memahami semua tekanan yang wujud dalam kehidupan mereka itu.

Tekanan yang paling serius melibatkan tekanan yang ditimbulkan oleh ibu bapa di rumah. Ibu bapa memberikan tekanan ini kerana mereka mahu setiap anak berjaya dalam kehidupan sama ada kehidupan sekolah atau kerjaya kelak. Jadi, ibu bapa yang tidak memahami kehidupan anak akan terus memberikan tekanan sehingga anak berasa lemas pula.

Selain itu, pihak guru turut memberi tekanan kepada pelajar apabila mereka berada di sekolah. Kerja sekolah yang begitu banyak dan sikap guru yang agak serius telah menyebabkan pelajar berasa tertekan untuk mempelajari sesuatu subjek di sekolah. Sebenarnya, guru harus lebih peka dengan situasi semasa pelajar lalu mengawal keadaan mengikut keperluan bukannya menghukum sahaja.

Tambahan pula, pelajar turut mengalami tekanan daripada rakan-rakan mereka. Kerap kali kita mendengar persoalan perbezaan taraf sosial menjadi perkara yang menyentuh jiwa pelajar apabila melihat kehidupan rakan mereka lebih senang itu. Lantaran itu, jiwa pelajar akan terseksa apabila rakan mereka memperagakan gaya hidup yang kaya itu.

Tekanan terakhir melibatkan peribadi pelajar itu sendiri yang mahu menjadi pelajar terbaik. Mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam setiap lapangan aktiviti di sekolah supaya dikenali dan dihormati oleh warga sekolah. Akibatnya, mereka akan mudah tersinggung, keletihan lalu melakukan perkara yang tidak rasional pula.

Kesimpulannya, semua tekanan tadi memang dialami oleh pelajar apabila mereka mengharungi kehidupan di sekolah. Pelajar yang bertanggungjawab harus memahami bahawa setiap perkara yang dilakukan pasti menimbulkan tekanan dalam hidup. Peribahasa ukur baju di badan sendiri harus menjadi pegangan dalam diri pelajar agar mereka tidak melakukan sesuatu yang berada di luar kemampuan sendiri.