Seminar PT3

Seminar PT3
Berminat: 03-21483314

Monday, April 23, 2018

PERANAN IBU BAPA KEKANG GEJALA SOSIAL?


Kehidupan zaman moden yang penuh dugaan ini banyak menguji kekuatan mental generasi muda daripada terjebak dalam gejala sosial. Ibu bapa memikul peranan utama dalam mengekang isu ini.
Jelaskan.

Peranan ibu bapa merujuk tugas yang dipikul oleh golongan ini dalam melaksanakan amalan mendidik anak mereka. Situasi kehidupan remaja yang penuh dugaan memaksa ibu bapa lebih mahir dalam melaksanakan tugas mereka supaya gejala melepak, merokok, ponteng sekolah, dan sebagainya tidak berlaku. Sesungguhnya, ibu bapa yang prihatin memahami tugas yang perlu dilaksanakan oleh mereka demi kesejahteraan kehidupan anak.

Inisiatif yang boleh dimulakan oleh ibu bapa dalam mengekang gejala sosial ini ialah mereka cuba memahami jiwa anak sendiri. Mereka hendaklah menilai sesuatu tindakan anak daripada sudut persepsi anak daripada melihatnya berdasarkan pandangan ibu bapa  sahaja. Lama-kelamaan, anak melihat amalan objektiviti ibu bapa mereka ini lalu menaruh keyakinan terhadap nasihat yang diberikan oleh mereka nanti.

Selain itu, sikap menyayangi anak boleh digunakan oleh ibu bapa sebagai satu kaedah untuk menghalang anak terjebak ke alam gejala sosial. Apabila anak dicurahkan dengan pelbagai kasih sayang yang unik itu sudah pasti emosi mereka lebih stabil lalu tidak mudah melibatkan diri dengan rakan-rakan yang melakukan gejala negatif itu. Jelaslah, anak yang mempunyai kasih sayang yang cukup tidak akan menyertai sebarang aktiviti yang menconteng arang ke muka sendiri.

Tambahan pula, ibu bapa yang proaktif boleh berusaha mengenal semua kawan yang rapat dengan anak mereka untuk menghalang gejala buruk ini. Semua kenalan anak dikaji sikap mereka terutama jika rakan anak itu mempunyai rekod yang tidak baik lebih-lebih lagi yang ada kaitan dengan jenayah. Akibatnya, risiko anak berkawan dengan individu yang berniat jahat akan menjadi rendah apabila ibu bapa mengambil sendiri tindakan memeriksa rakan-rakan anak itu.

Peranan terakhir yang boleh dibuat oleh ibu bapa dalam usaha mengawal gejala sosial daripada menular ke dalam hidup anak mereka ialah ibu bapa menghabiskan masa dengan anak. Semua ahli keluarga boleh melakukan sesuatu aktiviti yang menarik pada hujung minggu seperti bersukan atau bersantai di pusat beli-belah. Jadi, masa yang panjang dihabiskan dengan anak ini boleh menghalang mereka daripada melakukan aktiviti tidak sihat dengan rakan-rakan di tempat lain itu.

Kesimpulannya, ibu bapa memang memikul tugas yang begitu berat umpama menatang minyak penuh dalam usaha mereka mendidik anak menjadi generasi yang berguna itu. Namun, ada ibu bapa yang enggan bertanggungjawab lalu membiarkan pihak sekolah dan masyarakat mendidik anak mereka sehingga pelbagai gejala sosial melanda pula. Peribahasa melentur buluh biarlah daripada rebungnya yang membuktikan bahawa anak yang dididik dengan cermat dan betul serta sempurna sejak kecil akan menjadi insan yang berkualiti pada masa depan itu.

No comments: