Pakej Karangan PT3

Pakej Karangan PT3

Friday, May 5, 2017

Peranan pelbagai pihak semai jadi diri remaja yang baik



Remaja perlu ada jati diri yang baik tetapi banyak remaja tidak memilikinya. Semua pihak harus berusaha menanam jati diri yang baik kepada remaja.
Huraikan.

Jati diri merujuk keperibadian seseorang remaja yang baik dan bersesuaian dengan budaya tempatan. Komponen jati diri yang baik ialah sikap positif, berfikiran matang, cergas, baik , dan bermatlamat tinggi. Jelaslah, pelbagai pihak memikul tugas berat untuk memastikan remaja negara ini ada jati diri yang sejati tersebut.

Pihak sekolah boleh merangka pelbagai program yang mencetuskan nilai murni dalam jiwa remaja ketika bersekolah.  Aktiviti seperti seminar jati diri, kempen budi pekerti, dan kursus motivasi berupaya membuka mata pelajar tentang erti jati diri yang sebenar. Lama-kelamaan, pelajar akan mempelajari sesuatu nilai yang baik untuk dteladani oleh mereka pada masa hadapan itu.

Selain itu, ibu bapa yang berpendirian tegas akan mendidik anak mereka menjadi remaja yang berjati diri sejati. Golongan tua ini akan memaparkan teladan yang baik kepada anak bersama-sama sikap adil serta teguran yang membina terhadap anak mereka. Akibatnya, anak yang dididik dengan sempurna ini akan mempunyai jati diri yang berupaya mengharungi cabaran kehidupan yang begitu sukar.

Tambahan pula, pembentukan jati diri banyak ditentukan oleh hubungan remaja dengan rakan sebaya yang betul sikapnya itu.  Pemilihan rakan sebaya yang betul pastinya akan membuahkan hasil yang positif kerana sikap rakan yang baik itu akan ditiru oleh remaja dalam perhubungan mereka kelak. Sesungguhnya, rakan yang dipilih dengan tepat akan membantu remaja berusaha mencari jati diri mereka yang sebenarnya secara matang.

Penghasilan jati diri remaja yang kamil turut dipikul oleh masyarakat yang berpendirian objektif dalam penilaian mereka. Semua perkara yang dilakukan oleh remaja hendaklah dinilai berdasarkan pelbagai faktor sebelum hukuman atau persepsi diberikan kepada remaja tersebut. Apabila masyarakat tidak bersikap menilai sudah pasti remaja berasa lebih yakin dengan kebolehan diri mereka untuk melakukan sesuatu yang bermakna dalam hidup.

Kesimpulannya, semua pihak bertanggungjawab dalam menentukan remaja kita mempunyai jati diri yang sempurna tersebut.  Kerjasama semua pihak amat diperlukan kerana usaha ini agak sukar untuk dicapai apabila ada pihak yang tidak berjaya melakukan tugas mereka dengan baik. Peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya mengingatkan kita supaya melakukan didikan yang betul terhadap remaja apabila mereka masih lagi kecil supaya jati diri yang baik terbentuk.



No comments: