Seminar PT3

Seminar PT3
Berminat: 03-21483314

Friday, May 26, 2017

Kesan kehadiran pelancong asing ke Malaysia

Kehadiran pelancong asing di negara ini amat diperlukan. 
Jelaskan kesan-kesan positif.

Pelancong luar negara bermaksud pelawat yang datang ke Malaysia tetapi berasal dari luar negara. Ada pelancong asing ini yang datang dari Jepun, Korea Selatan, Amerika Syarikat, Perancis, dan Indonesia serta Singapura. Maka, ada banyak kebaikan yang timbul apabila pelancong luar negara datang ke negara ini.

Manfaat yang diperoleh apabila pelancong asing datang ialah rakyat negara ini akan mempunyai banyak peluang pekerjaan. Keperluan pelancong yang mahu menggunakan pengangkutan awam, membeli makanan, menempah hotel, dan membeli-belah memerlukan sumber manusia yang banyak untuk beroperasi dengan lancar. Akibatnya, penduduk tempatan akan mempunyai pekerjaan yang menjamin sumber pendapatan bulanan yang lumayan itu.

Selain itu, pelancong yang banyak ke negara ini akan meninggikan imej negara pada mata masyarakat luar. Apabila mereka melawat Malaysia dan menikmati keindahannya sudah pasti pelancong itu akan menceritakan pengalaman unik mereka kepada rakan-rakan senegara. Ringkasnya, nama negara akan tersohor kerana pelancong asing akan menghebohkan keindahan Malaysia kepada rakyat negara mereka.

Kehadiran pelancong asing turut menjadikan kadar tukaran wang negara lebih stabil. Mereka terpaksa menggunakan wang tempatan apabila membeli keperluan sendiri di Malaysia. Sesungguhnya, negara akan mengalami keuntungan daripada aspek tukaran wang asing apabila semakin banyak pelancong melawat Malaysia.

Tambahan pula, rakyat negara ini akan terdedah dengan pelbagai budaya pelancong luar itu. Interaksi dengan pelancong asing akan berlaku lalu perbezaan budaya, bahasa, pengalaman hidup boleh dikongsi bersama-sama pula. Lama-kelamaan, minda rakyat akan terbuka kerana melihat sendiri budaya pelancong luar yang berbeza tetapi unik berbanding budaya tempatan.


Kesimpulannya, kehadiran pelancong asing memang dialu-alukan oleh negara ini. Namun, ada segelintir rakyat yang mengambil kesempatan umpama menangguk di air keruh sehingga imej negara terjejas seperti mengenakan bayaran teksi yang melampau kepada pelancong itu. Sudah sampai masanya kita semua bertindak segera agar industri pelancongan negara terus berkembang pesat.

No comments: