Pakej Karangan PT3

Pakej Karangan PT3

Thursday, July 13, 2017

Kejadian ponteng sekolah semakin kerap berlaku  dalam kalangan pelajar di negara ini.
Huraikan sebab-sebab berlakunya perkara ini.

Ponteng sekolah bermaksud tindakan seseorang pelajar yang enggan pergi ke sekolah tanpa alasan munasabah. Pelajar akan menghabiskan masa mereka di kafe internet, pusat beli-belah, dan kawasan taman yang menjadi tumpuan umum itu. Jadi, punca-punca perkara ini berlaku harus difahami oleh semua pihak.

Faktor utama pelajar ponteng sekolah disebabkan mereka berasa takut dengan seseorang guru tersebut. Ketakutan ini timbul kerana guru itu dikatakan terlalu garang lalu mudah marah apabila pelajar tidak menyiapkan kerja sekolah atau melanggar peraturan sekolah itu. Akibatnya, pelajar lebih rela ponteng sekolah daripada dimarahi oleh guru itu di depan rakan-rakan.

Selain itu, masalah ponteng ini berleluasa kerana pelajar tidak berminat untuk belajar di sekolah. Cara pembelajaran guru yang tidak menarik dan perasaan tidak memahami keperluan belajar telah memadamkan semangat belajar pelajar. Lama-kelamaan, perasaan untuk belajar dalam jiwa pelajar akan hilang sehingga mereka sanggup ponteng sekolah pula.

Masalah ponteng ini berlaku apabila pelajar dipengaruhi oleh rakan sebaya yang tidak bermoral itu. Rakan sebaya mengajak pelajar untuk menghabiskan masa mereka secara sia-sia sebagai bukti persahabatan mereka itu. Jelaslah, pelajar terpaksa ponteng sekolah kerana mereka mahu kawan-kawan mengangap pelajar itu sebagai sebahagian daripada ahli kumpulan mereka.


Kesimpulannya, masalah ponteng sekolah memang berlaku dalam kalangan pelajar di negara ini. Ibu bapa perlulah bersikap lebih prihatin dengan memantau aktiviti harian anak mereka. Peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya kerana pelajar yang masih muda lebih mudah dibentuk sikapnya sebelum mencapai alam kedewasaan itu.

No comments: