Pakej Karangan PT3

Pakej Karangan PT3

Sunday, April 23, 2017

Kebaikan menghadiri kelas tuisyen

Kewujudan kelas tuisyen sudah menjadi satu keperluan dalam kehidupan pelajar zaman moden ini.
Jelaskan kebaikan menghadiri kelas sebegini.

Kelas tuisyen dimaksudkan sebagai kelas tambahan yang disertai oleh pelajar selepas waktu persekolahan biasa. Biasanya, kelas ini dianjurkan oleh guru sekolah sendiri dan ada juga yang dibuat oleh guru persendirian di kawasan sendiri. Maka, ada banyak sebab yang membawa ibu bapa menghantar anak ke kelas sebegini.

Punca utama kelas tuisyen semakin diminati kerana kelas ini menjanjikan latihan yang banyak diberikan kepada pelajar. Pemberian latihan ini mampu dibuat kerana kelas tuisyen itu berjalan agak panjang meliputi satu jam masanya dan pelajar boleh memberikan tumpuan penuh. Akibatnya, pencapaian pelajar dalam sesuatu pelajaran akan meninggi tanpa disedari oleh mereka.

Selain itu, suasana pembelajaran di kelas tuisyen yang menarik dan unik itu turut menjadikan pelajar berminat menghadirinya. Banyak kelas ini dilengkapi kemudahan moden seperti pendingin hawa, kerusi yang selesa, meja yang baik, dan tandas yang bersih. Ringkasnya, suasana sebegini menjadikan pelajar lebih berminat untuk mendengar penerangan guru tentang sesuatu subjek itu.

Tambahan pula, kaedah pengajaran guru di kelas ini berbeza daripada guru di sekolah lalu pelajar tertarik untuk mempelajari sesuatu subjek tersebut. Penggunaan kaedah yang berbeza ini banyak dikaitkan dengan pengalaman guru di kelas tuisyen yang mendidik berdasarkan latihan tubi. Lantaran itu, kehadiran pelajar di kelas tuisyen terus bertambah sehingga menjadi satu budaya dalam kalangan masyarakat.

Pelajar dikatakan berminat pergi ke kelas tuisyen disebabkan berpeluang mengenali rakan baru. Interaksi dengan pelajar baru boleh membuka minda lalu menjalin persahabatan yang membantu pelajar mengharungi cabaran kehidupan mencabar itu. Sebenarnya, peluang berinteraksi dengan kawan baru menjadikan kelas tuisyen lebih diminati oleh pelajar.


Kesimpulannya, semua sebab yang dihuraikan tadi telah membawa kelas tuisyen sebagai satu budaya baru dalam masyarakat kita. Namun, pelajar tidak harus menyalahgunakan kelas tuisyen untuk berhibur atau menghabiskan wang ibu bapa secara sia-sia. Peribahasa sekali air bah sekali pantai berubah menjadikan kelas tuisyen sebagai satu keperluan dalam hidup zaman moden yang harus dipenuhi oleh masyarakat.

No comments: