Pakej Karangan PT3

Pakej Karangan PT3

Tuesday, July 4, 2017

Pelajar semakin tidak suka melibatkan diri dalam acara sukan di sekolah.
Huraikan faedah-faedah menyertai kegiatan sukan itu.

oleh: noor azman mahat

Kegiatan sukan bermaksud aktiviti yang melibatkan kecergasan apabila menyertai sesuatu acara. Contoh kegiatan sukan itu meliputi acara larian, bola sepak, hoki, badminton, dan renang. Sebenarnya, ada banyak manfaat yang timbul apabila pelajar melibatkan diri mereka secara aktif dalam kegiatan yang positif ini.

Kebaikan yang paling mudah difahami apabila pelajar melibatkan diri dalam kegiatan sukan ialah mereka akan mempunyai banyak kenalan baru. Apabila pelajar menyertai sesuatu pertandingan sukan itu sudah pasti mereka akan bertembung dengan individu lain yang mewakili sekolah lain itu. Akibatnya, interaksi sesama peserta kegiatan sukan itu akan mencetuskan hubungan persahabatan yang intim kelak.

Selain itu, pelajar yang aktif dalam kegiatan sukan berupaya mengharumkan nama sekolah mereka di persada negara. Apabila mereka menjuarai sesuatu pertandingan itu, nama sekolah mereka turut diumumkan dalam upacara penyampaian hadiah sehingga semua pihak mengenali sekolah pelajar terbabit. Jelaslah, kegiatan sukan yang dilakukan dengan betul boleh menjadikan nama sekolah pelajar tersohor pula.

Pelajar yang selalu melibatkan diri dalam kegiatan sukan ini akan memiliki kualiti kesihatan yang lebih baik berbanding pelajar yang tidak melibatkan diri itu. Mereka akan selalu berpeluh dan menjaga pemakanan serta mendapat rehat yang cukup kerana aktiviti sukan ini begitu mencabar. Lama-kelamaan, pelajar ini tidak akan mendapat sebarang penyakit berbahaya seperti serangan jantung dan diabetes pada masa depan.

Kesimpulannya, semua faedah menyertai aktiviti sukan itu akan berlaku apabila pelajar melibatkan diri secara serius. Namun, ada ibu bapa yang enggan membenarkan anaknya terlibat dalam aktiviti ini atas alasan membazirkan masa sahaja. Peribahasa tepuk dada tanya selera yang membuktikan bahawa amalan ini baik buat pelajar yang memahami kepentingan sukan itu.


No comments: