Pakej Karangan PT3

Pakej Karangan PT3

Saturday, April 8, 2017

Cara ibu bapa kekang gejala sosial menembusi anak

Ibu bapa memikul tugas berat menghalang gejala sosial daripada menular dalam jiwa anak mereka.
Jelaskan cara-cara yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk menghalang perkara ini.

Peranan ibu bapa merujuk tindakan yang boleh dilakukan oleh golongan ini dalam melahirkan generasi muda yang bebas daripada gejala sosial. Perkara yang paling dibimbangi berlaku dalam kehidupan remaja jika dilihat daripada sudut ibu bapa melibatkan gejala merokok, ponteng sekolah, dan melepak di pusat beli-belah. Maka, apakah tugas yang boleh dibuat oleh ibu bapa untuk mengatasi gejala sosial ini daripada menembusi jiwa anak mereka?

Perkara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa dalam usaha mereka menghalang anak terlibat dalam gejala sosial ialah ibu bapa cuba memahami emosi anda sendiri. Golongan muda memiliki perasaan mudah merajuk dan tersinggung jika ibu bapa tidak memahami keperluan mereka itu. Akibatnya, ibu bapa yang berusaha memahami psikologi anak akan berjaya mendapat persetujuan anak untuk tidak melibatkan diri dalam gejala sosial.

Selain itu, masalah sosial yang melanda generasi muda boleh dikekang jika ibu bapa menghabiskan masa bersama-sama anak. Setiap kali ibu bapa mempunyai masa senggang, sewajarnya mereka membawa anak berjalan-jalan sambil berinteraksi dengan mereka. Lama-kelamaan, anak dan ibu bapa akan saling mengenali lalu rasa kemesraan terjalin sehingga mereka berasa dihargai oleh ibu bapa.

Tambahan pula, semua kenalan dan sahabat anak harus dikenali oleh ibu bapa yang mahu memastikan anak mereka bebas daripada gejala sosial ini.  Tindakan berani ini menjadikan ibu bapa boleh menapis dan mengawal kelakuan anak mereka yang mungkin dipengaruhi oleh rakan sebaya sehingga menjejaskan pertimbangan rasional mereka. Ringkasnya, sikap proakif ibu bapa dalam mengenal pasti rakan anak mereka akan menjamin anak itu bebas daripada budaya negatif.

Langkah terakhir yang boleh dibuat oleh ibu bapa dalam membebaskan anak mereka daripada belenggu gejala sosial melibatkan usaha mencurahkan kasih sayang. Setiap kali anak mengalami kesukaran hidup, setiap kali juga ibu bapa perlu memeluk dan mengucapkan kata-kata sayang supaya anak itu berasa tenang semula. Jadi, curahan kasih sayang ibu bapa boleh memberi satu keyakinan kepada anak untuk menongkah arus kehidupan remaja mereka yang penuh pancaroba itu.

Kesimpulannya, ibu bapa memikul tugas berat kerana anak ibarat kain putih yang boleh dicorakkan oleh ibu bapa sendiri. Namun, ada remaja yang keras kepala lalu enggan menerima sebarang teguran ibu bapa mereka lantas mereka terjebak ke kancah sosial yang memalukan itu. Peribahasa bagai menatang minyak yang penuh membuktikan bahawa tugas mendidik anak bukanlah sesuatu yang mudah untuk dipikul oleh ibu bapa zaman ini.


No comments: